Tiada siapa akan percaya kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang kononnya kerajaan ‘sedia memperbaiki segala kesilapan yang telah dilakukan’ (https://www.malaysiakini.com/news/389441). Kecualilah kalau Ku Nan dan Barisan Nasional (BN) mengotakan kata-katanya dengan membetulkan kesilapan-kesilapan ini secara tindakan dan bukan sekadar sembang kencang semata-mata.
Orang ramai mungkin akan percayakan Ku Nan bahawa BN akan berubah, sekiranya dosa-dosa besar berikut dibetulkan dahulu.
Pertama, berlian merah jambu bernilai US$27.3 juta yang didakwa telah diberikan kepada isteri MO1, yang dipercayai adalah isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mesti diserahkan kepada pihak polis ataupun pihak berkuasa Amerika Syarikat, sementara hasil beberapa siasatan jenayah dan saman sivil di sekurang-kurangnya enam negara diselesaikan. Hadiah penuh misteri ini mesti dikembalikan kepada rakyat Malaysia kerana ia dipercayai telah dibeli menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB, dana berdaulat negara. Kedua-dua Datuk Seri Najib Razak dan isterinya belum menafikan kewujudan berlian ini.
Kedua, BN mesti membatalkan status OSA ke atas Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen. Laporan tersebut melibatkan wang rakyat dan bukan wang Najib atau Rosmah. Kenapa rakyat dihalang daripada mengetahui kebenaran di sebalik laporan terbabit? Adakah kerana bukan sebentuk tetapi lebih banyak lagi intan berlian disebut dalam laporan tersebut?
Ketiga, dosa dan pengkhianatan terbesar oleh BN kepada rakyat selepas PRU yang lalu ialah pelaksanaan cukai GST pada 1 April 2015, yang telah mencukai rakyat dari segenap lapisan masyarakat sebanyak RM40 bilion setiap tahun. Batalkan GST dan mungkin rakyat akan menyokong BN.
Akhir sekali, warganegara berketurunan Cina didakwa telah menolak BN dalam dua PRU yang lalu atas sebab-sebab yang mungkin hanya diketahui pasangan suami isteri di Sri Perdana. Namun sokongan kaum Cina mungkin boleh dikembalikan oleh seorang yang sudah meninggal dunia. Mahkamah telah pun memutuskan bahawa mendiang Teoh Beng Hock telah terbunuh dalam tahanan SPRM lapan tahun lalu. Pun begitu, BN enggan menghukum suspek yang terlibat sehingga ke hari ini. Jenayah membunuh tiada tarikh luput untuk diambil tindakan. Bagi membetulkan kesilapan dan jenayah ini, Najib dan kabinetnya boleh membuka semula siasatan, supaya keadilan ditegakkan bagi pihak mangsa, keluarganya dan mereka yang terlibat menyebabkan kematiannya.