Skip to content

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong harus mengetuai Pemuda Gerakan bangkit mendesak pimpinan tertinggi Parti Gerakan serta Pengerusinya Mah Siew Keong untuk bersama-sama dengan rakyat jelata yang ingin dalang skandal 1MDB dihukum mengikut undang-undang

Berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong mengatakan jelas siapa ‘Malaysian Official 1’, pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang lain harus mengakui bahawa ‘Malaysian Official 1’ tersebut adalah tidak siapa tidak lain Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak. Mereka bukan sahaja perlu menerima hakikat bahawa itulah dalang sebenar yang telah melesapkan duit rakyat Malaysia sebanyak berbilion-bilion ringgit malah mereka perlu berganding bahu dengan semua rakyat Malaysia untuk mendesak Najib meletak jawatan dan diikuti dengan siasatan yang bebas daripada sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak yang menyeluruh terhadap skandal 1MDB.

Andy telah dalam kenyataan beliau menyatakan Najib berniat baik tetapi dimanipulasi oleh orang-orang tertentu untuk kepentingan diri. Beliau turut yakin bahawa tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk membawa kes ini ke mahkamah mesti mempunyai asas dan bukti yang kukuh. Ini jelas menunjukan Andy merupakan seorang pemimpin yang lebih ikhlas dan matang jika berbanding dengan Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang yang sehingga kini masih mencari pelbagai alasan yang melucukan serta tidak masuk akal untuk melindung Najib. Kenyataan Tan yang sanggup mengatakan Amerika Syarikat pernah menipu mengenai Iraq mempunyai senjata pemusnah itu telah menunjukan beliau sanggup menjadi badut demi mempertahankan Najib.

Kini, Andy sepatutnya mengetuai Pemuda Gerakan bangkit mendesak pimpinan tertinggi Parti Gerakan serta Pengerusinya Mah Siew Keong untuk bersama-sama dengan rakyat jelata yang ingin dalang skandal 1MDB dihukum mengikut undang-undang.