Skip to content

Tindakan tatatertib kerajaan perlu lebih tegas terhadap penjawat awam yang membazirkan duit rakyat

Pendedahan yang dibuat oleh Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim dalam Parlimen baru-baru ini berkaitan tindakan tatatertib yang telah diambil terhadap penjawat awam, membuktikan Kerajaan BN tidak memandang serius bagi mengurangkan kadar kesalahan tadbir urus penjawat awam.

Pada tahun 2012 sahaja, Negara kita telah mengalami kerugian sebanyak RM6.5 billion bagi kesalahan tadbir urus penjawat awam berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan dalam parlimen.

Walaupun seramai 339 orang pegawai telah dikenakan prosiding tatatertib menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 dan tahun 2013, namun setelah penelitian fakta kes dan representasi pegawai dilakukan, Lembaga Tatatertib telah memutuskan seramai 132 orang pegawai (39%) sahaja yang dikenakan hukuman tatatertib dan 203 orang pegawai lagi (60%) telah dibebaskan. Bakinya 4 orang pegawai (1%) masih lagi dalam siasatan.

Daripada 132 orang yang dikenakan tindakan tatatertib, seorang daripadanya telah dipecat, 3 orang dikenakan pemotongan gaji, 65 orang hanya diberikan amaran dan selebihnya dikenakan tindakan lain.

Melihat tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan terhadap kesalahan penjawat awam tidak dipandang serius maka tidak hairanlah kesalahan rasuah dan kesalahan penjawat awam terus berlaku dari tahun ke tahun.

Kerajaan BN jangka akan mengutip RM24.2 bilion melalui GST pada tahun 2015. Tetapi sekiranya pemborosan dan pembaziran yang terdedah dalam LKAN dapat dijimatkan, Kerajaan dapat menurunkan kadar cukai daripada 6% ke 5% atau lebih rendah.

Meskipun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah ditubuhkan untuk memantau segala perbelanjaan wang Negara, namun peranan jawatankuasa tersebut masih lagi terbatas, hingga dilaporkan Putrajaya atau Kementerian Kewangan tidak pernah menghantar satu laporan pun tindakan susulan yang telah diambil hasil cadangan daripada PAC.

Kerisauan ini juga turut disuarakan oleh pengerusinya YB Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan Jawatankuasa Dwipartisan itu lebih baik ditamatkan kewujudannya jika peranannya tidak diambil serius oleh kerajaan.

JPA yang gagal untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap penjawat awam yang membazirkan duit rakyat menunjukkan bahawa Kerajaan BN tidak memandang serius bagi mengurangkan kadar kesalahan tadbir urus penjawat awam. Hasil GST akan digunakan untuk membeli jet baru ataupun dibazir secara sia-sia sahaja.