Skip to content

Tuan Ibrahim Tuan Man berani tulis kenyataan menyerang Mengapa tidak berani berdebat?

Baru-baru ini Timbalan Menteri Belia dan Sukan Sdr. Steven Sim mencabar Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man untuk berdebat setelah berkali-kali Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan bertulis menyerang Sdr Steven dan DAP. Malangnya, yang menampilkan diri untuk berdebat adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Apakah Tuan Ibrahim tidak berani untuk menyahut cabaran Sdr. Steven sehingga perlu menghantar orang lain untuk menggantikan tempat beliau?

Alasan bahawa Sdr. Steven bukan dalam pimpinan pusat DAP adalah alasan tidak munasabah PAS, sedangkan Sdr Steven merupakan seorang Timbalan Menteri kerajaan pusat.

Tambahan pula, Tuan Ibrahim Tuan Man sering mengeluarkan kenyataan menyerang Sdr Steven termasuk menggesa siasatan polis terhadap beliau dan baru-baru ini menggesa agar DAP diharamkan.

Justeru, daripada berselindung di sebalik kenyataan lebih baik Tuan Ibrahim memberanikan diri berdebat dengan Sdr Steven. Jangan pula ibarat membaling batu sembunyi tangan.

Reaksi daripada Ahmad Fadhli dan Tuan Ibrahim hanya menunjukkan bahawa PAS tidak berani berdepan dengan pemimpin DAP kerana takut bahawa rakyat Malaysia akan tahu akan kebenaran tentang bahayanya politik PAS bagi negara kita yang majmuk.