Ketika harga barang terus meningkat dan ekonomi rakyat masih belum stabil, kerajaan membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif elektrik bermula Julai 2025. Langkah ini bukan sahaja tidak kena pada masa, malah memperlihatkan sikap cuai dan terputus dari realiti sebenar kehidupan rakyat.
Walaupun struktur tarif baharu mengenakan kadar lebih tinggi kepada sektor industri dan komersial, golongan pengguna domestik kelas pertengahan tetap antara yang paling terkesan. Mereka tidak menerima subsidi penuh seperti golongan B40, namun tidak juga mampu menanggung kos tambahan tanpa kesan terhadap perbelanjaan harian.
Keluarga muda yang baru membeli rumah, pekerja kilang yang menyewa bilik kongsi berpenyaman udara, serta peniaga kecil seperti tukang jahit dan penjaja makanan yang menggunakan elektrik sebagai nadi harian, kini berdepan lonjakan bil bulanan walaupun penggunaan mereka adalah untuk keperluan asas, bukan kemewahan.
Lebih membimbangkan, ramai pengguna terkejut apabila menerima bil dengan kadar baharu tanpa sebarang penerangan yang mencukupi. Mekanisme pengiraan tidak difahami, dan aplikasi myTNB pula sering menghadapi masalah teknikal. Ini menimbulkan persoalan sama ada TNB benar-benar bersedia sebelum melaksanakan perubahan sebesar ini.
Rakyat berhak mendapat maklumat yang telus, sistem yang stabil, dan dasar yang berpandukan realiti hidup seharian. Dasar tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada angka atas kertas atau cadangan teknokrat tanpa semakan impak sosial.
Saya mendesak kerajaan menilai semula pelaksanaan tarif baharu ini dan mempertimbangkan mekanisme khas bagi membantu golongan pengguna yang benar-benar terkesan, khususnya kelas pertengahan dan perusahaan mikro.
Jangan jadikan tarif elektrik sebagai titik mula ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan yang mereka pilih.