DAPSY Kebangsaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak Universiti Malaya (UM) yang melarang warga kampus daripada membuat sebarang pernyataan awam.
Semalam semua mahasiswa/wi UM telah menerima emel daripada Unit Integriti, Pejabat Naib Canselor Universiti Malaya yang mengekang warga varsiti daripada membuat sebarang pernyataan awam. Selain mahasiswa/wi, dipercayai bahawa staf kampus turut menerima emel berkenaan.
Dalam emel peringatannya, Pejabat Naib Canselor telah mengutarakan Peraturan 18 yang diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Tatatertib Badan Berkanun (Akta 605) sebagai justifikasinya untuk melarang warga kampus daripada membuat sebarang pernyataan awam.
Sesungguhnya Akta 605 adalah terpakai kepada semua pegawai badan-badan berkanun persekutuan dan mahasiswa/wi tidak sesekalipun tergolong dalam kumpulan tersebut.
Dalam Parlimen Kesepuluh Penggal Dua Mesyuarat Dua pada tahun 2000, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yakni Tan Sri Bernard Giluk Dompok yang membaca rang undang-undang tersebut telah menyatakan bahawa undang-undang tersebut adalah bertujuan untuk mewujudkan satu peraturan tatatertib dan surcaj yang seragam yang boleh digunakan oleh semua badan-badan berkanun persekutuan.
Dalam perbahasan tersebut, tidak kedengaran atau kelihatan pun mahasiswa/wi adalah disenaraikan sebagai sebahagian daripada badan-badan berkanun persekutuan.
Biarpun akta tersebut adalah terpakai kepada golongan mahasiswa, peraturan sedemikian yang mencabuli kebebasan bersuara adalah tidak selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara Malaysia (termasuklah warga kampus) untuk bersuara dan bercakap secara bebas.
Adakah Pejabat Naib Canselor begitu jahil dan tidak celik terhadap undang-undang tertinggi negara kita yang menjamin hak dan kebebasan untuk bersuara?
Emel Pejabat Naib Canselor yang diutarakan kepada semua mahasiswa/wi mahupun staf kampus sesungguhnya adalah tidak menghormati semangat perlembagaan negara kita, malah tindakan tersebut adalah berniat jahat untuk mengekang pimpinan mahasiswa mahupun kumpulan staf yang semakin lantang bersuara terhadap pihak universiti yang sibuk melaksanakan arahan serta menjaga kepentingan rejim UMNO BN.
Adakah rejim Najib UMNO semakin gelisah dan khuathir terhadap suara keramat mahasiswa yang menuntut perubahan sehingga kena mengarahkan Pejabat Naib Canselor untuk menakut-nakutkan pimpinan mahasiswa dengan taktik buruk sedemikian?
DAPSY Kebangsaan mendesak pihak universiti untuk menghentikan segala tindakannya yang sengaja menyebarkan sentimen ketakutan dalam kalangan pimpinan mahasiswa serta staf kampus dengan larangan ataupun peringatan sedemikian yang langsung tidak selaras dengan semangat perlembagaan.
DAPSY Kebangsaan bersedia untuk bersolidariti dan mempertahankan sesiapa warga varsiti yang dizalimi di bawah peraturan rimba sebegini.