Skip to content

Tidak ada sehari pun sejak saya bersara dari politik barisan hadapan di mana saya tidak memikirkan mengenai masa hadapan Malaysia

Saya telah menolak cadangan dari Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, untuk saya menjadi mentor DAP selepas saya bersara dari politik barisan hadapan pada bulan Mac tahun lepas, kerana saya percaya yang DAP berada dalam jagaan yang baik di bawah barisan pimpinan DAP yang lebih muda dan juga kerana saya ingin memastikan apabila saya menyampaikan apa-apa pendapat saya, perkara ini tidak dilihat sebagai pendirian DAP, sebaliknya hanyalah pendirian seorang individu yang bernama Lim Kit Siang.

Kerana inilah saya tidak mendapatkan pandangan para pimpinan DAP sebelum menyampaikan pendapat-pendapat saya dalam waktu ini.

Saya percaya yang saya sudah berjaya dalam mencapai objektif ini sejak dari persaraan saya pada Kongres DAP pada bulan Mac tahun lalu, dan saya tidak lagi mewakili DAP dalam apa-apa kapasiti apabila saya menyampaikan pendapat saya.

Saya boleh katakan yang sejak dari persaraan saya dari politik barisan hadapan lebih dari setahun yang lepas, tidak ada satu hari pun yang berlalu tanpa saya memikirkan mengenai masa hadapan Malaysia.

Sesetengah perkara-perkara yang berlegar di fikiran saya adalah:

  • Sama ada mungkin untuk perbetulkan kemunduran negara dalam setengah abad yang lepas, di mana kita ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam. Menjelang 2040 atau 2050, adakah kita bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara, termasuklah Indonesia dan Filipina? Dalam usaha melawan rasuah, kita bakal ditinggalkan di belakang China, India, dan Indonesia. Apakah masa depan yang ada untuk kita?
  • Bolehkah kita tetapkan semula dasar-dasar negara yang dilaksanakan dalam setengah abad yang lepas, misalnya, Dasar Ekonomi Baru yang dirangka untuk dilaksanakan selama 20 tahun tetapi sebaliknya berlanjutan selama lebih dari setengah abad dan mewujudkan kelas UMNO-putera sambil meninggalkan orang Melayu miskin seperti biasa.
  • Bolehkah kita yakinkan rakyat Malaysia bahawa Malaysia hanya mempunyai masa depan sekiranya kita berjaya untuk menetapkan semula dan kembali kepada prinsip penubuhan Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – raja berperlembagaan, doktrin pemisahan kuasa, demokrasi berparlimen, badan kehakiman yang bebas, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam dan rasuah yang minima, Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama untuk semua agama lain, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan dari kepelbagaian untuk sebuah Malaysia majmuk?
  • Adakah Impian Malaysia untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia satu impian yang mustahil untuk dicapai?

Baru-baru ini, satu persoalan yang sering dipertanyakan adalah berapa lama kerajaan perpaduan Anwar ini akan bertahan.

Saya telah mengatakan bahawa peluang kerajaan perpaduan Anwar untuk bertahan selama lima tahun penuh adalah positif, tetapi ia tidak boleh merosakkan diri sendiri dengan melaksana dasar yang bertentangan dengan nilai teras dan prinsip asas untuk membina negara bangsa Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang disokong oleh empat Presiden UMNO yang terawal, seperti usaha untuk memerangi rasuah dan mengembalikan badan kehakiman yang bebas.

Kegilaan minggu lepas boleh dirumuskan oleh tulisan saintis politik, Wong Chin Huat, yang menulis artikel yang bertajuk “Kerajaan perpaduan berakhir jika Najib bebas”.

Masalah terdekat yang berkait dengan kelangsungan kerajaan perpaduan Anwar ini kelihatan seperti suatu masalah dalaman dan bukan luaran.

Saya fikir menjadi satu kesilapan untuk percaya bahawa UMNO hanya boleh kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan. Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib sekarang tidak akan menguntungkan UMNO sama sekali sebaliknya hanya akan menguntungkan PAS dan Bersatu, selain menyebabkan keruntuhan kerajaan perpaduan Anwar.

Satu-satunya cara untuk UMNO memulihkan kehebatannya adalah dengan menerajui penetapan semula dan kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang asal untuk membina sebuah Malaysia yang majmuk.

Malaysia akan kehilangan peluang penetapan semula hala tuju negara dan peluang untuk kembali kepada prinsip pembinaan negara yang asal untuk sebuah Malaysia majmuk yang disokong empat Presiden UMNO terawal – Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn – dan menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada dunia sekiranya kerajaan perpaduan Anwar tumbang pada hujung bulan ini.

Adakah Malaysia menyimpan cita-cita buruk untuk kembali ke arah menjadi sebuah negara berpecah belah, gagal, dan kleptokratik? Saya tinggalkan isu-isu ini untuk dibincangkan dalam pemukiman anda semua.