Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, telah menyertai bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, dalam cubaan untuk mempertahankan perkara yang tidak dapat dipertahankan mengenai perbuatan tiga orang pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) – Muhyiddin Yassin, Hadi Awang, dan Hamzah Zainuddin – yang telah ponteng dari menghadiri semua sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) dalam sidang Parlimen selama lapan minggu yang berlangsung dari bulan Februari hingga April 2023.
Adakah mana-mana Ketua Pembangkang Parlimen atau calon Perdana Menteri di mana-mana Parlimen lain di dunia yang tidak hadir dalam sesi PMQT selama lapan minggu?
Di House of Commons di United Kingdom, pertembungan di antara Perdana Menteri Rishi Sunak dan Ketua Pembangkang Keir Starmer adalah perkara rutin. Namun di Malaysia, perkara ini jarang berlaku.
Semua orang tahu yang Keir Starmer adalah calon Perdana Menteri, tetapi adakah Hamzah Zainuddin, yang merupakan Ketua Pembangkang, juga seorang calon Perdana Menteri?
Sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, sama ada Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang yang akan menjadi Perdana Menteri, bukannya Hamzah, kerana Hamzah hanyalah pemimpin barisan kedua dalam Bersatu.
Gabungan bertiga Pembangkang yang dibentuk Muhyiddin, Hadi, dan Hamzah, telah mencipta sejarah parlimen yang buruk kerana ketidakhadiran mereka dalam mana-mana sidang PMQT selama lapan minggu Parlimen bersidang.
Adakah ada apa-apa sebab untuk ketidakhadiran mereka ini?
Adakah perkara ini merupakan satu tindakan protes mereka terhadap kerajaan perpaduan Anwar?
Tidak ada apa-apa sebab melainkan perasaan tidak yakin mereka sendiri apabila berhadapan dengan Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim.
PMQT ini adalah antara reformasi parlimen utama yang diperkenalkan Anwar dalam sidang Parlimen ke-15, tetapi kelihatan seperti PN menentang pengenalan reformasi sebegini.
Malah, Tuan Ibrahim dan Wan Saiful – yang mana-mana dua-duanya merupakan Ahli Parlimen – patut dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana salah nyata hak dan kebebasan Ahli-ahli Parlimen dalam cubaan mereka untuk mempertahankan ketidakhadiran Muhyiddin, Hadi, dan Hamzah ke sesi PMQT sepanjang lapan minggu parlimen bersidang dari Februari hingga April 2023.
Tuan Ibrahim mengatakan yang ketidakhadiran pimpinan tertinggi PN ini tidak menjadi isu kerana ramai orang salah faham mengenai keperluan untuk hadir ke sesi PMQT pada setiap hari Selasa.
Dia berkata: “Semasa PMQT, bukan semua orang berpeluang untuk bertanya (kepada Perdana Menteri), sekiranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang hadir sekali pun, dia bukannya boleh bertanya soalan.
“Hanya mereka yang mengemukakan soalan lisan yang dapat bertanya, apabila Perdana Menteri sudah menjawab, orang yang sama boleh menanyakan soalan susulan dan bukannya semua orang boleh mencelah.”
Tuan Ibrahim lebih bersalah dalam salah nyata “hak dan keistimewaan” Dewan Rakyat berbanding dengan Wan Saiful yang sekurang-kurangnya mengatakan yang hanya Ahli Parlimen yang dipanggil oleh Speaker sahaja yang boleh bertanya soalan manakala Ahli-ahli yang lain tidak dibenarkan untuk mencelah.
Kedua-dua Tuan Ibrahim dan Wan Saiful bersalah dalam menyalah nyata “hak dan keistimewaan” di Parlimen kerana sekiranya Hadi bangkit di dewan untuk mengemukakan soalan semasa waktu soalan susulan, dia akan diberikan keutamaan berasaskan kedudukan dan pangkatnya.
Speaker akan dilihat sebagai melakukan suatu perbuatan yang tidak sepatutnya (unparliamentary) sekiranya dia tidak memberikan keutamaan kepada Hadi berbanding dengan Ahli Backbencher yang lain.
Speaker juga akan berhadapan dengan masalah sekiranya ketiga-tiga Muhyiddin, Hadi, dan Hamzah bangkit serentak untuk mengemukakan soalan susulan kepada Perdana Menteri.
Namun, Speaker terselamat dari perlu berhadapan dengan masalah ini memandangkan ketiga-tiga Muhyiddin, Hadi, dan Hamzah tidak pernah bangkit berdiri serentak untuk mengemukakan soalan susulan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sebaliknya mereka semua tidak hadir bersama-sama dalam semua sesi PMQT sepanjang lapan minggu Parlimen bersidang.
Saya jangka yang ketiga-tiga pemimpin PN ini akan mendominasi sesi PMQT, sebaliknya ketiga-tiga gagal untuk menghantar satu soalan sekali pun. Bolehkah mereka jelaskan mengapa?
Amat malang sekali apabila ada dua orang Ahli Parlimen, Tuan Ibrahim dan Wan Saiful, menyalah nyata urusan perjalanan Dewan Rakyat.
Peraturan Mesyuarat 80(1) menyatakan yang “apa-apa perkara yang menunjukkan menyentuh kuasa-kuasa, hak-hak dan kebebasan Majlis” hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat yang kemudiannya akan “mempertimbangkan perkara yang dirujuk kepadanya dan memberikan laporan mereka kepada Dewan.”
Peraturan Mesyuarat 80(2) menyatakan:
“Bila-bila Majlis tidak bersidang, seseorang Ahli boleh memberitahu Tuan Yang di Pertua jika ada dikatakan telah berlaku kesalahan melanggar peraturan hak-hak dan kebebasan Majlis. Tuan Yang di Pertua, jika berpuas hati iaitu pada zahirnya telah dilakukan kesalahan itu, bolehlah diserahkannya perkara itu kepada Jawatankuasa ini dan Jawatankuasa hendaklah mengeluarkan penyata kepada Majlis.”
Kedua-dua Tuan Ibrahim dan Wan Saiful patut dipanggil ke hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk memberikan penjelasan mereka.