Saya ingin menyampaikan ketidakpuasan hati saya terhadap Kerajaan Negeri kerana menolak daripada memberikan jawapan terhadap soalan-soalan yang saya tujukan semalam. Soalan saya ditolak mengikut Perintah tetap dewan negeri Johor bilangan 25 (3) yang berbunyi:
“Dengan tiada mengindah apa-apa jua yang terkandung di atas ini Menteri Besar atau ahli yang dialamatkan soal kepadanya itu boleh dengan persetujuan Speaker enggan menjawab soal yang tersebut dengan alasan bagi faedah am dan keengganan yang demikian itu tidak boleh dibahas atau disoal lagi”
Antara soalan yang ditolak adalah seperti berikut:
Soalan bertulis No.8 : Senaraikan bilangan pejabat penjualan yang terletak di luar negeri untuk tujuan pemasaran hartanah di zon antarabangsa, mengikut negara masing-masing. (JAWAB TULIS)
Soalan bertulis No.9 : Senaraikan kesemua lokasi tanah yang dikurniakan untuk tujuan perswastaan kepada GLC Kerajaan Negeri dari permulaan perswastaan sehingga kini. (JAWAB TULIS)
Soalan saya penting kerana soalan-soalan yang dikemukakan adalah memiliki asas bersabit kepentingan awam. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan telus, jawapan mestilah diberikan.
Sehubungan dengan itu, saya beranggap kerajaan negeri tidak bertanggungjawab, dan ingin menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan awam.