Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim berkata kabinet telah setuju untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa, berikutan kontroversi atas nama Whiskey Timah.
Saya rasa lucu membaca kenyataannya. Saya tidak pasti samada Tuan Ibrahim faham tentang cabaran global dan tempatan yang dihadapi oleh kementeriannya di dalam kerajaan, iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air, dan samada beliau komited terhadap misi kementeriannya.
Kini ramai pemimpin dunia dan menteri-menteri alam sekitar di dunia sedang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ataupun COP26 di Glasgow, Scotland. Kesemua menteri alam sekitar ini sibuk membincangkan usaha dan ikhtiar bagaimana mengurangkan perlepasan karbon dan mengurangi kenaikan suhu bumi agar tidak mencapai 2°C atau paling tidak 1.5°C pada akhir abad ini.
Walau bagaimanapun, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim bukan sahaja tidak hadir dalam persidangan alam sekitar dunia tersebut, malah keprihatinannya di dalam negara bukan atas perubahan iklim, tetapi atas nama whiskey yang dikeluarkan tempatan dan nama produk pengguna yang lain.
Apakah ini menjadi tanggungjawab Menteri Alam Sekitar dan Air? Apakah nama whiskey Malaysia ini akan menyumbang kepada perlepasan karbon ataupun mencemarkan sumber air di Malaysia?
Memandangkan Perdana Menteri Ismail Sabri telah berkata semua prestasi menteri kabinet akan dinilai dalam 100 hari, saya tidak pasti apakah laporan prestasi Tuan Ibrahim. Apakah dia akan membentangkan senarai jenama produk yang dianggap sensitif kepada Muslim dan menghalang produk-produk ini dijual dalam pasaran sebagai KPI beliau dalam 100 hari sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air?
Saya menyeru Tuan Ibrahim untuk berpegang pada objektif dan fungsi Kementerian Alam Sekitar dan Air. Beliau seharusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim, dan bukan mensensasikan isu remeh-remeh yang berasaskan kaum dan agama.