Jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memberi layanan secara adil kepada Sabah, maka dengan itu beliau perlu memulakannya dengan menyambung semula kesemua projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH) untuk kebaikan rakyat di Sabah.
Dalam ucapan Perdana Menteri di Sesi Balai Rakyat (town hall) di Kota Kinabalu pada Isnin bertajuk “Makmur Bersama Sabah 2030”, beliau mengatakan kerajaan persekutuan menekankan layanan adil dalam merangka pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk Sabah dengan memberikan peruntukan yang sama seperti di negeri-negeri lain.
Perdana Menteri berkata bahawa beliau juga sedar Sabah masih jauh ketinggalan dibelakang berbanding kebanyakan negeri di Semenanjung dalam bentuk pembangunan. Jika beliau ikhlas dan serius dalam apa yang baru diperkatakan beliau, oleh itu saya mendesak kepada beliau untuk menyambung semula kesemua projek yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu, PH, yang telah dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) beliau tanpa apa-apa sebab. Projek ini juga adalah sangat penting untuk sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat disini (Sandakan).
Projek yang telah diluluskan oleh kerajaan PH sebelum ini tetapi telah dibatalkan selepas PN mengambil alih kerajaan lebih setahun lalu termasuk projek UTC Bandar Sandakan, Skim Pembentungan Kampung -Sim-Sim, menaiktaraf persimpangan Jalan Sibuga-Jalan Utara hadapan SK St.Monica, menaiktaraf Dewan Masyarakat Sandakan, dan begitu juga membaikpulih asrama tempat tinggal Pusat Latihan Orang Buta Taman Cahaya Sandakan yang sudah usang.
Bagaimana PM boleh mengatakan akan adil kepada Sabah apabila beliau membatalkan projek ini yang mana ia juga jelas memperlihat tidak mengambil kira keperluan infrastruktur yang penting untuk penduduk disini dalam membantu memajukan pembangunan sosioekonomi kita di Sandakan?
Selain itu, PM juga mengumumkan bahawa dibawah “Rolling Plan” Pertama RMK12, sejumlah 1,039 projek pembangunan dengan peruntukkan RM5.01 billion juga telah diluluskan untuk Sabah. Adalah mengejutkan bahawa selaku wakil rakyat yang dipilih, saya juga tidak menerima apa-apa maklumat berkenaan pelan pusingan pertama. Tanpa melibatkan wakil rakyat yang dipilih untuk merangka pelan seumpama, bagaimana kerajaan dapat memastikan projek infrastruktur yang kritikal diberikan keutamaan? Kami sangat memerlukan penaiktarafan paip air dan pam air untuk memastikan tiada lagi gangguan bekalan air dari Loji Rawatan Air Segaliud; kami juga memerlukan perhatian segera untuk penempatan yang lain bagi tapak pelupusan sampah sedia dengan pengurusan sisa pepejal yang baik; kami memerlukan Skim Pembentungan Bandar Sandakan untuk menghapuskan satu-satunya cara sedia ada iaitu pembuangan terus ke laut ketika ini; kami memerlukan dengan kadar segera untuk mengatasi masalah lalulintas yang semakin teruk pada waktu puncak di Bulatan Helang dan Bulatan Buaya di Batu 7, kita perlu siapkan jalan lingkaran Libaran sehingga ke Batu 32 yang terbiar ketika ini untuk menyediakan laluan selamat dan lebih laju untuk ribuan pengguna, dan kita juga memerlukan untuk mendalamkan laut kawasan masuk berdekatan pelabuhan kita untuk membolehkan kapal besar untuk datang ke pelabuhan kita dan meningkatkan ekonomi kita. Adakah semua keperluan rakyat ini telah didengar dalam RMK12?
Justeru, saya mendesak kepada PM untuk mempraktikkan apa yang telah dikatakan oleh beliau dan komited untuk benar-benar memberi layanan kepada Sabah dengan adil dan bertanggungjawab dengan mendengar rintihan atau luahan rakyat di Sabah. Jumlah data dan nombor sahaja tidak mencukupi untuk Sabah makmur bersama bersama negeri lain di negara ini.