Skip to content

Tindakan Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz menulis surat sokongan untuk melantik anak sendiri sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga ialah bukti salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang sedang berlaku dalam erajaan Perikatan Nasional

Tindakan Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz menulis surat sokongan untuk melantik anak sendiri sebagai ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga ialah bukti salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang sedang berlaku dalam Kerajaan Perikatan Nasional. PN mungkin berharap agar skandal Timbalan Menteri Bersatu merangkap Ahli Parlimen Tanah Merah mencadangkan pelantikan anak sendiri boleh dilenyapkan, tetapi isu ini tidak akan reda sehingga siasatan dan tindakan diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tiada keraguan di sini bahawa SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan kerana Ikmal telah meminta jawatan yang akan menguntungkan anaknya sendiri menggunakan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Pertahanan. Ikmal bukan sahaja telah mengaku bahawa beliau menulis surat sokongan tersebut, malah telah mengaku bahawa tindakan itu adalah salah dan telah menarik balik surat tersebut.

Walaupun pelantikan tersebut tidak terjadi, namun jelas di sini bahawa sudah terlambat untuk Ikmal menafikan tanggungjawab kerana beliau sudahpun melakukan tindakan mengeluarkan surat sokongan tersebut untuk mendapatkan habuan bagi anak sendiri dengan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Pertahanan. Malah, tindakan untuk mendapatkan habuan tersebut boleh dianggap telah genap dan lengkap apabila Datuk Seri Ismail Sabri bersetuju dengan cadangan Ikmal untuk melantik anaknya itu. Ini merupakan tindakan 3-dalam-1 iaitu salah guna kuasa, nepostisme dan rasuah – sekaligus merupakan malapetaka negara kerana ada pihak yang menggunakan jawatan awam bagi kepentingan peribadi.

Dalam surat sokongan Ikmal kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri bertarikh 5 Jun, Ismail Sabri telah meminitkan kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyatakan persetujuannya untuk melantik anak Ikmal sebagai Pengarah Pharmaniaga. Pemegang saham terbesar Pharmaniaga ialah Boustead Holdings, manakala LTAT merupakan pemegang saham terbesar Boustead Holdings dan juga pemegang saham dalam Pharmaniaga.

Setakat ini, tiada apa-apa berita mahupun perkembangan terbaru daripada SPRM tentang isu ini. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang, tidak kira seorang VIP ataupun seorang rakyat biasa, tidak kira penyokong kerajaan ataupun sebaliknya. SPRM harus mengambil tindakan segera terhadap Ikmal untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengamalkan dasar pilih kasih.