Skip to content

Tidak perlu panik kerana masih ada perkara baik yang dapat dilihat dari awam hitam dalam enam pilihan raya negeri

Saya bersetuju dengan kerisauan bahawa kerajaan Madani akan bergerak ke kanan untuk menarik golongan konservatif Melayu, seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen PKR untuk Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen DAP untuk Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, dan Setiausaha Agung Amanah, Mohd Hatta Ramli, dan juga oleh orang-orang lain.

Bagaimanapun, tidak ada keperluan untuk panik lagi kerana masih ada perkara baik di sebalik awam hitam yang menyelubungi enam pilihan raya negeri lepas.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Madani dalam empat tahun yang lepas adalah untuk menyenaraikan dan melaksanakan visi Madani yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia, baik orang Melayu mahupun bukan Melayu, dalam usaha untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia dan menghentikan kemerosotan negara kita dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka ketika negara kita menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun 2057.

Sekiranya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, atau komunis, maka DAP tidak sepatutnya mendapat satu pun undi Melayu dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

Namun, DAP masih berjaya mendapatkan sejumlah besar undi Melayu di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, di mana kita dapat melihat tiga pemimpin DAP beraksi mencatatkan kemenangan di Selangor – Ng Suee Lin di Sekinchan, Lee Kee Hiong di Kuala Kubu Baharu, dan Lwi Kian Keong di Sungai Pelek.

Parti politik manakah yang pernah melahirkan pemimpin yang ke penjara dan bersedia untuk hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur?

Mengapakah tuduhan-tuduhan yang kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969, dan komunis tidak dibuat dalam 30 tahun pertama kewujudan DAP, sebaliknya hanya dibuat dalam 20 tahun yang lepas dengan filem Tanda Putera?

Kedah, Kelantan, dan Terengganu adalah tempat di mana momokan anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969, dan komunis terhadap DAP memainkan peranan terbesar, kerana tidak ada sebarang naratif balas untuk semua fitnah-fitnah ini memandangkan tidak ada hubungan yang berlaku bersama dengan para pemimpin kebangsaan DAP yang membawa kepada orang-orang Melayu di negeri-negeri ini untuk percaya dengan momokan yang dilemparkan terhadap DAP.

Terdapat kemajuan yang dicatatkan oleh Perikatan Nasional (PN) di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, tetapi ia bukanlah satu tsunami PN.

Orang yang perlu risau adalah mereka yang menjangkakan PN akan menang besar sekurang-kurangnya 5-1 jika bukan 6-0 dalam pilihan raya negeri ini!

Keputusan enam pilihan raya negeri ini mungkin menjadi paras sokongan tertinggi yang berjaya diraih oleh PN dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-16 dalam masa empat tahun lagi pada tahun 2027 mungkin berbeza sama sekali.

Mereka yang paling rugi dalam enam pilihan raya negeri ini adalah mereka yang percaya bahawa negara kita sudah mencapai satu tahap polarisasi di antara kaum dan agama di mana terdapatnya perbezaan yang terlalu besar yang tidak dapat diperbetulkan lagi, dan bahawa perkara hanya akan menjadi lebih buruk dan tidak akan menjadi lebih baik.

Saya tidak tergolong dalam kumpulan ini.

Keputusan enam pilihan raya negeri ini merupakan satu penolakan terhadap mereka yang cuba mengatakan bahawa usaha mempromosikan idea Malaysia sebagai sebuah negara majmuk bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka yang berkempen untuk sebuah Malaysia yang hanya ada satu kaum, satu agama, dan satu budaya ini telah menolak usaha tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn (yang merupakan tiga Perdana Menteri terawal negara dan juga Presiden UMNO), Tun Tan Cheng Lock, dan Tun V. T. Sambanthan yang semuanya menerima bahawa Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk dan telah menerapkan nilai-nilai ini dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Terdapat situasi luar biasa di Malaysia, di mana tidak ada kebencian antara kaum atau agama, namun dalam pilihan raya umum, ada parti-parti politik yang bergantung kepada penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian untuk mewujudkan gambaran seakan-akan orang Melayu dan Islam sedang diancam.

Keadaan seperti ini tidak boleh dibiarkan untuk wujud, demi kesihatan negara kita.