Skip to content

Tindakan polis menahan Ketua DAPSY telah mencemar semangat demokrasi dan merosakkan imej PDRM dengan meneruskan kempen politik buas regim UMNO

Hari ini Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan yang juga Ahli Parlimen Rasah telah ditahan dibawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Akta Kanun Keseksaan apabila menghadirkan diri di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan berhubung siasatan Perhimpunan #Kitalawan pada 7 Mac yang lalu.

Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak Polis dalam menangkap pemimpin kami yang secara sukarela telah memberi kerjasama dalam siasatan tersebut.

Sehingga kini, Sdr Teo telah di bawah tahanan hampir 4 jam, dan kenyataan beliau masih belum direkodkan. Ini bukannya satu perkara yang biasa dan nampaknya arahan daripada pihak atasan masih ditunggu-tunggu lagi. Kelewatan yang tidak munasabah menyebabkan pegawai yang bertanggungjawab dipandang sebagai tidak efisien dan sejurusnya melemahkan semangat pegawai yang bertugas.

Kami menggesa pihak Polis membebaskan Sdr Teo dengan serta merta kerana beliau sememangnya tidak perlu ditahan atau melakukan apa-apa kesalahan serius.

Sdr Teo Kok Seong juga merupakan seorang Ahli Parlimen yang kini sibuk dengan sidang dewan maka adalah juga menjadi kewajipan pihak Polis untuk tidak mengganggu tugas beliau selaku Ahli Parlimen.

DAPSY mendesak pihak Polis menghentikan tindakan seumpama ini terhadap mana-mana individu berhubung protes #KitaLawan demi memelihara integriti PDRM dan juga hak berhimpun dikalangan rakyat selaras dengan semangat demokrasi yang telah termaktub dalam perlembagaan. Kita mendesak Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Ketua Polis Negara untuk membebaskan PDRM dari menjadi aparatus politik UMNO dan BN.‎