Sebentar tadi, berlangsungnya Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri menerusi sidang video, dan mesyuarat memutuskan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi negeri Pulau Pinang yang bakal berakhir pada Khamis ini (18 Februari 2021) dilanjutkan lagi. Keputusan tersebut diputuskan berdasarkan kewajaran data dan fakta saintifik yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sehingga 15 Februari 2021, anggaran R-naught (Rt) bagi seluruh negara adalah pada paras 0.88 dan Pulau Pinang mencatatkan 1.01 yang mana masih pada kadar yang tinggi. Selain kesemua lima daerah di negeri ini masih berada dalam zon merah, terdapat dua kluster baru turut dikesan di negeri ini semalam iaitu Kluster Tapak Bina Persiaran Mutiara dan Kluster Jalan Baru.
Turut ditekankan oleh KKM pada mesyuarat berkenaan adalah perhatian khusus wajar diberikan terhadap jangkitan dalam komuniti (sporadik) yang kini mencatatkan jumlah 70 peratus membabitkan pelbagai peringkat umur. Sebagai tambahan, sektor pembuatan masih mencatatkan jumlah kluster terbanyak diikuti pembinaan, perkhidmatan, pentadbiran awam, peruncitan dan pendidikan. Justeru, usaha memutuskan rantaian perebakan pandemik COVID-19 di negeri ini masih memerlukan komitmen setiap individu khususnya untuk terus memperkasakan normal baharu, patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memperkukuhkan penguatkuasaan dengan penglibatan semua.
Di Pulau Pinang, pada minggu epid ke-6 (7 Februari 2021 hingga 13 Februari 2021), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Pulau Pinang menerima laporan sejumlah 1,068 kes positif COVID-19 yang mana sebanyak 766 kes (71.7 peratus) adalah terdiri daripada warganegara manakala bukan warganegara (302 kes, 28.3 peratus).
Pecahan kes mengikut kluster dan saringan adalah seperti berikut:- (kes)
- 256 Kluster Mayang Pasir;
- 271 Kluster Beringin;
- 84 Kluster Tapak Bina Valdor;
- 19 Kluster Penjara Seberang Perai;
- 126 saringan tempat kerja;
- 133 saringan kontak rapat;
- 179 terdiri daripada saringan bergejala, saringan pra-pembedahan dan lain-lain saringan.
Secara keseluruhan, sejumlah 8,953 ujian pengesahan COVID-19 telah dijalankan sepanjang minggu berkenaan (epid ke-6) oleh kepelbagaian fasiliti kesihatan di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). Majoriti saringan adalah tertumpu kepada saringan kontak rapat kes positif, saringan tempat kerja di kilang industri serta tapak bina dan juga saringan bergejala.
Bagi saringan bukan warganegara sama ada berdaftar di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau sebaliknya (saringan atas inisiatif majikan sendiri) membabitkan sektor pembuatan/perkilangan serta tapak binaan, JKNPP melaporkan bahawa sehingga 15 Februari 2021, seramai 51,002 orang telah menjalani saringan. Bagi permohonan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang berhubung pelaksanaan saringan massa (mass testing) dalam kalangan pekerja sama ada warganegara dan bukan warganegara, Kerajaan Negeri sedang menunggu maklum balas lanjut daripada KKM berhubung surat yang telah diutus pada 2 Februari 2021.
Pada kesempatan ini, saya ingin terus menyeru serta menegaskan bahawa pematuhan SOP adalah tidak wajar dipertikaikan kerana virus COVID-19 kini menyerang dalam senyap dan berada di sekitar kita. Data yang dikongsi KKM turut mendapati bahawa 90.3 peratus kes pesakit yang dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 12 Februari lalu adalah tidak menunjukkan sebarang gejala. Tiada pergerakan, tiada jangkitan, lindungi orang tersayang serta komuniti kita.
Penang Lawan COVID-19!