Tinjauan IPSOS yang mendapati dua pertiga rakyat Malaysia percaya bahawa negara berada dalam hala tuju yang tepat, lima bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah satu perkembangan yang positif dan juga merupakan satu bentuk undi percaya dari luar terhadap Kerajaan Perpaduan Anwar yang berpadanan dengan undi percaya yang dihadapi Anwar di Parlimen pada bulan Disember lepas.
Perkara ini merupakan satu lagi unsur yang penting untuk memastikan Kerajaan Perpaduan Anwar dapat bertahan sepenuh penggal lima tahunnya dan untuk memenuhi hasrat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong supaya Malaysia dapat mencapai kestabilan politik untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip dan dasar asal pembinaan negara bangsa sebagai sebuah Malaysia majmuk seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, prinsip-prinsip yang disokong oleh tiga Perdana Menteri terawal negara – Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn – yang mana ketiga-tiganya juga merupakan Presiden UMNO.
Rakyat Malaysia kini sekurang-kurangnya dapat menyimpan harapan yang negara kita ada sekurang-kurangnya sedekad untuk meninggalkan trajektori sebuah negara berpecah belah, gagal, dan kleptokratik dengan menetapkan semula prinsip dan dasar negara supaya kita berjaya menjadi sebuah negara majmuk Malaysia, di mana Malaysia dalam menjadi apa yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, sebagai “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” di mana kita menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada dunia!
Sekiranya Impian Malaysia ini disemai di dalam minda setiap rakyat Malaysia di sekolah dan universiti, Malaysia bakal memberikan sumbangan yang hebat kepada persefahaman, keharmonian, dan keamanan dunia.
Saya percaya yang matlamat ini boleh dicapai, sekiranya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau umur, meletakkan minda mereka ke arah mencapai satu perkara yang bukan sahaja bermanfaat kepada Malaysia, tetapi juga bermanfaat kepada dunia.