Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow mesti berani untuk mengatakan dengan jelas bahawa Lim Guan Eng bohong apabila Lim Guan Eng berkata satu sen pun tidak dibayar kepada kontraktor untuk projek terowong dasar laut tetapi hanya untuk projek tiga lebuh raya, supaya saya boleh membuktikan di mahkamah bahawa saya menyatakan perkara yang benar. Teng enggan menerima kenyataan saya bahawa tidak ada satu sen pun telah dibayar untuk projek terowong dasar laut dan mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berbohong walaupun EXCO Negeri Pulau Pinang Lim Hock Seng telah berulang kali menyatakan bahawa sebarang bayaran yang dibuat adalah untuk tiga projek lebuh raya utama.
Teng mengetahui dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak akan mengambil tindakan saman apabila kenyataan fitnah dibuat terhadapnya. Walau bagaimanapun, apabila kenyataan fitnah dibuat terhadap pemimpin individu, seperti saya sendiri, maka tindakan boleh diambil di mahkamah. Saya telah mengambil banyak tindakan terhadap media BN di mahkamah kerana memfitnah dan telah memenangi sebahagian besar daripada saman tersebut.
Penganugerahan untuk projek bernilai RM6.3 bilion yang terdiri daripada terowong dasar laut dan 3 projek lebuh raya utama dijalankan melalui tender terbuka yang kompetitif. HSSI Sdn Bhd, perunding kejuruteraan profesional telah dilantik dan dibayar oleh Kerajaan Negeri sebagai “pemeriksa” bebas untuk mengesahkan dan memperakui reka bentuk dan tuntutan yang dibuat oleh kontraktor projek – Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith). Kos untuk penyediaan laporan EIA akan ditanggung oleh Zenith. HSSI telah dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai Independent Checking Engineer (ICE) dan bukan menyediakan laporan EIA.
HSSI Sdn. Bhd. telah diberikan tanggungjawab melaksanakan kerja tersebut melalui tender terbuka kompetitif yang diberikan oleh Jawatankuasa Tender Negeri Pulau Pinang kerana mereka telah mengemukakan tawaran terendah. Arahan Perbendaharaan yang dikeluarkan di bawah Akta Prosedur Kewangan 1957 memerlukan Jawatankuasa Tender Negeri Pulau Pinang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan terdiri daripada pegawai kerajaan. Bagaimana Teng sebagai seorang bekas EXCO Negeri Pulau Pinang, tidak mengetahui perihal undang-undang sedemikian?
Bagaimana terdapat dakwaan rasuah dalam keseluruhan projek, apabila keseluruhan kontrak dijalankan melalui tender terbuka yang kompetitif? Jelas sekali keseluruhan siasatan ini bermotifkan politik jahat yang jahat untuk mensabotaj projek-projek infrastruktur yang dibangunkan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menjejaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Saya mengulangi pernyataan ini sekali lagi bahawa bayaran RM208 juta yang dibuat kepada Zenith adalah dalam bentuk pertukaran tanah seluas 3.7 ekar di net developed land di atas harga pasaran RM1,300 setiap kaki persegi, untuk tiga lebuh raya utama dan tidak ada satu sen pun dibayar untuk terowong dasar laut. Teng sekali lagi berbohong apabila mendakwa bahawa 50 ekar tanah telah “ditukarkan” kepada Zenith.
Kerajaan Negeri tidak memberikan 50 ekar tanah kepada Zenith seperti yang didakwa oleh Teng. Kerajaan Negeri tidak bertanggungjawab untuk sebarang transaksi perniagaan yang dimasuki oleh Zenith dengan syarikat swasta lain di mana Kerajaan Negeri tidak mengambil bahagian atau yang belum diluluskan.
Teng tidak boleh sembunyi atau lari tetapi perlu berani untuk menyatakan bahawa saya berbohong apabila saya menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membayar satu sen pun untuk projek terowong dasar laut, supaya saya boleh mengheret Teng ke mahkamah untuk membuktikan siapa yang menyatakan kebenaran. Sekiranya Teng gagal berbuat demikian, maka saya faham mengapa Presiden Gerakan Mah Siew Keong pun tidak mahu menamakan Teng sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun Teng merupakan Pengerusi BN Pulau Pinang, sekiranya BN memenangi Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.