Skip to content

Tipu helah politik UMNO/MCA terhadap isu Hudud

Tindakan UMNO dan MCA kebelakangan ini terhadap isu RUU Hudud Kelantan merupakan satu tipu helah politik untuk menipu pengundi Muslim dan bukan Muslim masing-masing. Jelas, dengan tindakan 12 ADUN UMNO Kelantan menyokong RUU Hudud Kelantan pada 19hb Mac 2015 yang lalu, penipuan ini telah bermula. UMNO menyokong RUU tersebut tidak dinafikan adalah kerana ingin memberhentikan tuduhan PAS menyatakan bahawa UMNO tidak menghormati Undang-undang Syariah selama ini untuk memenangi sokongan pengundi Kelantan.

Pemuda MCA pula pada 20hb Mac 2015 telah mengunjungi Ibu Pejabat DAP di Pudu untuk menuntut wakil rakyat DAP meletakkan jawatan masing-masing ekoran isu RUU Hudud tersebut. Menurut Pemuda MCA yang mengetuai rombongan tersebut, DAP telah gagal memberhentikan PAS daripada mengemukakan RUU Hudud untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Beliau juga menyatakan bahawa memandangkan DAP gagal di benteng pertama, kini tanggungjawab tersebut terserah kepada MCA di peringkat Parlimen.

Ini semua merupakan angkara politik yang telah dirancang rapi oleh BN. Di peringkat negeri, UMNO menyokong RUU untuk diluluskan. Ini adalah untuk ditunjukkan kepada pengundi Kelantan bahawa UMNO juga memainkan peranan untuk mempertahankan Islam. Selepas itu, MCA pula cuba menarik perhatian orang awam terutamanya masyarakat Cina dengan mengatakan mereka akan memainkan peranan penting dalam menghalang RUU Persendirian Hudud di kemukakan dan dibahaskan di Parlimen berikutan kegagalan DAP mempertahankan Perlembagaan Malaysia. Walau bagaimanapun, mereka telah mengetahui dari awal bahawa Presiden Barisan Nasional Dato’ Seri Najib Tun Razak akan menyekat PAS daripada membentangkan RUU Persendirian mengenai Hudud di Parlimen dan seterusnya memberitahu orang awam bahawa mereka berjaya menghalang hudud dibentangkan di peringkat Parlimen.

Ini semua merupakan taktik tipu helah politik MCA untuk memaksa diri mereka ‘masih berkenaan’ di dalam arena politik Malaysia. Rakyat jelata mengetahui bahawa MCA sudah ‘tidak berkenaan’ di dalam arena politik Malaysia kerana sikap mereka yang tidak jujur. Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong telah pada 7hb Mei 2014 menyatakan sekiranya UMNO menyokong hudud dilaksanakan, tibalah masanya MCA mempertimbangkan kedudukannya di dalam BN. Pada 20hb Mac 2015 pula, Presidennya Dato’ Seri Liow Tiong Lay menegaskan bahawa keputusan 12 ADUN UMNO Kelantan merupakan pendirian peribadi masing-masing dan ia tidak mewakili UMNO dan BN. Itulah, betapa munafiknya MCA. Disini salahkan DAP kerana PAS meluluskan RUU Hudud Kelantan. Disana pula mengatakan tindakan UMNO Kelantan menyokong RUU tersebut adalah keputusan peribadi dan bukan mewakili BN.

Saya mencabar BN terutamanya MCA supaya membatalkan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Perlaksanaan Hudud yang telah ditubuhkan oleh kabinet memandangkan kesemua parti komponen BN telah menyatakan pendirian mereka tidak menyokong perlaksanaan Hudud. Ini adalah untuk membuktikan BN ikhlas terhadap rakyat jelata dan bukan munafik.