Terima kasih Tuan Pengerusi diatas peluang untuk Batu Kawan membawa isu-isu kawasan Batu Kawan, isu-isu wanita, isu-isu kanak-kanak, OKU, anak muda serta isu-isu hak asasi manusia ke Dewan yang Mulia ini untuk merafak sembah menjunjung dan membahas titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong.
Tuan Speaker,
Pada 9 Mac yang lepas kira-kira 1000 rakyat, warga marhaen telah mengambil bahagian dalam satu perhimpunan aman sempena Hari Wanita Sedunia yang menuntut untuk memerangi keganasan terhadap gender atau gender based violence, untuk memerangi perkahwinan kana-kanak, hak wanita sebagai pembuat keputusan keatas tubuh badan mereka sendiri, dan untuk hak gaji sama rata dan hak gaji minima RM1800, termasuklah seruan untuk mengakhiri budaya patriarki dan untuk membina sebuah demokrasi yang sihat dan teguh berlandaskan undang-undang yang sedia ada.
Namun, pihak penganjur berdepan dengan satu keadaan dimana mereka dipanggil untuk memberikan kenyataan di balai polis walaupun telah memberikan notis 10 hari kepada pihak polis sebelum pihak polis telah menafikannya. Mungkin pihak polis belum semuanya arif mengenai Akta Perhimpunan Awam yang diluluskan pada zaman BN pada tahun 2012 selepas asakan dari Pakatan Rakyat untuk mereformasikan pendekatan yang akan diambil. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan yang menjunjung semangat kebebasan untuk berhimpun mengikut Perkara 10 (b) dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hak bagi semua warganegara untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dan kebebasan juga kepada mana-mana pihak asalkan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyakiti hati mana-mana golongan atau kumpulan di Malaysia.
Saya ingin membetulkan persepsi beberapa wakil rakyat disini seperti Parit Sulong semalam yang telah menyatakan bahawa pihak penganjur Women’s March atau Himpunan Wanita ini tidak memberikan notis 10 hari kepada pihak polis. Ini tidak benar sama sekali kerana pihak penganjur telah memberikan notis tersebut, dan untuk makluman Ahli Parlimen Parit Sulong juga, permit kebenaran diwajibkan dibawah Akta Polis. Selepas Akta Perhimpunan Awam diperkenalkan, maka tidak perlu permit daripada pihak polis dan permohonan dibuat sebelum tempoh masa 10 hari. Jadi janganlah melemparkan fitnah terhadap kumpulan wanita ini yang hanyalah menuntut hak wanita seperti anda dan saya untuk ditegakkan. Ianya himpunan wanita dan bukannya himpunan mana-mana pihak yang kononnya dikatakan telah menganjurkan himpunan ini. Kita ada pendirian masing-masing mengikut budaya, agama dan latarbelakang yang berbeza, tetapi dalam Dewan Yang Mulia ini, kita semua adalah penggubal undang-undang yang akan meninggalkan impak yang dalam sekiranya undang-undang yang draconian atau ultra right wing dibahas dan diluluskan yang jelas wajar ditentang dan tiada nilai mahupun tempat di Malaysia baharu ini.
Saya berharap pihak Kerajaan akan mengambil kira dan meneliti tuntutan perhimpunan wanita bagi Sambutan Hari Wanita sedunia untuk memaslahatan kaum Hawa, struktur dan institusi keluarga serta bagi mengukuhkan jalinan anggota masyarakat.
Maka kita harus berbahas mengikut kepercayaan dan mandate yang diberikan oleh rakyat dan bukanlah untuk score dengan pengundi kita apabila balik Kawasan nanti. Jadi saya ingin bertanya disini jika Akta Perhimpunan Aman akan dipinda dan jika ia, apakah semangat pindaan tersebut serta bilakah pindaan tersebut akan dibentangkan?
Ini termasuklah lemparan tohmahan dan fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan hanyalah bertujuan untuk mempopularkan diri YB berhormat tersebut, sekaligus terjatuh dalam perangkap muslihat parti yang lain untuk memecahbelahkan perpaduan dikalangan wakil rakyat dalam isu-isu yang mengetengahkan isu rakyat.
Tuan Speaker,
Dalam nafas yang sama, saya ingin membangkitkan betapa pentingnya agenda wanita terutama sekali cadangan untuk menjenayahkan hendap atau stalking. 9 daripada 10 wanita yang menjadi mangsa pembunuhan pernah juga menjadi mangsa menghendap. Apabila pihak lelaki atau wanita yang telah bercerai masih lagi berfikir mereka masih berkuasa dalam kehidupan pasangan mereka. Sudah tiba masanya kerjaan Pakatan Harapan melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Barisan Nasional walaupun berkuasa selama 60 tahun iaitu untuk menjadi tindakan mengehndap atau stalking itu satu jenayah dan wujud peruntukan dan pindaan dalam Kanun Keseksaan, atau Akta Keganasan Rumahtangga atau satu akta baharu untuk tujuan ini. Let’s show the critics out there how its done, for the protection of men and women and the protection of the family.
Pada masa yang sama juga, saya ingin menyeru kepada kerajaan untuk memansuhkan reservasi yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak serta dalam CEDAW untuk memudahkan akta domestic dipinda menggunakan best practices nagi kebaikan dan manfaat semua.
Tuan Speaker,
Semalam, kami telah dijemput menghadiri forum di Parlimen berhubung dengan kanak-kanak tanpa warganegara yang diberikan oleh Voices of Children yang juga melihat pelancaran Handbook bagi isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan oleh Datuk VK Liew yang turut dihadiri oleh wakil dari UNHCR dan UNICEF. Mengikut statistic dan pembentangan oleh pihak VoC, masalah paling besar yang dihadapi oleh kanak-kanak tanpa kewarganegaraan adalah sikap prejudis yang bercampur dengan karenah birokrasi oleh sesetengah agensi atau bahagian dalam KDN. Saya akur bahawa pemberian kewarganegaraan merupakan anugerah yang tertinggi oleh mana-mana kerajaan, namun disini, adalah tanggungjawab kerajaan untuk meletakkan kepentingan kanak-kanak itu pada tangga kepentingan yang tertinggi. Kanak-kanak dan bayi yang diambil sebagai anak angkat juga menghadapi isu yang rumit. Ingin saya cadangkan disini agar sekiranya salah seorang dari ibu atau bapa merupakan seorang warganegara maka pendaftaran boleh dibuat dengan JPN, sijil lahir baru dikeluarkan, permohonan untuk kewarganegaraan dibuat oleh ibubapa angkat dan seterusnya kewarganegaraan dapat diberikan oleh kerajaan.
Apa akan berlaku sekiranya kanak-kanak itu menjadi kanak-kanak tidak sah taraf kewarganegaraan di Malaysia? Memandangkan kanak-kanak ini “invisible” atau tidak dapat dikesan oleh undang-undang negara maka kebarangakalian untuk menjadi mangsa eksploitasi adalah lebih tinggi, akses kepada kemudahan kesihatan adalah terbatas atau tiada langsung, akses kepada Pendidikan yang terhad atau tiada langsung, dan walaupun saya mengucapkan syabas kepada YB Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan diatas polisi untuk membenarkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk mendaftar di sekolah kerajaan, namun wujud juga beberapa sekolah yang masih keras dan berdegil dan tidak membenarkan kanak-kanak tersebut untuk mendaftar di sekolah tersebut. Saya berharap pihak Kementerian akan mengambil tindakan secepat mungkin keatas sekolha-sekolah ini supaya perkara ini tidak berulang lagi. Kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan juga berisiko tinggi kerana mereka ini tidak akan diberikan akses to justice. Kenyataan ini boleh didangkal oleh pihak kementerian tetapi “the Devil is in the details” dan apabila kanak-kanak itu meninggal dunia mayat kanak-kanak itu akan berada di mortuari sehinggalah satu masa kanak-kanak tersebut akan dikebumikan tanpa penghormatan sijil kematian sah atau “an official burial”.
Saya berharap kerajaan akan mengambil pendekatan secara fleksibel untuk kanak-kanak yang lahir kepada ibubapa yang belum berkahwin berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, reformasi perundangan untuk memberikan hak kepada ibu yang melahirkan anak mereka diluar Malaysia, memberikan perlindungan sepenuhnya kepada kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat dimana salah seorang daripada ibubapa merupakan wargenagara Malaysia atau pemegang status PR dimana pendekatan Jabatan Pendaftaran Negara bercanggah dengan Akta Anak Angkat 1952, mengimplimentasi serta memperkukuh MoU diantara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Pendaftaran Negara dibawah Kementerian Dalam Negeri berhubung pendaftaran kanak-kanak dalam rumah perlindungan atau rumah anak yatim memandangkan mana-mana kanak-kanak yang tidak diambil sebagai anak angkat akan mengorak langkah memasuki dunia sebagai seorang dewasa yang berumur 18 tahun yang tiada taraf kewarganegaraan. Semua masalah ini dihadapi oleh semua wakil rakyat disini dan terutama sekali pemohon yang berlatarbelakang pemohon India dari estet, pemohon Cina dan Melayu, pemohon dari golongan Orang Asli dan juga pemohon-pemohon dari Sabah dan Sarawak. Jika JPN dan KDN dapat mengekspedasikan permohonan isteri kepada pemimpin Sarawak untuk mendapat kewarganegaraan dalam tempoh 7 tahun dan kebenaran untuk mengundi 2 kali dalam PRN Sarawak dan PRU13 maka tidak salahlah untuk meluluskan puluhan ribu pemohon kewarganegaraan yang sudah berabad lama menunggu untuk kad pengenalan biru mereka.
Saya mohon dan merayu agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengiktiraf Perkara 7 dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak supaya kanak-kanak akan memperoleh kewarganegaraan di negara yang mereka lahir.
Tuan Speaker,
Pada hari Jumaat, seorang warganegara Malaysia, seorang anak Sarawak akan dihukum mati di Singapura diatas tuduhan membunuh di Singapure pada tahun 2015. Walaupun saya faham bahawa kedua-dua negara Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatic yang baik seperti ahli keluarga dan saya mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri YB Batu Sapi bahawa beliau akan menulis surat kepada Presiden Singapura supaya Michal Garing tidak akan digantung pada hari Jumaat ini tetapi menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Pada masa yang sama ingin saya juga mengetengahkan 2 kes banduan akhir yang menunggu masa sementara permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Selangor dipertimbangkan.
Sulkarnain bin Alias dituduh pada tahun 2009 diatas satu kes pembunuhan yang berlaku pada tahun 2002 dan sudah 17 tahun sebagai banduan akhir menunggu masa untuk dijatuhi hukuman gantung. Tetapi kes beliau dibumbui dengan keraguan. Si tertuduh utama dilepaskan dan menjadi saksi utama sedangkan dialah yang merancang dan satu-satunya orang yang mengenali mangsa, tertuduh yang keempat telah dibebaskan tanpa membela diri walaupun terlibat memukul mangsa tanpa sebarang pertuduhan, anjing pengesan mengesan menjejaki pembunuh sebenar tetapi bukti tersebut tidak dipedulikan oleh hakim perbicaraan pada ketika itu yang jelas “reasonable doubt” yang ditimbulkan sendiri oleh pihak pendakwa, tarikh dan waktu kejadian dalam pertuduhan tidak sama dengan tarikh dan waktu kematian tersebut dan banyak isu yang timbul namun tidak diambil kira juga.
Kes Mainthan, seorang banduan akhir juga yang sedang manjalani hukuman gantung selama 12 tahun. Yang peliknya, yang dikatakan dibunuh masih hidup lagi! Dan daripada 4 orang yang dituduh, hanya Mainthan yang dijatuhkan hukuman gantung ini. Jelas isunya adalah “criminal justice system” di Malaysia yang tidak membenarkan satu-satu kes dibuka semula walaupun wujud bukti “miscarriage of justice”. Dalam filem Menunggu Masa terbitan peguam Sherrie Razak dan Seira Sacha Abu Bakar menunjukkan percanggahan dalam bukti dan kenyataan saksi namun Mainthan masih dikambing hitamkan.
Seorang peguam jenayah Suzana Ujen Norlihan dalam satu forum berhubung hukuman gantung telah bertanyakan kepada audience pada masa itu “sekiranya ahli keluarga anda dirogol dan dibunuh bolehkah hukuman gantung digunakan keatas pemangsa” Semua peserta telah mengangkat tangan tanda sokongan. Soalan kedua “Jika yang didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman gantung itu ahli keluarga sendiri, wajarkah hukuman gantung digunakan keatas mereka?” Tiada satu pun tangan diangkat tanda menyokong. Saya tidak salahkan sesiapa tetapi ini adalah sikap menusia. Namun, saya harus mengucapkan syabas kepada kerajaan Pakatan Harapan yang berani untuk memansuhkan hukuman gantung mandatori, sekaligus memberikan kuasa dan budibicara kepada hakim dan mahkamah untuk menggunakan kuasa mereka. Perkara ini tidak dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional melainkan untuk banduan dibawah Seksyen 39B iaitu jenayah mengedar dadah yang digubal pada tahun 2017.
Saya berterima kasih juga kepada kerajaan Pakatan Harapan diatas dasar moratorium untuk tidak menghukum mati banduan akhir, satu langkah yang berani dan berlandaskan Perkara 5 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Dan undang-undang Malaysia digubal mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan. Harus kita ingat juga bahawa hukuman gantung ini adalah salah satu tinggalan penjajahan British di Tanah Melayu walhal mereka tidak mengguna pakai undang-undang ini dinegara mereka pada masa kini. Mengapa Malaysia perlu berpegang kepada undang-undang tinggalan penjajah ini?
Tuan Speaker,
Saya juga ingin membangkitkan beberapa isu yang berkaitan dengan isu graduan Pendidikan yang kini menganggur khususnya yang mengambil Bahasa Tamil dan Bahasa Cina sebagai subjek major.
Dalam isu sekolah Tamil, wujud kekurangan guru-guru sekolah Tamil dan dalam sesetengah sekolah menengah hanya mempunyai seorang guru Bahasa Tamil untuk mengajar semua tingkatan. Pada masa yang sama, wujud juga guru opsyen yang mengajar Bahasa Tamil di sekolah menengah. Walaupun ini satu perkara yang bukan satu isu besar, namun bagi graduan yang memperoleh ijazah sukar untuk mendapat posting. Masalah ini ditambah lagi apabila Kementerian Pendidikan Malaysia hanya menjalankan panngilan untuk temuduga bagi graduan yang mempunai major dalam Bahasa Tamil hanya 2 tahun sekali sahaja. Ini menyebabkan graduan major Tamil ini sukar untuk mendapat pekerjaan lain dan tidak dapat memasuki sekolah swasta sebagai guru Bahasa Tamil. Saya berharap pihak KPM dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin samada membenarkan graduan ini, terutama sekali dari UPSI dibenarkan memohon untuk pekerjaan di agensi lain seperti sebagai penterjemah di mahkamah, guru tuisyen atau dari segi pentadbiran dan juga untuk meningkatkan kekerapan penggilan temuduga untuk placement mereka ini.
Dalam nafas yang sama, saya ingin juga bertanyakan berhubung dengan status pembinaan SJKT Sungai Bakap yang dari zaman BN tidak dibina-bina dan juga berapakah peruntukan yang diberikan untuk SJKT Ladang Valdor yang melihat sebuah blok sekolah baru selepas kerajaan Pakatan Rakyat memberikan tanah kepada sekolah yang tidak dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.
Pada masa yang sama, di negeri Pulau Pinang wujud 28 buah sekolah Tamil dimana hanya 6 adalah Sekolah Bantuan Penuh dan selebihnya Sekolah Bantuan Modal. Saya ingin cadangkan disini supaya kementerian Pendidikan Malaysia untuk menganggap sekolah bantuan modal sebagai sekolah bantuan penuh agar bantuan kewangan yang setara dapat diberikan kepada SJKT-SJKT yang memerlukannya. Dalam lawatan saya ke SJKT Ladang Prai, saya telah mendapati bahawa dewan kecil mereka boleh dipasang air cond yang boleh saya sponsor, namun isunya adalah bil elektrik yang terpaksa ditanggung oleh sekolah tersebut kerana ianya Sekolah bantuan modal dan walaupun menerima dana dari KPM namun tidak sebanyak sekolah bantuan penuh. Maka, saya berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan keatas status SJKT di Pulau Pinang dan seluruh negara supaya anak-anak kita dapat belajar dalam satu keadaan yang selamat dan sihat.
Saya juga ingin membangkitkan keperluan sebuah hospital di Batu Kawan memandangkan Hospital Daerah Sungai Bakap merupakan hospital bukan pakar. Populasi di SPS, di Bukit Tambun dan Nibong Tebal dijangka akan mencecah lebih 200,000 orang menjelang 2020 dan sudah pasti sebuah Hospital Daerah tidak dapat menampung bilangan pesakit yang kebanyakannya daripada golongan B40.
Memandangkan Akta Hasutan 1948 adalah akta yang digubal dan ditinggalkan penjajah British, adakah kerajaan berhasrat untuk meminda Kanun Keseksaan untuk menyerapkan peruntukan yang menjenayahkan “hate speech” dan menjenayahkan kecenderungan menghasut sebagai satu kesalahan jenayah dan pada masa yang sama melindungi sensitivity semua rakyat Malaysia.
Saya mengucapkan syabas kepada kerajaan Pakatan Rakyat kerana keberanian political will untuk membawa pemaharuan dan reformasi di Parlimen dan juga melalui penggubalan undang-undang, yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Dengan ini, Batu Kawan memohon menyokong titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong.
Sekian, terima kasih.