Skip to content

TINDAKAN PIHAK BERKUASA MENGHALAU WAKIL RAKYAT DARIPADA MENGHULURKAN BANTUAN BANJIR AMAT MENDUKACITAKAN

Beberapa kawasan kampung di sekitar Kluang telah dilanda banjir dan sebanyak enam Pusat Pemindahan Bencana Alam telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir sejak kelmarin. Antaranya termasuklah mangsa banjir dari Kampung Mengkibol dan Kampung Bentong Dalam yang ditempatkan di balai raya kampung masing-masing.

Pada siang hari semalam, saya bersama-sama dengan kakitangan Pusat Komuniti Kluang telah mengadakan lawatan ke beberapa kawasan kampung yang berisiko tinggi termasuklah kedua-dua pusat pemindahan tersebut.

Walau bagaimana pun, kami amat terkejut apabila lawatan kami di Kampung Bentong Dalam telah dihalang keras oleh ketua kampung – Encik Sugimon. Beliau memberi alasan bahawa rombongan kami tidak diundang lantas kami telah dihalau keluar.

Justeru, kami telah mengambil inisiatif menerusi bantuan daripada masyarakat awam untuk mengutip sumbangan bagi membantu mangsa banjir. Antara barangan yang berjaya dikumpulkan termasuklah air mineral, roti dan biskut yang dapat dijadikan alas perut buat mangsa-mangsa banjir bagi menahan lapar.

Pada jam lebih kurang 10.00 malam, saya bersama dengan Ahli Parlimen Kluang – Liew Chin Tong memulakan kerja-kerja edaran barangan bantuan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan bencana yang tersebut di atas.

Namun kami amat kecewa apabila sekali lagi rombongan kami telah dihalang dan dihalau keluar dari Pusat Pemindahan Bencana di Kampung Bentong Dalam. Kami terpaksa membawa balik barangan yang dibawa itu dan diedarkan ke pusat-pusat pemindahan yang lain.

Saya amat kesal dengan sikap tidak profesional dan tidak mesra oleh pihak berkuasa. Dalam situasi banjir yang genting ini, saya menyeru Kerajaan diperingkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar dapat mengenepikan perbezaan fahaman politk dan bekerja bersama-sama dalam misi membantu mangsa-mangsa banjir.

Walau bagaimana pun, Pusat Komuniti Kluang tidak akan berputus asa untuk memantau keadaan banjir di sekitar kawasan Kluang dan sentiasa bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.