Saya tertarik dengan usul ‘putus hubungan tahaluf siyasi bersama PKR’ yang dibawa dalam Muktamar PAS kali ini. Usul tersebut telah diterima sebulat suara oleh keseluruhan perwakilan. Pun begitu, ia masih tertakluk kepada penilaian Majlis Syura Ulama.
Rujuk: https://m.malaysiakini.com/news/380796
Hujah tahaluf siyasi PAS disandarkan kepada 6 syarat digariskan Majlis Syura Ulama. Namun saya yakin bahawa apa hujah sekali pun yang dikemukakan PAS, akan ‘terlondeh’ jua saat bertembungnya soal kuasa.
Di Selangor, kita sedia maklum bahawa perjawatan exco adalah hasil lantikan diperingkat eksekutif Kerajaan Negeri. Pasca PRU 12 dan 13, Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat dan Menteri Besarnya adalah daripada PKR.
Dalam hal ini, tidak ada guna terpekik-terlolong kononnya mahu putus hubungan dengan PKR. Sekiranya ‘anak jantan’ dan bermaruah, ADUN-ADUN PAS yang menyandang jawatan exco dalam Kerajaan Selangor letaklah sahaja jawatan!
Pun begitu, saya menjangkakan hal ini tidak akan berlaku.
Walaupun exco PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor YB Zaidy Abdul Talib semasa sesi ucapan perwakilan di muktamar ada menyatakan kesediaan mereka untuk ‘maju kedepan atau undur’ berlandaskan ketaatan tak berbelah bahagi terhadap arahan kepimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama, ia saya anggap bakal menjadi gimik sahaja.
Ia tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap exco PAS Selangor kerana saya yakin Majlis Syura Ulama dan pimpinan PAS Pusat tidak akan mengarahkan ADUN mereka melepaskan jawatan exco berdalilkan pelbagai hujah dan alasan.
Dalam hal ini, saya berpendapat ‘tuhan’ bukan segalanya bagi PAS apabila bertembung soal kuasa.
Justeru, usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR tidak lebih sekadar mempamerkan lagak sombong dan ego PAS. Hakikat jauh di lubuk hati, PAS tidak mahu kehilangan kuasa!