Mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) DAP pada malam Isnin turut membincangkan keadaan jenayah yang kian menjadi-jadi sehingga berkembang menjadi suatu krisis besar di Malaysia dengan kesan yang amat teruk bukan sahaja terhadap keselamatan peribadi malah mempengaruhi iklim sektor pelancongan dan bisnes. Dengan satu kes tembakan setiap hari sejak penghujung bulan lalu, dengan kejadian terbaru melibatkan pembunuhan kejam ahli perniagaan Mohd Lutfi Mansor dalam kejadian rompakan di Dungun, respon mengecewakan Kementerian Dalam Negeri diperlihatkan dengan tidak mengambil sebarang tindakan malah menyalahkan pula pemansuhan Ordinan Darurat.
DAP memutuskan untuk bertindak dengan melantik Naib Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk mengepalai pasukan bertindak terhadap jenayah (Crime Action Taskforce, CAT) bagi menggesa penambahan daripada hanya 10,150 (9%) daripada sejumlah 112,583 anggota di Jabatan Siasatan Jenayah kepada 50% atau 56,000 anggota demi mengembalikan segera keamanan awam. Mesti ada tumpuan penuh daripada pihak polis untuk kembali kepada tugas statutori mereka untuk membanteras jenayah.
Jawapannya bukanlah dengan menghidupkan kembali undang-undang seakan Ordinan Darurat, malah sebenarnya ialah kehadiran polis secara luarbiasa di ruang awam serta kekuatan kakitangan dan sumber peralatan untuk mencegah jenayah. Apalah yang susah sangat untuk membahagi semula kekuatan pasukan polis daripada melakukan tugasan tidak penting termasuk memantau dan menangani lawan politik BN kembali kepada tugas utama mereka untuk membanteras jenayah?
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengundang cemuhan daripada orang awam dengan aksi putar belit matematiknya tentang kewujudan 260,000 penjenayah bertebaran di jalanan Malaysia kerana 2,600 tahanan dibebaskan berikutan pemansuhan Ordinan Darurat. Namun seandainya beliau benar-benar percaya dengan angka 260,000 penjenayah yang bebas itu, beliau seharusnya mengambil langkah-langkah segera untuk meningkatkan bilangan anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah daripada 9% kepada 50%. Jika 56,000 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah pun masih tidak mencukupi, mungkin Ahmad Zahid patut memohon bantuan daripada Angkatan Tentera ataupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pemansuhan undang-undang seperti Ordinan Darurat tidak dapat menjelaskan bagaimana senjata api nampaknya begitu mudah didapati sehinggakan hampir semua perompak di serata negeri di Malaysia dilengkapi senjata. Malah hukuman mati bagi kesalahan memiliki senjata api mahupun sebutir peluru masih belum dimansuhkan pun. Jika senjata begitu mudah diperolehi di saat hukuman mati masih berkuatkuasa, pemansuhan Ordinan Darurat jelas sekali bukanlah sebab kepada peningkatan kes jenayah berat. Hanya kehadiran terus menerus pihak polis yang boleh menghalang penjenayah dan menurunkan kadar jenayah.
Sebagai ketua pasukan CAT kebangsaan DAP, Teresa Kok akan mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu padu sebagai mangsa jenayah terhadap kelompok penjenayah yang merbahaya ini. Sebagai langkah awal, semua cawangan dan pusat khidmat DAPm termasuk wakil rakyat, akan menggantung kain rentang menuntut Kementerian Dalam Negeri untuk menambah bilangan anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah daripada 9% ke 50%. Kain rentang tersebut juga akan dipamerkan dalam majlis-majlis anjuran DAP. Teresa akan mengumumkan anggota CAT DAP serta koordinator daripada setiap negeri di Malaysia.
Teresa akan berhubung bukan sahaja dengan pimpinan Pakatan Rakyat malah juga dengan pimpinan BN dan badan-badan bukan kerajaan lain demi mendapatkan satu pendekatan bersama secara bipartisan untuk menangani krisis jenayah ini secara bersama. Sebagai langkah awal, beliau akan mengadakan perbincangan meja bulat Parlimen tentang jenayah bagi membawa seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu bersama mendepani dan mengatasi krisis nasional ini.