DAP membantah sebarang cadangan pelaksanaan cukai keuntungan modal, termasuk keuntungan saham, oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelamatkan kerajaan dengan menambah semula hasil. Perkara ini telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa di Parlimen pada 22 September bahawa kerajaan sedang mengkaji cadangan cukai keuntungan modal.
DAP akan menentang kerajaan yang mengenakan cukai keuntungan modal untuk meningkatkan hasil kerajaan. Cukai keuntungan modal seperti itu juga akan meliputi cukai harta pusaka. Cadangan cukai keuntungan modal dan cukai harta pusaka ini telah dibangkitkan dalam Kerajaan PH ketika saya menjadi Menteri Kewangan tetapi ditolak oleh saya kerana ia akan menjadikan Malaysia kurang kompetitif, ketika Malaysia mencatat salah satu negara dengan kadar cukai korporat tertinggi di antara 60 ekonomi terbesar di dunia.
Kerajaan perlu menyedari bahawa negara ini sedang menghadapi krisis nasional yang teruk akibat pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. Pada saat yang genting ini, kerajaan perlu meletakkan keutamaan untuk menyelamatkan rakyat dengan bantuan kewangan dan bukan sebaliknya dengan mahu rakyat menyelamatkan kerajaan. Menawarkan bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat adalah kewajipan pemerintah dan bukannya memiskinkan rakyat dengan menekan mereka dengan cukai tambahan.
Kerajaan Persekutuan perlu meletakkan keutamaan dalam menyelamatkan rakyat dengan bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dengan mengurangkan kos dan menghentikan projek yang membazir dan bukannya menyelamatkan diri sendiri dengan memperkenalkan cukai keuntungan modal yang akan menyebabkan beban kewangan tambahan kepada rakyat hanya untuk menambah semula hasil kerajaan yang semakin kurang.