Skip to content

Ubah Kerajaan untuk mansuhkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

Dalam ucapan bajet 2018, Najib Razak telah mengumumkan untuk memansuhkan kutipan 4 plaza tol di negeri Kedah, Selangor dan Johor. Keputusan rejim UMNO BN untuk memansuhkan kutipan tol ternyata jelas adalah disebabkan tekanan daripada bajet alternatif Pakatan Harapan yang bertekad untuk memansuhkan semua kutipan tol selepas memegang Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Pengumuman dasar sebegini yang memanfaatkan rakyat telah membuktikan bahawa betapa pentingnya kewujudan pihak pembangkang yang menyemak tindakan rejim pemerintah dalam politik demokrasi ini.

Lokasi bagi keempat-empat plaza tol yang bakal dimansuhkan adalah merupakan kawasan panas (hot spot) dalam PRU yang akan datang. Antaranya termasuklah negeri Kedah yang diserang bertubi-tubi oleh Dr Mahathir dan Mukhriz Mahathir, negeri Selangor yang dipegang oleh Pakatan Harapan serta negeri Johor yang ditunjangi oleh Muhyiddin Yassin. Ketiga-tiga negeri terutamanya Kedah dan Johor merupakan kawasan yang semakin lemah bagi UMNO BN dan berkemungkinan besar akan dimenangi oleh Pakatan Harapan. Hal ini membuktikan bahawa semakin lemahnya rejim UMNO BN, maka semakin banyaklah manfaat yang akan diperoleh rakyat. Disebabkan UMNO BN tetap merasakan Pahang sebagai deposit tetapnya, oleh itu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak tidak sesekalipun dipertimbangkan dalam rancangan pemansuhan kutipan tol yang diumumkan oleh Najib Razak.

Pengumuman Najib tersebut telah menunjukkan kebolehlaksanaan untuk memansuhkan kutipan tol. Hal ini bermakna tol adalah boleh dihapuskan dan dasar Pakatan Harapan yang bertekad untuk memansuhkan kutipan tol demi rakyat adalah boleh dilaksanakan lantaran pelaksanaan dasar sebegini adalah bergantung kepada niat politik parti pemerintah tersebut. Apabila Pakatan Harapan mengumumkan untuk menghapuskan semua tol dalam bajet alternatifnya, telah terdapatnya pelbagai retorik oleh UMNO BN yang menyatakan bahawa dasar pemansuhan tol adalah tidak boleh dijalankan dan tidak praktikal. Namun ucapan bajet Najib Razak telah membuktikan bahawa retorik UMNO BN adalah tidak boleh dipercayai dan berkonflik antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Bentong, Liow Tiong Lai jelas telah melalaikan amanahnya sebagai wakil rakyat Bentong lantaran beliau langsung tidak menyuarakan bantahannya dalam kabinet ketika kutipan tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dinaikkan pada tahun 2015. Apabila kabinet UMNO BN telah menjadikan pemansuhan tol sebagai salah satu agenda Bajet 2018, beliau pula mendiamkan diri dan tidak berusaha untuk menjadikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebagai salah satu lebuh raya yang disenaraikan untuk dimansuhkan kutipan tolnya. Hal ini menyebabkan rakyat Bentong tertanya-tanya sama ada ahli parlimen Bentong ini menuntut hak dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati oleh warga Bentong.

Selepas penolakan kos pembinaan asal dan pampasan oleh kerajaan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah memperoleh keuntungan sebanyak 202% pada tahun 2012. Dengan keuntungan sebanyak ini, lebuh raya tersebut tetap dinaikkan kutipan tolnya selepas beberapa tahun. Kenaikan kutipan tol sebegini adalah jelas menyeksa rakyat Pantai Timur dan menyusahkan warga Bentong yang terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Bentong. Selaku syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, tidak kerap kali kelihatannya Anih Berhad dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat terhadap kawasan Bentong secara konsisten mahupun kedengarannya perihal syarikat tersebut yang menderma duit kepada pertubuhan amal Bentong sejak kebelakangan ini.

Bagi rakyat Bentong, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak merupakan laluan terpenting dari segi kehidupan seharian, pelancongan, perniagaan serta aspek logistik. Malah, terdapatnya ramai warga Bentong yang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Bentong setiap hari demi mencari rezeki. Kenaikan kutipan tol yang minimum sekalipun tentunya akan menambahkan beban rakyat jelata dan kini kos ulang-alik dari Bentong ke Kuala Lumpur adalah sebanyak RM19. Kutipan tol ini adalah jelas tidak munasabah dan maka kutipan tol lebuh raya tersebut adalah wajib untuk dimansuhkan.

Liow Tiong Lai sering kali menguar-uarkan pelan pembangunan yang menyarankan 10 tahun kegemilangan untuk kawasan Bentong. Namun secara praktikalnya, tidak kelihatannya menyebut Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang jelas merompak warga Bentong. Hal ini menunjukkan bahawa segala retorik Liow Tiong Lai adalah sekadar wayang perhubungan awam yang tidak berniat untuk menyelesaikan masalah rakyat Bentong.

Demi menjayakan 10 tahun kegemilangan Bentong, warga muda Bentong haruslah digalakkan untuk balik ke Bentong dan cara terbaik untuk menggalakkan mereka adalah dengan memansuhkan kutipan tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Hal ini akan membolehkan warga muda Bentong yang bekerja di Kuala Lumpur untuk menetap di Bentong demi menjimatkan kos pemakanan dan penginapan yang kian meningkat di kawasan bandar. Ini bukan sahaja dapat membolehkan mereka untuk menemani keluarga, malah warga muda Bentong turut boleh berperanan sebagai pengguna yang menyumbang dalam ekonomi Bentong dan pastinya ekonomi Bentong akan dirancakkan berentetannya. Di samping itu, sektor perkilangan mahupun logistik turut boleh menjimatkan kos pengangkutan selepas pemansuhan kutipan tol. Tanpa kutipan tol yang membebankan, tentunya Bentong akan dijadikan sebagai pilihan utama bagi para pelabur. Dalam pada itu, kawasan perindustrian Bentong akan dikembangkan dan peluang pekerjaan yang lebih banyak dapatlah diwujudkan kepada rakyat Bentong.

Pelan 10 tahun kegemilangan Bentong haruslah dimulakan dengan pemansuhan kutipan tol Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Cara termudah untuk memansuhkan lebuh raya tersebut adalah dengan menumbangkan perompak UMNO BN yang bersekongkol dengan syarikat konsesi lebuh raya. Demi menghentikan segala tindakan perompak UMNO BN, warga Bentong sepatutnya menolak pembantu perompak tersebut, yakni Liow Tiong Lai pada PRU yang akan datang.

Ubah Kerajaan, Ini Kalilah. Undi Pakatan Harapan, Tolak Perompak Negara.