Skip to content

Teruskan Amalan Kerajaan PN/BN Sebelum ini Dengan Melaksanakan DLP dalam Bahasa Inggeris Tanpa Syarat Tambahan Atau Sekatan.

DAP berharap agar Menteri Pendidikan YB Puan Fadhlina Sidek dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di 11 buah sekolah menengah di Pulau Pinang, yang mahu ibu bapa terus diberi pilihan untuk memutuskan sama ada anak mereka akan diajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah Program Dwi Bahasa atau DLP. YB Fadhlina semalam menyatakan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah memulakan sesi penglibatan dengan semua pihak berkepentingan berhubung bantahan di sekolah-sekolah berkenaan berkaitan pekeliling terkini DLP yang memerlukan sekurang-kurangnya satu kelas diajar dalam Bahasa Malaysia sebelum kelas lain boleh diajar dalam Bahasa Inggeris.

Sekolah-sekolah ini menyatakan bahawa hampir semua ibu bapa mahu anak-anak mereka diajarkan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah DLP. Pihak sekolah juga tidak dapat mencari pelajar yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sekurang-kurangnya satu kelas yang diajar dalam Bahasa Malaysia. Maka, Kementerian Pendidikan seharusnya meneruskan amalan sebelum ini yang dilaksanakan oleh kerajaan PN/BN sebelum ini iaitu mengutamakan pilihan ibu bapa dalam pelaksanaan DLP.

Menghormati dan mengutamakan pilihan ibu bapa akan membantu pendemokrasian pendidikan untuk memenuhi kehendak ibu bapa demi kepentingan terbaik pelajar. Pendemokrasian pendidikan adalah satu pembaharuan penting dalam sistem pendidikan yang progresif dan terbuka. Ironi sekali jika kerajaan PN/BN sebelum ini pula dilihat lebih progresif atau reformis dengan menghormati pilihan ibu bapa.

Pendirian PN ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bekas Menteri Luar PN dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah sewaktu saya berucap saya di Parlimen pada 5 Mac 2024. Saifuddin menyatakan sokongan penuh kepada gesaan saya untuk meneruskan amalan kerajaan PN/BN sebelum ini iaitu menghormati pilihan ibu bapa untuk DLP dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang syarat, gangguan atau sekatan.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, harus berhenti mempolitikkan dan menyampaikan pandangan berbaur perkauman terhadap permintaan sekolah-sekolah di Pulau Pinang ini, lebih-lebih lagi apabila pimpinan parti beliau sendiri bersetuju dengan mengutamakan pilihan ibu bapa dalam pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang syarat atau sekatan. Seperti yang telah dipersetujui oleh Saifudin ini, ramai ibu bapa ini juga adalah orang Melayu.

Tiada siapa yang membantah penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah ini seperti yang didakwa oleh Razali. Sekolah-sekolah di Pulau Pinang ini juga telah mengulangi bahawa mereka tidak menentang Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. Permintaan mereka ialah untuk meneruskan DLP seperti yang telah dilaksanakan olej kerajaan PN/BN sebelum ini dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang syarat atau sekatan, malah tidak dibantah oleh Razali apabila ia dilaksanakan oleh kerajaannya.

Begitu juga, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh harus berhenti untuk menjadi hero dan mempolitikkan kontroversi yang tidak bertempat ini. Walhal Dr Akmal tidak pernah pula membantah amalan menghormati pilihan ibu bapa bagi pelaksanaa. DLP dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang syarat apabila ia dilaksanakan oleh kerajaan PN/BN. Maka beliau harus berhenti mengambil kesempatan dan menentang amalan yang sama untuk menghormati pilihan ibu bapa sekarang.

Marilah kita berhenti daripada mempolitikkan isu-isu pendidikan ini dan menyokong usaha pendemokrasikan pendidikan untuk memenuhi keperluan pelajar kita, bagi menghasilkan pelajar yang terbaik dan cemerlang daripada sistem pendidikan kita.