Pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri menerusi sidang video sebentar tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan Pelan Strategik KKM yang bakal membawa negara ke tahap seterusnya dalam menghadapi pandemik COVID-19 kini.
Secara keseluruhan, pelan yang dibentangkan adalah menyentuh saranan-saranan saya sebelum ini terutamanya dalam memperkasakan komponen penting iaitu pendekatan 3T (testing, saringan secara besar-besaran; tracing, mengenal pasti dan treating, merawat) secara menyeluruh melibatkan pembabitan semua pihak dalam memperkasakan kelengkapan logistik sedia ada, integrasi dengan sektor-sektor swasta, meningkatkan kesedaran serta pembudayaan normal baharu dan juga pelaksanaan pelan imunisasi COVID-19.
Sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan atau sebaliknya, kita menunggu pengumuman rasmi nanti. Walau bagaimanapun, kita perlu terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) demi memenangi pertempuran ini. Melihat kepada angka-angka kes harian, tidak dinafikan bahawa SOP sedia ada kini adalah wajar diperketatkan. Justeru, saya menyeru semua SOP dikuatkuasakan supaya dapat diselaraskan pelaksanaannya di seluruh negara agar ia tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umum.
Berhubung pelaksanaan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kadar saringan di Pulau Pinang mengikut perangkaan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 31 Januari 2021 masih lagi tidak mencapai 50 peratus. Berlandaskan situasi berkaitan, Kerajaan Negeri kini melihat kepada kerjasama dengan pihak swasta termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang untuk mempercepatkan saringan terhadap pekerja sama ada warganegara dan bukan warganegara di negeri ini. Sebagai tambahan, cadangan berkaitan juga akan dipanjangkan kepada KKM bagi maklum balas lanjut.
Selaras itu, Kerajaan Negeri amat berharap supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat memberikan maklum balas hasil lawatan tapak pihak berkaitan pada 23 Januari lalu berhubung permohonan Pulau Pinang bagi pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS).
Bagi pelan vaksinasi, kerajaan umumnya perlu mengeluarkan kenyataan-kenyataan tegas bertujuan menanam keyakinan dalam kalangan rakyat bagi mendapatkan suntikan tersebut. Kerajaan Negeri pastinya akan memberikan kerjasama penuh berhubung keperluan logistik bagi kelancaran pelaksanaannya termasuk kerjasama dengan pengamal-pengamal perubatan swasta di negeri ini yang mana ia akan dipanjangkan kepada KKM untuk rujukan lanjut.
#kitajagakita dan pematuhan SOP adalah vaksin terbaik. Penang Lawan COVID-19!