Skip to content

Tohmahan dan serangan yang bertubi-tubi terhadap DAP oleh ROS dan Utusan Malaysia Komplot untuk memburukkan nama baik parti DAP

Saya merujuk kepada artikel dalam Utusan Malaysia bertarikh 21 November 2013 yang bertajuk “ROS: Laporan dikemuka tak lengkap”.

Bekas pengerusi cawangan DAP Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat, menuduh bahawa laporan mengenai pemilihan semula DAP pada 29 September 2013 yang dihantar kepada ROS tidak lengkap, iaitu kononnya senarai nama 2,576 wakil tidak disertakan bersama laporan.

Tan juga mempertikaikan bahawa bilangan wakil yang hadir dalam Kongres Kebangsaan 2012 dan Kongres Khas 2013 adalah berlainan.

Soalnya, jika benar-benar laporan tersebut tidak lengkap, ia adalah tanggungjawab ROS untuk memaklumkan perkara tersebut kepada DAP. Setakat ini, ROS masih belum memberi apa-apa respon kepada DAP mengenai pemilihan semula DAP.

Pertama, bagaimanakah Tan mendapat maklumat mengenai dokumen-dokumen yang sepatutnya bertaraf sulit (confidential)? Tuduhan Tan Tuan Tat menunjukkan bahawa ada kebarangkalian Tan mempunyai akses kepada laporan yang dihantar oleh DAP. Jikalau perkara ini benar, ini menunjukkan bahawa ROS tidak bersikap profesional dan tidak telus dalam menjalankan tugas.

Kedua, notis pemberitahu perlu dihantar kepada semua Setiausaha Cawangan tidak mengira samada mereka berhak atau tidak berhak menghantar wakil, mengikut Perlembagaan Parti Fasal VIII.

Yang penting, senarai perwakilan yang digunakan dalam Kongres Khas pada 29 September 2013 adalah sama dengan Kongress Kebangsaan 2012, iaitu nama dan nombor keahlian 2,576 wakil-wakil yang hadir dalam dua-dua Kongres adalah sama.

Tohmahan dan serangan yang bertubi-tubi terhadap DAP oleh ROS dan Utusan Malaysia menunjukkan jelas sekali bahawa terdapat komplot dan unsur-unsur tidak berprofesional yang berniat jahat dan bermotif memburukkan nama baik parti DAP.