Skip to content

Tetapkan tarikh tutup daftar vaksin – Wan Saiful bercakap atas kapasiti apa?

Saya merujuk kenyataan dikeluarkan Wan Saiful Wan Jan sepertimana laporan di https://www.malaysiakini.com/news/578751.

Beliau cadang agar Kerajaan tetapkan tarikh tutup pendaftaran vaksin untuk elak orang ramai ambil sikap sambil lewa. Bahkan beliau yakin lebih ramai rakyat akan ‘insaf’ dan segera pergi mendaftar vaksin.

Soalan saya, Wan Saiful bercakap atas kapasiti apa? Rakyat di kawasan mana yang beliau maksudkan?

Nasihat saya, Wan Saiful jangan menuding jari kepada rakyat. Jangan asyik salahkan rakyat. Rakyat di bawah ini ada pelbagai kekangan, namun ramai yang berusaha keras agar dapat divaksin segera. Bukan sambil lewa. Kerajaan sepatutnya mempermudahkan, bukan mengambil pendekatan seolah-olah mahu menggertak rakyat.

Semalam di Paloh, dalam masa 6 jam sahaja, 500 dos suntikan telah berjaya diberikan. Itu pun masih ramai yang berharap dapat divaksin tetapi tidak berjaya kerana jumlah vaksin yang terhad. Disamping itu ada yang kecewa kerana isu-isu berkaitan sistem pendaftaran yang ada masalah seperti salah alamat temujanji, pendaftaran bertindih dan sebagainya.

Ada warga emas umur 80an telah mendaftar sejak Mac lalu. Pagi petang siang malam buka MySejahtera kerana takut terlepas tarikh temujanji. Proses pemberian vaksin perlu dipermudahkan buat mereka. Lebih banyak PPV perlu dibuka. Outreach sehingga ke pelusuk kampung dan kawasan luar bandar. Ini yang harus diberikan perhatian.

Rakyat bersungguh-sungguh mahu mendapatkan vaksin. Saya harap Wan Saiful boleh turun padang dan meninjau dengan mata kepala sendiri. Saya mempelawa Wan Saiful turun ke Paloh dan Kahang. Dalam sehari, 500 orang siap divaksin di Paloh apabila vaksin ‘dibawa’ kepada mereka. 300 orang divaksin di Kahang.

Menetapkan tarikh tutup pendaftaran ini dasar yang tidak berpandukan sains dan bukti.

Apakah selepas ini PN mahu saman RM1000 pula kepada rakyat yang tidak mendaftar?