Cadangan menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan harus diangkat dan dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan. Kerajaan Barisan telah berlaku zalim terhadap rakyat dengan melanjutkan tempoh konsesi tol Lebuhraya Utara Selatan untuk 20 tahun lagi iaitu sehingga tahun 2038.
Kos pembinaan Lebuhraya itu hanya RM5.6 bilion manakala jumlah kutipan sehingga tahun 2015 telah mencecah RM36.3 bilion. RM30 bilion melebehi kos telahpun dikutip daripada rakyat Malaysia.
Kenapa tol tidak dihapuskan, malah dilanjutkan tempoh kutipan selama 20 tahun lagi? Siapakah sebenarnya beruntung dalam kutipan tol ini? Yang pasti rakyat kita yang rugi.
Kerajaan yang sepatutnya membela dan memberi perlindungan kepada rakyat telah mengkhianati pengundi-pengundinya. Rakyat dipaksa membayar tol selepas tempoh perjanjian. Ini adalah tidak adil.
Oleh itu, saranan Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng untuk menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan harus diberi tangga keutamaan dalam manifesto Pakatan Harapan PRU14.
Penghapusan tol akan memberi kelegaan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya mereka yang kerap menggunakan lebuhraya itu. Tambahan pula, kos pengangkutan awam dan perniagaan dapat dikurangkan. Ini adalah harapan rakyat daripada kerajaan baru yang bakal menggantikan Barisan Nasional dalam PRU14 nanti.