Baru-baru ini seorang peguam bagi enam tertuduh yang ditahan di penjara Sungai Besar telah menyatakan bahawa mereka terpaksa menghabiskan hujung minggu mereka di dalam penjara sejak hari Khamis lepas.
Mengikut apa yang dimaklumkan oleh mereka yang tertuduh, perkara tersebut berlaku kerana kaunter jamin di Mahkamah Kuala Lumpur telah menutup lebih awal, pada jam 2.53 petang pada hari Khamis lepas.
Walau bagaimanapun, semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) memberi kenyataan bahawa dakwaan peguam itu tidak benar, kerana kaunter jamin telah ditutup pada jam 4 petang pada hari tersebut, sama seperti waktu biasa penutupan kaunter sepanjang bulan Ramadan.
Dakwaan yang diberikan ini adalah serius dan kaunter jamin mahkamah tidak boleh ditutup sesuka hati. Di dalam hal ini, adalah lebih baik agar rakaman CCTV di kaunter jamin dapat dikeluarkan dan ditunjukkan untuk menentukan waktu sebenar penutupan kaunter pada hari tersebut.
Hanya dengan cara ini, bukti dari rakaman CCTV tersebut akan mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh PKPMP mengenai penutupan kaunter pada waktu yang betul dan rakaman ini penting bagi memastikan pihak kaunter jamin tidak bersalah dalam hal ini.