Skip to content

Tindakan kerajaan berdiam diri dan melengah-lengahkan laporan lengkap kes kematian anak-anak di asrama amat membimbangkan

Ketika Menteri Belia dan Sukan kerajaan sementera (caretaker government), Ahmad Faizal Azumu sedang sibuk berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 dengan billboard gergasinya, dunia sukan tanah air dikejutkan dengan kematian atlet hoki remaja Sarawak Bill Wolfson Anak Liani, seperti yang dilaporkan dalam media. Mendiang berumur 14 tahun. (Rujukan: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelatih-program-pembangunan-hoki-bill-wolfson-meninggal-dunia-di-asrama-msn-389901)

Kerajaan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus segera memberi laporan penuh tentang tragedi tersebut, terutamanya kerana peristiwa itu dilaporkan berlaku di asrama Majlis Sukan Negeri Perak.

Keluarga mangsa harus diberikan penjelasan dan jawapan dengan telus dan kadar segera.

Selain itu, kerajaan perlu menjamin keselamatan serta kesihatan atlet lain terutamanya di asrama Majlis Sukan Negeri Perak.

Jangan kerana leka berkempen, Menteri Belia dan Sukan kerajaan sementara Ahmad Faizal Azumu mengabaikan tanggungjawabnya kepada kebajikan para atlet seperti yang telah berlaku sepanjang tempoh dia menjawat jawatan di KBS.

Kematian pelajar UUM di asrama masih belum ada jawapan setelah setengah tahun berlalu

Tragedi kematian di asrama ini mengingatkan kita kepada kes kematian S. Vinosiny, seorang pelajar Universiti Utara Malaysia yang telah meninggal dunia kerana renjatan elektrik dalam bilik asrama universiti pada bulan Mei 2022.

Selepas berlakunya tragedi tersebut, pihak Universiti telah bertindak melarang para pelajar universiti untuk terlibat dalam sebarang penganjuran kegiatan berkaitan kes itu, kononnya siasatan sedang dilakukan.

Namun setelah hampir setengah tahun, sehingga kini, keluarga mangsa dan rakyat Malaysia secara amnya masih belum mendapat apa-apa jawapan daripada siasatan tersebut.

Kerajaan harus memastikan anak-anak kita yang dipertanggungjawabkan kepada pihak sekolah, universiti serta asrama perlu dijamin kesihatan dan keselamatan mereka.

Tindakan kerajaan berdiam diri tanpa memberikan penjelasan kes-kes kematian anak-anak ketika berada di bawah pengawasan institusi kerajaan amat membimbangkan. Kerajaan seakan-akan memandang ringan perkara yang berat ini. Tanpa sebarang laporan yang telus dan dengan kadar segera, apakah jaminan keselamatan anak-anak kita apabila dihantar ke institusi-institusi tersebut?