Skip to content

Tiada sebarang iltizam politik kerajaan dilihat dalam melindungi keselamatan data peribadi rakyat

Satu demi satu kenyataan telah dikeluarkan oleh agensi kerajaan untuk menafikan bahawa pangkalan data mereka telah digodam. Jabatan Akauntan Negara (JANM) merupakan agensi terkini yang cuba meyakinkan orang awam bahawa data peribadi kita selamat.

Dua hari yang lalu, Sin Chew Jit Poh melaporkan bahawa sekumpulan penggodam yang dipanggil “gray hat” telah mengugut kerajaan akan menjual data peribadi seperti slip gaji penjawat awam termasuk menteri-menteri kabinet.

Kejadian ini merupakan kali ketiga tahun ini di mana penggodam membuat tuntutan atau menjual maklumat peribadi secara terbuka.

Walau bagaimanapun, kita langsung tidak nampak sebarang tindakan agresif diambil oleh kerajaan supaya rakyat boleh diyakinkan bahawa maklumat peribadi kita adalah selamat.

Malah, kerajaan tidak mempunyai satu pendirian yang sama terhadap dakwaan-dakwaan insiden penggodaman. Misalnya, dua jawapan bertulis yang saya terima daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri secara berasingan menunjukkan bahawa, tindakan kerajaan sendiri tidak terselaras dalam penyelesaian isu kebocoran data peribadi dari pangkalan data agensi kerajaan.

Pada 27 Julai, Datuk Dr. Abdul Latiff bin Ahmad selaku Menteri Tugas-tugas Khas menjawab seperti berikut:

“Kebocoran data dari pangkalan data agensi kerajaan seperti yang tular atau diuar-uarkan sebelum ini adalah tidak berlaku. Penelitian mendapati bahawa data yang didakwa daripada pangkalan data Kerajaan adalah data terbuka yang boleh diperolehi oleh semua pihak.”

Hanya sehari kemudian dari itu, pada 28 Julai, Menteri Dalam Negeri menyatakan dalam jawapan bertulis bahawa:

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima dua laporan polis pada bulan Mei dan Jun 2022 melibatkan kebocoran Data Peribadi Rakyat Malaysia. PDRM telah menjalankan siasatan berkait Sentul Repot 8205/2022 dan Presint 7 Report 4199/2022 di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan. Memandangkan siasatan masih dijalankan, pihak Kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lanjut agar tidak mengganggu proses siasatan.”

Sekiranya tiada sebarang insiden kebocoran berlaku seperti dinyatakan oleh Menteri Tugas-tugas Khas, kenapa PDRM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menjelaskan ketidakwujudan insiden kebocoran data peribadi tersebut malah terus melakukan siasatan?

Saya difahamkan bahawa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali telah mengeluarkan satu pekeliling pada 4 Ogos 2022 supaya Pasukan Tindak Balas Insident Keselamatan Siber (CSIRT) ditubuhkan dalam semua kementerian dan agensi kerajaan. Namun begitu, kita tidak melihat sebarang iltizam politik kerajaan sekarang dalam melindungi keselamatan data peribadi rakyat.

Jangan sampai data peribadi Perdana Menteri dan ahli-ahli Jemaah Menteri terdedah sepenuhnya oleh penggodam, baru kerajaan mahu ambil tindakan.