Skip to content

TIDAK MENAFIKAN KEBERKESANAN NG999, PERLU DINILAI KEBOLEHSANAANNYA TERLEBIH DAHULU DAN TIDAK DILAKSANAKAN SECARA TERUS

Gangguan aduan talian hotline 999 yang dikesan sejak Isnin lalu (17 November 2025) merupakan insiden yang boleh dielak, malah secara peribadinya saya berpandangan bahawa ia membawa risiko tertentu khasnya kepada individu yang memerlukan perkhidmatan berkaitan dalam situasi kecemasan.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Pulau Pinang, saya tidak menafikan tahap keberkesanan sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services (NG999) yang mula beroperasi pada 16 November 2025, namun demikian, makluman berhubung pelaksanaan serta pengendaliannya perlu lebih meluas membabitkan semua pihak termasuk badan-badan khidmat ambulan serta kecemasan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum khasnya. Sistem baharu itu sepatutnya tidak dilaksanakan secara terus dan perlu dinilai kebolehlaksanaannya terlebih dahulu bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan sentiasa terjamin, tanpa mempertaruhkan nasib dan nyawa rakyat sejagat.

Justeru, saya amat berharap agar kementerian-kementerian serta agensi berkaitan memandang serius situasi yang dibangkitkan oleh semua pihak berkepentingan khasnya NGO (khidmat ambulan serta kecemasan) yang memainkan peranan amat penting di Pulau Pinang, dan juga rakyat yang kebiasaannya mendail nombor 999 untuk kes-kes kecemasan sejak berkurun lamanya.

Dalam pada itu, bagi bersama-sama menyahut seruan pihak kementerian berhubung penggunaan sistem baharu yang menyepadukan peta digital berasaskan web, identiti pemanggil, perkhidmatan geolokasi, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar mudah alih untuk pengendalian insiden kecemasan yang lebih cekap di seluruh negara, saya menggalakkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi SaveME999 di AppStore atau Google Play bagi memudahkan penghantaran maklumat kecemasan secara tepat, pantas dan berkesan, melalui mesej ringkas (SMS) NG999.