Skip to content

Tiada alternatif atau kompromi untuk mengadakan usul undi percaya di Parlimen terhadap pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri

Tidak ada sebarang alasan bagi penundaan sidang Parlimen dari 6 September kepada 13 September jika usul undi percaya terhadap Perdana Menteri baharu Ismail Sabri Yaakob tidak ada dalam agenda atau kertas aturan parlimen. Jelas bahawa Parlimen telah ditangguhkan satu minggu untuk membantu Ismail, yang berada di bawah kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19.

DAP menerima bahawa Perdana Menteri baharu perlu berada di Parlimen, ketika undi percaya sedang dipertimbangkan dan diputuskan oleh Parlimen. Namun, jika tidak ada usul undi percaya, apa gunanya atau alasan penangguhan Parlimen selama satu minggu? Tidak ada alternatif atau kompromi untuk mengadakan usul undi percaya di Parlimen, ia perlu dilaksanakan.

Pelantikan Perdana Menteri baharu ketika pertengahan penggal parlimen akibat daripada kekosongan, memerlukan undi percaya bagi menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan negara. Bagi Ismail Sabri untuk tidak memasukkan usul undi percaya dalam agenda Parlimen adalah tidak berperlembagaan.

Pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti. Sebarang kegagalan Ismail untuk melakukannya akan menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan yang disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja, yang akan menjadi permulaan yang tidak baik kepada kepimpinannya sebagai Perdana Menteri.

Perlu diingatkan, Ismail tidak patut lupa apa yang terjadi kepada Perdana Menteri sebelumnya yang dilihat tidak taat secara terbuka sehingga menimbulkan rasa dukacita Tuanku. DAP tidak faham mengapa Ismail enggan mengemukakan usul undi percaya ketika Yang DiPertuan Agong telah mengumumkan bahawa Ismail memenangi sokongan 114 Ahli Parlimen dan di tengah perbincangan bersama Pembangkang untuk fokus memerangi wabak COVID-19, krisis ekonomi yang telah memusnahkan nyawa dan mata pencarian serta melakukan reformasi institusi bagi melindungi demokrasi berparlimen negara.

Kecuali sekiranya, Ismail Sabri tidak yakin dengan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi daripada Ahli Parlimen Kerajaan. DAP ingin mengingatkan Ismail dengan keras bahawa sebarang kegagalan untuk membentangkan undi percaya dan menentang titah Yang DiPertuan Agong, akan merosakkan kredibiliti dan kepercayaan terhadap dirinya.

Tidak ada Perdana Menteri yang ingin menyambut Hari Merdeka pertamanya di bawah situasi seperti ini yang sekali lagi akan menimbulkan ketidakstabilan politik. Ini akan memberi kesan yang serius terhadap kemampuan Ismail sebagai Perdana Menteri untuk memimpin negara memerangi pandemik COVID-19 dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan, serta turut mempertaruhkan kredibiliti beliau bagi memenuhi janji untuk melaksanakan reformasi institusi seperti Undang-undang Anti Lompat Parti Anti, yang menyekat Ahli Parlimen melompar parti demi kepentingan politik.