Skip to content

Tuduh DAP penjajah, Khaled Nordin hina minda rakyat Johor

DAP membantah dan mengutuk kenyataan Menteri Besar Sementara Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berbaur perkauman, menimbulkan kebencian dan bersifat berita tidak benar, apabila menuduh DAP sebagai penjajah baru.

Beliau dilaporkan membuat fitnah itu terhadap DAP di hadapan pemberita sewaktu merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor dan Pelancaran Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor di Baru Pahat semalam (16 April 2018).

Dalam laporan agensi Bernama, beliau menuduh DAP berpura-pura baik untuk merampas kuasa Melayu dan campurtangan urusan Islam seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah British dahulu.

Saya ingin mengingatkan Khaled bahawa sejarah Malaysia adalah kisah perjuangan rakyat pelbagai kaum menentang penjajah untuk memerdekakan negara kita daripada cengkaman pihak asing. Ya, semua kaum bangkit melawan penjajah.

Oleh itu, bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga biadab untuk beliau menyamakan DAP dengan penjajah.

Kenyataannya juga menghina minda warga Johor, terutamanya orang Melayu, seolah-olah mereka tidak cerdik dan akan mudah percaya apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin UMNO seperti beliau.

Mungkin Khaled lupa bahawa tokoh Johor, Dato’ Onn Jaafar, merupakan wira Melayu menentang penjajah yang sudi bekerjasama dengan semua kaum. Sedangkan Khaled masih berperangai seperti pecacai UMNO yang mencipta fitnah baru terhadap DAP.

Sebenarnya, kita tahu Khaled, UMNO dan Barisan Nasional semakin panik apabila melihat gelombang kebangkitan orang Melayu menentang pemimpin beliau, iaitu Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroninya, yang menjerumuskan negara dalam krisis ekonomi dan perpecahan rakyat.

Pemimpin UMNO-BN juga sedar DAP kini bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ramai lagi tokoh Melayu dalam Pakatan Harapan.

Fitnah “penjajah” mencerminkan betapa takutnya Khaled setelah sedar rakyat sedang berubah arah untuk menyokong Pakatan Harapan. Semoga Khaled sedar hakikat ini, dan berhenti daripada bermain politik kotor seperti menyebar fitnah dan mengapi-apikan perkauman.