1. DAPSY Malaysia menyeru semua pihak tidak lagi menggunakan frasa “kuil haram”dan mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap penganjur “Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram” demi memastikan perpaduan dan keharmonian masyarakat terus dipelihara.
2. DAPSY Malaysia terus mempertahankan hak rakyat Malaysia untuk bersuara dan menyertai himpunan seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan, namun penganjuran himpunan sedemikian yang bersifat perkauman dan keagamaan hanya mengundang ketegangan kaum, mencetuskan perpecahan masyarakat serta mengabaikan hakikat bahawa banyak kuil dan rumah ibadat di negara ini telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu, iaitu jauh sebelum wujudnya akta tanah dan perancangan bandar moden.
3. Rumah-rumah ibadat ini mempunyai latar sejarah yang panjang dan kompleks, dan seharusnya dilihat sebagai warisan sejarah, nadi kebudayaan, serta bukti bahawa masyarakat majmuk mampu hidup harmoni dan aman di tanah air ini.
4. Penggunaan istilah “kuil haram” atau label seumpamanya hendaklah dihentikan serta-merta apabila merujuk kepada rumah ibadat mana-mana agama. Penggunaan bahasa yang prejudis sebegini adalah tidak wajar, mengelirukan, dan hanya mengundang persepsi negatif yang memecah-belahkan masyarakat serta mengguris hati penganut Hindu.
5. Naratif yang melabelkan tempat yang suci ini sebagai “haram” memberikan konotasi yang berbahaya, dan membentuk naratif palsu seolah-olah kewujudannya tidak sah dan patut dihapuskan. Malahan, persepsi ini menyukarkan usaha penyelesaian yang adil dan boleh mencetuskan ketegangan sosial yang tidak perlu.
6. Pada masa yang sama, DAPSY menegaskan bahawa status tanah atau kelulusan bangunan adalah isu pentadbiran dan tadbir urus. Oleh itu, isu sebegini perlu ditangani melalui dialog, rundingan serta penyelesaian yang harmoni dan rasional, bukannya berlandaskan istilah dan naratif yang provokatif dan menyakitkan hati penganut agama Hindu.
7. Penganjuran himpunan yang berniat untuk mencetuskan kontroversi dan ketegangan masyarakat bukanlah penyelesaian, tetapi hanya akan mengeruhkan keadaan dan meningkatkan prasangka yang akhirnya memudaratkan perpaduan kaum.
8. Tindakan harus diambil terhadap individu-individu yang menanam sentimen kebencian serta mengguris hati masyarakat majmuk.
9. Malaysia dibina atas semangat perpaduan antara semua kaum sejak sekian lama. DAPSY menyeru semua pihak untuk terus memelihara perpaduan dengan menolak naratif diskriminasi dan mengutamakan penyelesaian yang berperikemanusiaan serta berlandaskan Perlembagaan.