Pada 14 Jun 2021 yang lalu, saya telah meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Pakar KPJ Damansara yang pada ketika ini sedang menjalankan proses pemberian vaksin kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan penghargaan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertugas di PPV Hospital Pakar KPJ Damansara Jaya dalam usaha menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Penghargaan terima kasih saya kepada semua petugas yang telah menjalankan tugasan dan amanah dengan dedikasi yang tinggi bagi memastikan orang awam yang ditempatkan di PPV Hospital Pakar KPJ Damansara ini dapat hadir untuk menerima vaksin, sebagai usaha mencapai imuniti berkelompok.
Disini, saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa tinjauan di PPV Hospital Pakar KPJ Damansara:
1. Berkenaan proses pemberian vaksin kepada golongan warga emas yang berada dalam keadaan kritikal. Apa yang berlaku di lapangan sekarang adalah kebanyakkan penerima vaksin ini menghidapi penyakit-penyakit kritikal, ada pesakit yang telah uzur dan terlantar di rumah dan ada juga yang bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda. Keadaan ini sebenarnya adalah kekangan utama yang dihadapi oleh PPV di sini dan juga pihak penerima vaksin juga. PPV Hospital Pakar KPJ Damansara berhadapan dengan masalah kekangan keluasan ruang yang terhad, selain daripada pergerakan pesakit yang juga terhad.
Justeru, bagi isu yang pertama ini, adalah lebih baik sekiranya pesakit-pesakit kritikal yang menghadapi masalah kekangan pergerakan ini menerima vaksin di rumah mereka. Sudah pasti, proses ini perlu diaturkan berdasarkan kepada petugas-petugas yang ada dan disarankan untuk diaturkan dengan kerjasama PPV yang berhampiran dengan tempat tinggal penerima vaksin.
2. Berkenaan isu penapisan senarai nama penerima vaksin. Sejak akhir-akhir saya sendiri menerima banyak maklum balas daripada penduduk yang menyatakan bahawa lokasi PPV yang ditetapkan adalah jauh daripada tempat tinggal mereka. Ada yang ditetapkan sehingga ke Setia Alam dan ada juga yang ditetapkan di negeri lain, seperti di Pulau Pinang dan sebagainya. Semasa menyemak perkara ini dengan petugas di PPV Hospital Pakar KPJ Damansara, saya dimaklumkan bahawa tapisan senarai penerima adalah berdasarkan kumpulan umur bagi sesuatu daerah dan tiada tapisan seterusnya berdasarkan alamat dan poskod tempat tinggal penerima.
Justeru, mungkin sekiranya pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) boleh melihat kepada perkara ini, supaya tapisan penempatan penerima vaksin ini boleh disusun berdasarkan umur dan kemudiannya berdasarkan alamat/ poskod tempat tinggal pemohon memandangkan alamat/ poskod terkini pemohon juga adalah perkara yang perlu diisi oleh pemohon.
3. Selain daripada itu, antara isu lain yang dibangkitkan adalah kekangan PPV yang tidak mempunyai bidang kuasa untuk menukar tarikh dan lokasi temujanji vaksin. Ini adalah berpandukan kepada isu-isu pasangan atau ahli keluarga yang melibatkan warga emas yang didaftarkan oleh anak-anak/ waris menggunakan akaun MySejahtera yang sama, dijadualkan pada tarikh dan masa yang sama, tetapi lokasi yang berbeza. Perkara ini menjadi masalah apabila pasangan warga emas ini tidak mempunyai waris untuk hantar kedua-duanya dalam masa yang sama kerana masalah lokai yang berbeza. Begitulah juga halnya dengan warga emas yang ditetapkan lokasi PPV yang jauh daripada tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, ada penduduk saya yang tinggal di kawasan Kg Sg Kayu Ara dan dijadualkan untuk menerima vaksin di kawasan Setia Alam.
Mungkin bagi isu-isu yang sebegini, sedikit ruang fleksibiliti boelh diberikan kepada pihak PPV yang membolehkan PPV untuk membantu Menyusun temujanji bagi pasangan warga emas yang ditetapkan bagi tarikh dan masa yang sama, tetapi lokasi temujanji yang berbeza. Penyusunan semula ini kemudiannya hendaklah boleh dipaparkan ke akaun MySejahtera pemohon. Hal ini adalah supaya kita dapat memberi kemudahan kepada penerima vaksin, terutama sekali apabila melibatkan golongan warga emas yang mempunyai pergerakan yang terhad.
4. Isu terakhir yang juga dikongsikan oleh pihak PPV Hospital Pakar KPJ Damansara adalah peratusan ketidakhadiran di antara 10% hingga 20% setiap hari. Demi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya, cadangan saya adalah supaya pihak PPV diberi fleksibiliti untuk memenuhkan kekosongan dengan menawarkannya kepada penduduk sekitar PPV yang belum mendapat temu janji MySejahtera, walaupun sudah mendaftar. Menurut PPV Hospital Pakar KPJ Damansara, kekosongan disebabkan oleh ketidakhadiran adalah di antara 10% hingga 20% setiap hari. Sekiranya, kekosongan ini dapat ditawarkan kepada penduduk yang berhampiran (yang boleh hadir dengan pemakluman segera), sudah tentu kita dapat menambah lagi jumlah penerima vaksin harian.
Kini, pejabat saya sering menerima pertanyaan-pertanyaan berkenaan isu penetapan temujanji ini, terutama sekali yang melibatkan penerima vaksin dari kalangan warga emas. Jadi, saya menyeru pihak JKJAV untuk melihat dan meneliti kepada isu-isu yang berbangkit ini. Saya yakin, isu-isu ini juga adalah antara isu-isu yang dihadapi oleh PPV yang lain juga. Makum balas ini adalah penting supaya kita dapat memastikan pemberian vaksin kepada orang awam adalah dalam keadaan yang lancar dan dapat memudahkan semua supaya akhirnya kita dapat mencapai imuniti berkelompok.
Akhir kata, saya harap kerajaan persekutuan sebaiknya memikirkan cara paling efektif dalam memudahkan proses bagi membantu rakyat, terutamanya pada perkara-perkara yang kritikal, seperti pemberian vaksin.