Skip to content

Tolak Perdana Menteri dan kerajaan PN/BN yang gagal kerana salah urus ekonomi dan pengurusan banjir

Perdana Menteri Sementara Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri yang gagal yang mengetuai kerajaan yang gagal, terutamanya dalam tugas utamanya mengurus ekonomi dan membendung kenaikan kos sara hidup. Ismail menegaskan bahawa inflasi adalah terkawal walaupun realitinya berbeza dengan bukti di lapangan, fakta dan angka, termasuk data ekonomi terperinci yang menunjukkan rakyat Malaysia dan perniagaan terutamanya PKS mengalami masalah kewangan akibat kenaikan harga.

Minggu lalu Bank Negara telah memberi tamparan yang besar kepada kredibiliti ekonomi kerajaan dengan mewajarkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (kadar faedah) sebanyak 0.25% untuk membendung inflasi. Malah Bank Negara tidak percaya dengan propaganda politik Ismail bahawa inflasi adalah terkawal dan Bank Negara dijangka menaikkan lagi kadar faedah pada Januari tahun depan untuk mengawal harga yang melonjak.

Natijah kegagalan Ismail ialah peminjam individu dan perniagaan perlu membayar lebih untuk pinjaman mereka. Ismail nampaknya tidak berasa malu langsung apabila Bank Negara secara tidak langsung mendedahkan kegagalan beliau dan kerajaan BN/PN mengawal inflasi.

Semalam Ismail sendiri mengakui kegagalannya sendiri dengan menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak menangguhkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya berlaku banjir besar dalam tempoh berkempen. Adakah Ismail tiada rasa malu meletakkan negara dan rakyat melalui penderitaan yang tidak perlu dan membahayakan keselamatan rakyat, semata-mata untuk memuaskan kerakusan partinya bagi mendapatkan kelebihan politik dengan menggesa pilihan raya umum awal?

Ismail malah berkata beliau akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi dan membuat keputusan sekiranya keadaan itu memaksa SPR menghentikan pilihan raya 19 November ini. Penangguhan pilihan raya sebegini tidak perlu sekiranya Ismail mendengar nasihat PH dan agensi kerajaannya sendiri. Tidak ada keperluan untuk membuang masa, tenaga dan sumber pada pilihan raya umum tetapi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan krisis banjir untuk mengelakkan kemungkinan kehilangan nyawa dan harta benda.

Ismail Sabri perlu menjelaskan secara terbuka mengenai keengganannya untuk mendengar nasihat pakar oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hashim Mohd Anip bahawa pilihan raya umum tidak sepatutnya diadakan tahun ini, daripada sudut pandangan komuniti pengurusan bencana, kerana akan terdapat banyak lokasi di seluruh Malaysia yang akan menghadapi banjir. Ini adalah sebab PH membuat keputusan untuk tidak membubarkan 3 DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan mengadakan pilihan raya serentak.

Tidak cukup bagi Ismail dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kehilangan nyawa dan harta benda kerana gagal dalam tugas utama mereka untuk memberi tumpuan kepada pengurusan bencana banjir. Rakyat mesti menghukum dan menolak kedua-dua BN dan PN pada 19 November kerana menjadi Perdana Menteri dan kerajaan yang gagal.