Saya sangat menggalakkan mereka yang tinggal di Kuching untuk menggunakan sepenuhnya Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI) yang ditubuhkan oleh Kementerian Perhubungan Persekutuan terutamanya bagi mereka yang ingin mendapatkan latihan dan pendedahan dalam bidang keusahawanan dalam talian serta perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Saya mengalu – alukan dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di atas penubuhan dua Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI) baru di Pending, Padungan, Batu Lintang yang terletak di bawah Parlimen Bandar Kuching.
Inisiatif ini pada mulanya disasarkan untuk merapatkan jurang digital di kawasan separa luar bandar dan luar bandar. Namun demikian, saya percaya bahawa penubuhan pusat ini di kawasan bandar akan memberikan manfaat kepada kumpulan golongan miskin bandar yang mungkin tidak mempunyai aset atau kemudahan untuk memanfaatkan dunia digital yang amat penting pada hari ini.
Inisiatif ini jelas menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menutup jurang digital dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan program latihan secara percuma. Perkhidmatan yang ditawarkan bermula daripada internet berkelajuan tinggi dan akses komputer percuma, kelas e-tuisyen untuk mata pelajaran teras seperti Bahasa Inggeris dan Matematik, bengkel keusahawanan, latihan kemahiran digital dan “hands-on” seperti memasak, menjahit dan membaiki gajet sehinggalah merangkumi kepada pemeriksaan kesihatan percuma. Pusat ini memberikan nilai sebenar kepada orang ramai daripada semua lapisan masyarakat.
Bagi tahun 2025, NADI menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 7,000 peserta di bawah program keusahawanan ‘NADIpreneur’ dengan 60% daripada peserta adalah daripada golongan wanita sebagai salah satu komponen utama program ini yang dipanggil sebagai “Nadi EmpowHER”.
Kerjasama antara NADI dan platform seperti TikTok, Shopee, dan Lazada juga telah menunjukkan bahawa inisiatif ini selaras dengan perkembangan semasa iaitu melengkapkan usahawan yang bercita-cita tinggi dengan pengetahuan dan alatan teknologi terkini untuk membantu mereka berjaya dalam jualan di dalam talian. Usahawan yang terlibat juga turut mendapatkan ilmu panduan tentang pembungkusan dan penjenamaan yang betul.
Saya amat percaya inisiatif ini akan memberi manfaat kepada semua orang — pelajar sekolah boleh menggunakan perkhidmatan e-tuisyen percuma, pelajar universiti boleh mengakses komputer dan internet untuk tugasan mereka manakala warga emas akan mendapat manfaat daripada pemeriksaan kesihatan percuma yang merangkumi tekanan darah, gula darah dan ujian BMI.
Ini adalah contoh dasar yang bersifat cemerlang yakni dasar berkenaan bersifat inklusif dan berpaksikan kepada rakyat. Dasar yang cemerlang adalah dasar yang menyediakan peluang yang sama rata di dalam menyumbangkan kepada peluang pembelajaran dan pertumbuhan masyarakat tanpa mengira umur atau latar belakang.