Skip to content

Tindakan kerajaan untuk menjadikan sidang khas Parlimen 26 Julai – 2 Ogos 2021 sebagai sidang ceramah menteri PN adalah tindakan yang mengingkari perintah YDP Agong dan menghina institusi Parlimen

Para Ahli Parlimen dan rakyat-jelata merasa kesal atas tindakan kerajaan PN yang menjadikan sidang khas Parlimen daripada 26 Julai hingga 2 Ogos 2021 sebagai sidang penerangan Menteri-Menteri kabinet dan tidak membenarkan perbahasan dan pengundian oleh Ahli-ahli Parlimen terhadap usul, dasar dan rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan.

Tindakan Kerajaan PN yang menjadikan sidang khas Parlimen ini sebagai sidang yang berbentuk “ceramah” adalah tindakan yang mengingkari perintah dan tujuan asal Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menghendaki sidang Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021. Selain itu, tindakan ini juga menghina fungsi institusi Parlimen.

Sepanjang 21 tahun hayat saya sebagai Ahli Parlimen, saya tidak pernah hadir sidang Parlimen (termasuk sidang khas Parlimen) yang tidak memberi ruang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menyertai perbahasan ataupun membentangkan usul dalam sidang Parlimen, tetapi hanya dibenarkan untuk “meminta penjelasan dan memberikan pandangan semasa penerangan daripada Menteri-Menteri sahaja” (mengikut surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR). Bukankah tindakan ini membazirkan sumber dan masa Parlimen dan Ahli-ahli Parlimen yang datang dari seluruh negara?

Mengikut surat yang dikeluarkan oleh SUDR, En Nizam Mydin kepada Ahli-ahli Parlimen yang bertarikh 15 Julai 2021, agenda sidang khas Parlimen ini termasuk pembentangan Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021, Proklamasi Darurat (No. 2) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Parlimen P. 054 Gerik, Perak dan Pilihan Raya Negeri N.66 Bugaya, Sabah.

Selain itu, sidang khas Parlimen ini juga termasuk penerangan daripada Menteri-Menteri berkenaan Pelan Pemulihan Negara, Program Vaksinasi, Pelaksanaan Darurat dan Pakej-pakej Bantuan Ekonomi.

Isu-isu tersebut adalah perkara yang sangat penting yang perlu dibahas dan dibincangkan secara serius oleh Ahli-ahli Parlimen. Peranan Ahli Parlimen bukannya datang ke Parlimen untuk dengar penerangan ataupun ceramah Menteri, tetapi kami dipilih oleh rakyat untuk membawa masalah rakyat dan masalah pelaksanaan dasar kerajaan di Parlimen, kerana Parlimen sudah tidak bersidang lebih tujuh bulan. Ini juga adalah tujuan YDP Agong mengarah Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengadap Seri Paduka Baginda untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Adalah jelas tindakan Menteri-Menteri Kerajaan PN yang menjadikan sidang Parlimen sebagai tempat berceramah dan memberi penerangan ini mengingkari perintah YDP Agong di samping menghina insitusi Parlimen.