Cameron Highlands merupakan pusat pelancongan dan pertanian tanah tinggi yang popular di negara ini. Maka, terdapat 4 masalah utama yang berpunca daripada pelancongan dan pertanian iaitu isu tanah pertanian, isu pencemaran alam sekitar, isu penerokaan melampau, isu kesesakan lalu lintas.
Cameron Highlands yang berbukit di Banjaran Titiwangsa digunakan untuk ladang teh sejak Zaman British dan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan secara kecil-kecilan sebelum tahun 1960-an.
Guna tanah untuk tujuan pertanian di Daerah Cameron Highlands adalah 7508.28 hektar ataupun 10.54 peratus daripada keseluruhan keluasan daerah berkenaan. 47.6 peratus guna tenaga di Daerah Cameron Highlands adalah terlibat dalam industri pertanian, manakala nilai pengeluaran tanaman telah mencatatkan sebanyak RM2,945,645 juta.
Kebanyakan tanaman di Cameron Highlands adalah untuk pasaran tempatan dan sebahagiannya lagi untuk pasaran eksport seperti ke Singapura, Jepun, Thailand, Korea Selatan Hong Kong, Taiwan dan sebagainya. Hal ini menjadikan Cameron Highlands sebagai pengeksport utama tanaman pertanian di Malaysia dan menyumbangkan banyak kepada ekonomi Malaysia.
Namun begitu, polisi tanah yang tidak terjamin membawa berbagai masalah kepada pekebun tempatan, juga menggalakkan pekebun mengamalkan aktiviti pertanian yang tidak mampan, dan seterusnya mendatangkan pelbagai kesan buruk untuk alam sekitar.
TUAN YANG DIPERTUA,
Kebanyakan tanah kebun di Cameron Highlands adalah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ataupun lebih dikenali sebagai TOL.
TOL ini adalah kebenaran untuk menduduki tanah Kerajaan Negeri untuk tempoh sementara dan ia bukan merupakan satu hak milik atau pajakan. Tempoh LPS ini terhad dan hanya sah bagi tahun dikeluarkan serta akan tamat pada 31 Disember setiap tahun. Pemegang lesen mengalami banyak sekatan dalam pembangunan industri pertanian contohnya susah memohon pinjaman bank untuk menggunakan teknologi canggih, memohon pekerja asing dan sebagainya.
Selain itu, menurut Seksyen 32, Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992 menyatakan bayaran TOL akan dikenakan kepada pemegang lesen secara tahunan mengikut kadar yang telah ditetapkan. Pemegang TOL perlu memperbaharui lesen berkenaan pada tempoh masa yang ditetapkan iaitu setahun sekali. TOL ini boleh dibatalkan pada bila-bila masa tanpa bayaran pampasan.
Walau bagaimanapun, permohonan dan kelulusan untuk pembaharuan TOL adalah amat tidak memuaskan kerana mengambil tempoh yang panjang. Saya menerima banyak aduan terdapat banyak pemegang lesen tidak dapat membaharui lesen mereka selama 5-7 tahun. Hal sedemikian menimbulkan berbagai masalah kepada pekebun-pekebun kerana lesen mereka tidak diiktirafkan sebagai lesen yang sah dari segi undang-undang.
Saya difahamkan bahawa terdapat beberapa sebab berlakunya kelewatan untuk memproses pembaharuan TOL iaitu, bilangan permohonan pembaharuan TOL yang banyak diterima pada setiap bulan menyebabkan tempoh masa yang lama diambil untuk memproses setiap permohonan, kekurangan kakitangan dan bebanan tugas serta masalah fail berlapis, dan kekurangan pegawai dan kenderaan untuk menjalankan kerja-kerja di luar kawasan.
Secara tidak langsung, kelewatan pembaharuan TOL juga menjejaskan Kerajaan Negeri mendapat kutipan hasil yang terbaik seterusnya menjejaskan pendapatan dan kedudukan kewangan Negeri.
TUAN YANG DIPERTUA,
Oleh itu, saya di Dewan yang mulia ini ingin membentangkan 2 cadangan yang berlainan untuk mengatasi isu tersebut.
Yang pertama, sekiranya pihak Kerajaan Negeri ingin meneruskan sistem TOL untuk pertanian di Cameron Highlands, Kerajaan Negeri perlu mewujudkan sistem daftar rekod dan dokumen TOL secara elektornik, ataupun yang dikenali sebagai eTOL yang pernah dicadangkan oleh pihak Kerajaan Negeri sebelum ini. Sistem eTOL secara langsung boleh mengurangkan beban kerja PDT.
Kedua, Kerajaan Negeri boleh menyusun semula strategi dan polisi tanah yang lebih teliti untuk pertanian di Cameron Highlands. Kerajaan Negeri boleh memberikan pajakan sewa tanah kepada pekebun-pekebun tempatan dalam tempoh 10 atau 20 tahun, terutamanya untuk pekebun-pekebun yang telah mengusahakan pertanian di Cameron Highlands melebihi 30 tahun.
Polisi tersebut pastinya membolehkan Kerajaan Negeri mendapat kutipan hasil yang terbaik dan seterusnya menambahbaik kedudukan kewangan Negeri.
TUAN YANG DIPERTUA,
Sepertimana yang disebutkan tadi, polisi tanah yang tidak terjamin masa sekarang menggalakkan pekebun mengamalkan aktiviti pertanian yang tidak mampan, dan seterusnya mendatangkan pelbagai kesan buruk untuk alam sekitar. Hal sedemikian kerana pekebun-pekebun yang hanya memegang TOL tidak berani membuat pelaburan besar untuk membawa teknologi yang canggih dan mesra alam dalam kegiatan pertanian.
Sekiranya Kerajaan Negeri menyusun-semula strategi dan polisi tanah, pastinya kita boleh menggalakkan kegiatan pertanian lestari yang berdasarkan kepada Good Agricultural Practice di kalangan petani demi memelihara alam sekitar. Hal ini juga selaras dengan Titah Baginda yang menyeru untuk mewujudkan Sustainable Management.
Dengan wujudnya polisi tanah yang terjamin, pihak Kerajaan Negeri juga boleh bertindak tegas terhadap penggunaan tanah yang tidak mematuhi undang-undang tanpa membimbangkan para petani. Kaedah “Carrot and Stick” ini akan memastikan pertanian lestari diwujudkan di Cameron Highlands.
Saya memohon jasa baik YAB Menteri Besar untuk memberi pertimbangan yang secukupnya kepada cadangan tersebut dan saya sudi memberikan kerjasama yang penuh kepada pihak Kerajaan Negeri untuk memyempurnakan misi yang penting ini demi pembangunan mampan di Cameron Highlands.
TUAN YANG DIPERTUA,
Dimaklumkam bahawa hasil dan perbelanjaan pihak berkuasa tempatan di Cameron Highlands telah bertambah akibat daripada limpahan pembangunan yang begitu pesat terutama dari segi pelancongan.
Namun begitu, dalam kawasan Cameron Highlands hanya mempunyai satu Jalan Utama yang menyambung dari Ladang Blue Valley sehingga ke Pekan Ringlet tanpa jalan pintas. Sekiranya berlaku kesesakan lalu-lintas dalam Cameron Highlands, ia bermakna seluruh pengguna jalan-raya di Cameron Highlands tidak dapat mengelakkan diri daripada masalah lalu-lintas. Hal sedemikian jelas dilihat pada setiap hujung minggu di sekitar kawasan Kea Farm.
Oleh itu, kita perlu adanya rancangan pembangunan yang menyeluruh dan teliti. Pada 10 tahun yang lalu, kegiatan pelancongan dan perniagaan terlalu tertumpu di kawasan Kea Farm, dimaklumkan bahawa terdapat 2 lagi projek pembangunan pusat perniagaan akan wujud di sekitar Kea Farm. Masalah lalu-lintas di Cameron Highlands pastinya bertambah serius sekiraya rancangan pembangunan tidak dijalankan dengan rapi dan teliti.
Hal sedemikian pastinya memberikan pengalaman yang tidak selesa kepada para pelancong dan menjejaskan nama baik Cameron Highlands sebagai Pusat Peranginan dan Pelancongan. Oleh yang sedemikian, diharapkan Pihak Berkuasa Negeri dan Tempat boleh berusaha menyediakan infra asas seperti jalan pintasan, tempat letak kereta bertingkat, pengangkutan awam yang lebih banyak terlebih dahulu sebelum menjalankan projek pembangunan perniagaan.
TUAN YANG DIPERTUA,
Akhir sekali saya ingin membangkitkan masalah Masyarakat Orang Asli. Walaupun Orang Asli merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat Malaysia dan Negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak 61 tahun dahulu, namun masyarakat Orang Asli masih belum dapat merasa nikmat kemajuan yang telah dicapai oleh Negara. Begitu juga untuk Masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands yang penduduknya mencecah 8000 orang.
Isu utama Orang Asli adalah isu Tanah Adat. Isu ini sudah lama berlaku dalam masyarakat orang asli sejak kemerdekaan. Masalah tanah yang wujud ini sebenarnya telah menyukarkan usaha untuk membangunkan dan memajukan sosioekonomi masyarakat Orang Asli kerana aspek-aspek kehidupan masyarakat Orang Asli amat berkait rapat dengan tanah dan ekologi persekitaran mereka.
Pembangunan yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan swasta di kawasan tanah adat telah menimbulkan konflik di antara pihak pemaju dan masyarakat setempat. Keadaan ini telah menyebabkan Orang Asli yang terlibat telah kehilangan tempat tinggal dan kawasan pencarian hasil dan sumber hutan bagi menyara kehidupan mereka.
Sepertimana yang dibangkitkan oleh Pemangku Raja Pahang dalam Titah Baginda, diharapkan usaha dan langkah mewartakan tanah rezab Orang Asli dapat dipercepatkan oleh Kerajaan Negeri.
Konvesyen 107 Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) Mengenai Orang Asli telah menggalakkan setiap Kerajaan untuk melibatkan Orang Asli di dalam projek pembangunan dan telah menyediakan panduan mengenai perlindungan Orang Asli. Kepentingan Orang Asli tidak harus diabaikan dalam arus pembangunan oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.
Semoga ahli-ahli yang berhormat dalam Dewan yang mulia ini boleh sama-sama membawa kesejahteraan kepada rakyat dan Negeri Pahang.
Sekian, terima kasih.