Skip to content

TIADA TAHANAN RUMAH UNTUK NAJIB KEADILAN TIDAK BOLEH DIPERMAINKAN, UNDANG-UNDANG WAJIB SAMA RATA UNTUK SEMUA

Cadangan UMNO agar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak munasabah dan wajib ditolak secara tegas. Permintaan sebegini bukan sahaja mencalar prinsip keadilan, malah mengundang tanggapan bahawa wujud layanan khas untuk tokoh politik berpengaruh.

Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah tertinggi dalam kes salah guna dana awam. Jika individu yang dikaitkan dengan skandal kewangan terbesar negara diberi keistimewaan seperti ini, apakah isyarat yang disampaikan kepada penjawat awam, pemimpin lain, dan rakyat biasa? Apakah undang-undang hanya tegas terhadap mereka yang tiada jawatan atau pengaruh?

Sabitan jenayah mesti dihormati dan dilaksanakan tanpa pilih kasih. Mana-mana pesalah yang telah melalui proses perbicaraan yang sah perlu menjalani hukuman sebagaimana diputuskan oleh mahkamah, tanpa kelonggaran luar biasa.

Malaysia tidak boleh menjadi negara dua darjat — satu undang-undang untuk golongan elit, satu lagi untuk rakyat. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dengan saksama, berintegriti dan konsisten terhadap semua, tanpa pengecualian.