Skip to content

Tindakan susulan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi syor-syor Laporan PAC dalam Pembangunan Air Mobility

PAC Parlimen telah dimaklumkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bahawa pembangunan kereta terbang bukan menjadi satu keutamaan buat masa ini dengan tumpuan Kementerian diberikan terhadap pembangunan keusahawanan khasnya perniagaan kecil dan sederhana serta mikro.

Perkara itu dijelaskan Ketua Setiausaha (KSU) MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dalam pembentangan tindakan susulan kementerian itu kepada Jawatankuasa ini pada 11 November 2020. Pembentangan MEDAC kepada PAC itu dibuat hasil susulan daripada syor Laporan PAC berhubung pembangunan Air Mobility yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 November 2019.

Pada masa yang sama, Jawatankuasa ini juga mendapat penjelasan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung dengan Laporan PAC di atas dengan kehadiran Datuk Ir Dr Siti Hasimah Tapsir, KSU MOSTI.

PAC Parlimen berpuas hati dengan penjelasan MEDAC dan MOSTI yang mana PAC Parlimen dimaklumkan pemantauan rapat secara berkala telah dan sentiasa dibuat oleh Venture Tech Sdn Bhd (VTSB) (anak syarikat MIGHT) atas pelaburannya sebanyak RM20 juta yang dibangkitkan dalam Laporan PAC sebelum ini. VTSB memaklumkan kepada PAC Parlimen bahawa pelaburan RM20 juta tersebut adalah bebas daripada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Usahawan pada ketika itu. PAC Parlimen juga mendapati dokumen Perjanjian Pelaburan VTSB telah memperuntukkan dengan jelas bahawa RM20 juta pelaburan oleh VTSB tidak boleh digunakan untuk tujuan berkaitan “Kereta Terbang”.

PAC Parlimen juga berpuas hati dengan keterangan daripada Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah menjalankan pengauditan terperinci terhadap MIGHT dan tidak wujud penggunaan RM20 juta pelaburan VTSB dalam pembangunan “Kereta Terbang”.

6) Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen mengenai berhubung tindakan susulan MEDAC dan MOSTI bagi syor-syor berhubung Pembangunan Air Mobility boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac