Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulangkan dua darjah kebesaran yang telah dikurniakan istana Selangor, boleh dilihat sebagai menghina anugerah terbabit, demikian kata Timbalan Menteri
Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Katanya, itu ‘bukan adat orang Melayu’.
Entah kenapa Nur Jazlan menyebut adat Melayu secara khusus. Adakah beliau sengaja memperkecilkan adat orang bukan Melayu yang lain dalam negara ini?
Lanjutan kepada itu, ia sebenarnya bukan urusan Nur Jazlan dan beliau tidak berhak bercakap bagi pihak istana Selangor dalam isu tersebut.
Paling hebat pun, Nur Jazlan hanya boleh mengulas tentang status siasatan polis terhadap Dr Mahathir berikutan kenyataan ‘lanun Bugis’ kerana memang kementerian beliaulah yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis.
Pun begitu, memandangkan sang menteri sudah bersuara tentang anugerah dan darjah kebesaran negeri, mungkin beliau boleh memberi sedikit pencerahan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang sama ada menjadi ‘adat Malaysia’ memberi gelaran Datuk Seri kepada seorang individu berumur baru 20’an.
Apalah besar sekali budi bakti yang telah dicurahkan serta pengorbanan yang telah dibuat oleh si Datuk Seri muda ini yang melayakkan beliau mendapat gelaran itu?
Adat budaya jenis apa membiarkan seorang yang Datuk Seri berada dalam senarai dikehendaki polis bebas berkeliaran di serata pelosok negeri?