Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada YB Datuk Mohamad Ariff Md Yusof atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Speaker Dewan Rakyat yang baru. Ucapan tahniah juga ingin saya panjangkan kepada sahabat saya ketika di Pulau Pinang pada penggal lepas, yang kini merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat, YB Dato’ Haji Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Teluk Intan, YB Nga Kor Ming yang masing-masing telah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Setelah hampir 5 tahun tidak menjejak kaki di Parlimen Malaysia, kini saya kembali untuk membawa tanggungjawab dan suara rakyat Pulau Pinang di Dewan yang mulia ini. Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) telah menyaksikan rakyat Malaysia memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk menerajui negara. Saya percaya, Malaysia Baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad serta barisan Kabinet yang dilantik merupakan sebuah pasukan yang berkemampuan dalam memastikan agenda pembangunan Malaysia akan terus maju dan mara ke hadapan.
Yang di-Pertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat yang dimuliakan,
Ketika perubahan kuasa berlaku di Pulau Pinang buat pertama kalinya pada tahun 2008, Pulau Pinang berada dalam keadaan yang kurang memuaskan. Tidak banyak perkara yang mengujakan ketika itu. Bandar serta pekan kecil kelihatan tidak bermaya dan kotor, keadaan kewangan negeri tidak memuaskan serta perbelanjaan Kerajaan yang tinggi melampaui belanjawan tahunan. Namun, Kerajaan Negeri di bawah mantan Ketua Menteri ketika itu, Saudara Lim Guan Eng telah bekerja keras untuk membawa perubahan sehingga Pulau Pinang telah dikenali sebagai negeri yang paling berdaya huni di Malaysia yang bersih, hijau, sihat dan selamat.
Kini, Pulau Pinang telah berada di persadanya yang tersendiri. Mantan Ketua Menteri Pulau Pinang yang kini merupakan Menteri Kewangan Malaysia, Saudara Lim Guan Eng telah menyediakan landasan yang kukuh untuk Pulau Pinang terus dikenali umum. Sebaik diangkat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu, satu tanggungjawab yang besar harus dipikul oleh saya bagi memastikan kegemilangan Pulau Pinang diteruskan.
Kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan daya tahan yang ditonjolkan semua pihak dalam memastikan keberlangsungan dan peningkatan pelaburan negeri itu. Memang diakui Pulau Pinang berdepan dengan beberapa cabaran dalam usaha untuk negeri ini untuk terus kekal maju ke hadapan. Untuk itu, sinergi dan kerjasama yang lebih erat amat diperlukan di antara agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan pada masa kini. Kerenah birokrasi dan ketidaksamaan fahaman politik yang mungkin wujud dan diamalkan sebelum ini diharap dapat dihapuskan berikutan amalan keterbukaan yang menjadi agenda Kerajaan baharu.
PELABURAN
Dari segi pelaburan, Pulau Pinang berada di kedudukan yang sangat memuaskan. Kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan daya tahan yang ditonjolkan semua pihak dalam memastikan keberlangsungan dan peningkatan pelaburan negeri itu. Pada tahun 2017, Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.8 bilion, menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri dengan jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan kedua tertinggi di Malaysia.
Walau bagaimanapun, untuk meningkatkan pencapaian ini ke tahap yang lebih tinggi, Pulau Pinang berdepan dengan beberapa cabaran dan memerlukan perhatian dan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan, Saya menyarankan agar MIDA dan agensi-agensi promosi pelaburan negeri perlu terus meningkatkan kerjasama untuk meningkatkan promosi pelaburan bagi Malaysia secara keseluruhannya. Ini termasuklah dalam aktiviti-aktiviti penyatuan polisi pelaburan, promosi pelaburan secara bersama dan perkongsian maklumat bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan mengurangkan lebihan/ pembaziran. Perkongsian ini termasuklah perkongsian maklumat-maklumat pelaburan dan perniagaan.
Pada masa ini, sebanyak 32 agensi (Persekutuan dan Negeri) terlibat dalam mempromosikan bidang pelaburan dan/ atau memberi insentif kepada para pelabur, dengan kebanyakannya mempunyai peranan dan fungsi-fungsi yang bertindih. Oleh itu, wujud satu cadangan agar MIDA diberi kuasa sebagai agensi pusat kebangsaan bagi hal-ehwal pelaburan. Para pelabur akan lebih menghargai agensi promosi pelaburan ‘one-stop’ di mana MIDA memainkan peranannya di peringkat pusat manakala agensi promosi pelaburan negeri memainkan peranan di peringkat negeri. Badan-badan lain yang mempunyai fungsi-fungsi bertindih juga perlu dikaji semula. Semua agensi lain perlu mempunyai peranan dan fungsi yang khusus dan batasan kuasa yang jelas bagi memastikan kecekapan perkhidmatan bagi mempromosikan pelaburan nasional.
Polisi-polisi terutama yang melibatkan insentif haruslah dinilai semula dan “repackage” berdasarkan “benchmark” antarabangsa. Kecekapan dalam mempertimbang dan membuat keputusan berkaitan cadangan projek dan mesyuarat bersama para pelabur juga harus diberi perhatian.
Saya difahamkan permohonan untuk status MSC Malaysia telah dibekukan buat sementara waktu bermula 1 Jun 2018 dan ini sekaligus telah menjejaskan beberapa pelabur baru yang dalam proses membuat permohonan bagi mendapatkan status MSC. Bagi memudahcara kemasukan pelabur baru, Kerajaan Persekutuan disaran untuk mengambil langkah mempercepat kelulusan permohonan status MSC ini.
Promosi pelaburan di Malaysia secara amnya terutama dalam sektor berteknologi tinggi berdepan cabaran yang sangat tinggi. Kekurangan bakat dan tenaga kerja mahir, termasuk mereka yang berada dalam bidang teknikal dan vokasional sangat ketara dan usaha perlu dipergiatkan agar bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) akan terus diperkasa dan diberi perhatian sewajarnya.
PENGURUSAN SUMBER AIR MENTAH UNTUK RAKYAT DI UTARA MALAYSIA
Saya mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan isu berkaitan pengurusan sumber bekalan air mentah. Jumlah populasi rakyat di 4 negeri di Utara Malaysia adakah kira-kira 6.69 juta orang. Dengan populasi dan aktiviti sosio ekonomi yang semakin meningkat, sudah tentu permintaan air mentah di wilayah utara juga akan terus meningkat. Di Pulau Pinang misalnya, permintaan air telah meningkat sebanyak 11% dalam tempoh 10 tahun yang lalu, daripada purata 744 juta liter sehari pada tahun 2008 kepada 826 juta liter sehari pada tahun 2017.
Oleh itu, sudah tentu cabaran baru wujud bagi memastikan bekalan air yang secukupnya dapat dipastikan bagi menyokong semua aktiviti sosio ekonomi di negeri-negeri tersebut. Cabaran-cabaran yang dihadapi adalah seperti:-
- Hutan Simpan Ulu Muda telah berfungsi sebagai Kawasan tadahan air mentah utama bagi Negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Hampir 70% air mentah Perlis, 96% air mentah Kedah dan lebih daripada 80% air mentah Pulau Pinang asalnya dari hutan hujan Ulu Muda. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014, Kedah telah melesenkan pembalakan 46,264 hektar hutan dalam tempoh 2009-2014, termasuk kawasan di Ulu Muda. Pembalakan ini telah menyebabkan air mentah di Sungai Muda kelihatan seperti “teh tarik”;
- Kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek penting seperti Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) sejak tahun 2011 untuk menangani keperluan air mentah Perak dan Pulau Pinang; dan
- Ancaman krisis air serantau semasa musim kemarau yang luar biasa akibat perubahan iklim global. Pada tahun 2016, fenomena Super El Nino mengancam rizab empangan yang teruk, menyebabkan catuan air di beberapa kawasan dan mengancam perkhidmatan bekalan air di semua negeri di wilayah utara.
Oleh itu, Kerajan Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar bekalan air terawat kepada pengguna di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak diuruskan oleh operator bekalan air negeri masing-masing. Walau bagaimanapun, diakui sumber air mentah bagi 4 negeri ini merupakan cabaran serantau yang melampaui sempadan negeri. Kerajaan Persekutuan sebelum ini gagal menangani dan menguruskan cabaran-cabaran ini. Kesemua 4 negeri berada dalam risiko kekurangan bekalan air mentah akibat peningkatan permintaan air dan perubahan iklim.
Saya berharap Kerajaan Persekutuan yang baharu, melalui Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, dapat memberi perhatian akan isu berbangkit ini supaya langkah untuk menguruskan sumber air mentah di kawasan utara secara serantau dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.
Saya kira inisiatif-inisiatif berikut perlu dilaksanakan untuk memastikan kelestarian dan jaminan bekalan air di Wilayah Utara Malaysia:
- Mengharamkan semua aktiviti pembalakan di kawasan tadahan Ulu Muda kerana pembalakan di kawasan tersebut menjejaskan kuantiti dan kualiti air mentah untuk negeri Perlis, Pulau Pinang dan Kedah sendiri. Kawasan hutan hujan seluas 163,103 hektar di Ulu Muda mesti diwartakan dan dipelihara sebagai Kawasan Tadahan Air Wilayah Utara untuk manfaat tiga negeri ini. Untuk bersikap adil kepada Kedah, Kerajaan Persekutuan wajar membayar pampasan kepada Kedah sebagai ganti kepada hasil yang diperolehi daripada pengeluaran lesen pembalakan.
- Laksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk kepentingan Perak dan Pulau Pinang. Skim ini mempunyai potensi untuk memastikan jaminan bekalan air mentah untuk kedua-dua negeri sehingga tahun 2050.
- Merangka dan membangunkan Rancangan Pengurusan Krisis Air Mentah Wilayah Utara. Pelan ini harus mengambil kira semua sumber air mentah yang ada di wilayah ini dan menetapkan respons tindakan yang pantas untuk mengelakkan krisis bekalan air yang mungkin berlaku ketika musim kemarau yang panjang atau luar biasa yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Sejak tahun 1999, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah bekerjasama dan berjaya mengelakkan catuan air di Pulau Pinang walaupun merupakan adalah negeri yang kekurangan sumber air. Dalam semangat Malaysia Baharu ini, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan semua negeri utara Malaysia adalah sangat diharapkan demi menjamin kelestarian dan jaminan bekalan air untuk 6.69 juta orang rakyat di Utara Malaysia.
Hadirin sidang Dewan Rakyat yang dihormati sekalian,
PROJEK DI BAWAH PELAN INDUK PENGANGKUTAN PULAU PINANG
Masalah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang terutama ketika musim perayaan sememangnya tidak dapat dinafikan. Pulau Pinang telah melancarkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebelum ini tetapi telah dikecam dengan hebatnya. Namun, Kerajaan Negeri percaya PTMP adalah penyelesaian utama kepada kesesakan lalu lintas dan untuk memenuhi permintaan terhadap pengangkutan awam dan kapasiti jalan raya dalam tempoh 50 tahun akan datang (2015-2065). PTMP dianggap sebagai kunci untuk menaiktaraf Pulau Pinang dari segi ekonomi, tarikan pelancongan dan kehidupan penduduknya. Kerajaan Negeri percaya PTMP akan mengubah landskap pengangkutan dan seterusnya meningkatkan kesinambungan jajaran jalan raya dan akses di negeri ini.
Pelan perancangan sedemikian bukan sahaja perlu lebih murah dan cepat, tetapi lebih penting adalah reliable, sustainable dan feasible. Saya ingin memohon agar pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) dapat dititik beratkan agar pelan-pelan perancangan tersebut dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Di kesempatan ini, saya dengan rendah diri memohon agar bantuan pembiayaan dapat diluluskan dan terus mendapat kerjasama serta sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian pengangkutan awam bersepadu yang akan meningkatkan penyambungan serta aksesibiliti dalam Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan kesesakan dan masa hadapan rakyat Pulau Pinang untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang teguh dan mampan di Pulau Pinang.
Walaupun diketahui umum Kerajaan Persekutuan mempunyai kekangan kewangan berikutan hutang yang terlalu tinggi, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mendapatkan RM1 bilion pinjaman mudah bagi pembiayaan kerja-kerja awalan bagi dua (2) komponen projek utama di bawah PTMP. Dua (2) projek tersebut adalah Projek Jajaran Transit Aliran Ringat (LRT) Dari George Town Ke Bayan Lepas serta Lebuhraya Penang Island Link 1 (PIL1) Dari Persiaran Gurney Ke Lapangan Terbang Bayan Lepas.
Selain daripada dua (2) projek tersebut, projek jalan-jalan utama dan terowong bawah tanah yang dahulu pernah menjadi isu hangat diharap dapat mendapat kelulusan yang sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan baharu ini agar projek-projek ini dapat disegerakan.
Perkhidmatan feri yang sinonim dengan Pulau Mutiara yang telah menjadi salah satu mod pengangkutan rakyat negeri ini juga diharap mendapat pembelaan sewajarnya. Kerajaan Negeri pernah mengadakan perbincangan bersama pihak Kementerian Pengangkutan pada awal tahun 2016 untuk mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang. Setelah Kerajaan Negeri meneliti beberapa dokumen dan maklumat tambahan yang diperolehi hasil daripada perbincangan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk menangguh keputusan mengambil alih pengurusan dan operasi perkhidmatan feri ini. Sebagaimana semua sedia maklum, kini perkhidmatan feri Pulau Pinang telah diambil alih oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad dan operasi perkhidmatan dilaksanakan oleh Rapid Feri. Walaupun beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan oleh pihak Rapid Feri namun perkhidmatan feri masih di takuk lama. Jumlah perjalanan feri pada masa ini masih dikekalkan seperti yang diuruskan oleh Penang Port sebelum ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap akan ada satu kerjasama baharu bagi mengatasi masalah ini dan mengembalikan kegemilangan perkhidmatan feri seperti mana suatu ketika dahulu. Saya berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat meneliti semula perkhidmatan feri ini serta cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan water taxi atau catamaran dalam masa terdekat. Malah Kerajaan Negeri berbesar hati untuk berkongsi maklumat mengenai Kajian Kebolehlaksanaan bagi perkhidmatan pengangkutan air yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.
Sidang Dewan Rakyat yang dihormati sekalian,
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya berharap isu-isu berbangkit yang diketengahkan sebentar tadi akan mendapat perhatian yang sewajarnya dari Menteri dan Kementerian yang berkaitan agar projek-projek yang tergendala dan bermanfaat untuk rakyat dapat diteruskan.
Sekian, terima kasih.