Skip to content

Ucapan aluan oleh Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai di Persidangan Kebangsaan DAP

Peribahasa lama menyebut, perjalanan seribu batu bermula pada langkah pertama. 50 tahun lalu sekumpulan anak Malaysia yang cintakan tanah air ini telah memulakan langkah pertama mereka. Berjuang untuk mewujudkan sebuah negara yang demokratik. Berjuang untuk mewujudkan negara yang adil untuk semua. Berjuang bagi mewujudkan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Dari semangat dan perjuangan itu lahirnya DAP. Sebuah parti yang sehingga hari ini berpegang teguh membawa panji-panji kebebasan. Membawa panji-panji kesetaraan martabat manusia, tidak kira kaum, agama atau asal usul. Membawa panji-panji setiakawan warga Malaysia baik di timur mahupun di barat.

Ketika saya menyertai DAP 37 tahun lalu, DAP hanyalah sebuah organisasi sederhana. Manakala perjuangan pula penuh dengan liku-liku, ini kerana DAP merupakan sebuah parti berbilang kaum yang berusaha mengangkat nilai-nilai progresif di Malaysia. Hari ini keluarga DAP sudah semakin besar dan utuh. Apa yang kita dapat lihat hari ini tentulah hasil usaha tanpa kenal penat dan tidak tunduk pada penindasan para pejuang terdahulu.

Oleh itu saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada veteran-veteran DAP yang turut hadir pada hari ini. Sila berikan mereka satu tepukan penghormatan.

Hadirin yang dihormati,

Kerajaan Baru Malaysia Baru

50 tahun sudah berlalu, namun perjalanan seribu batu kita masih jauh daripada destinasi impian kita. Para pejuang terdahulu sudah membuka jalan. Kini kita harus berusaha meneruskan perjuangan yang telah dimulakan setengah abad lalu dan berdepan dengan cabaran-cabaran baru.

Cita-cita kita untuk melihat sebuah Malaysia baru boleh dicapai dengan mendapat sebuah kerajaan baru. Rejim lama harus disingkirkan melalui proses yang demokratik dan satu kerajaan baru perlu dinaikkan. Kerajaan baru yang menghormati prinsip-prinsip demokrasi. Kerajaan baru yang mengangkat nilai-nilai ketelusan dan keadilan. Kerajaan baru yang bersih dan mempunyai tadbir urus yang baik. Yang di akhirnya kita harap akan berdiri sebuah negara yang maju, makmur dan rakyatnya saling mengasihi satu sama lain.

Selepas hampir 53 tahun penubuhan Persekutuan Malaysia, kita masih jauh lagi dari menjadi sebuah negara yang bersatu-padu. Kesan dari dasar-dasar serta strategi politik pecah dan perintah UMNO/BN. Sentimen supaya saling curiga bukan saja ditiupkan pada etnik-etnik berbeza di dalam Malaysia, tetapi juga antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Menyukarkan lagi usaha membina bangsa Malaysia yang pada asalnya sudah sedia rapuh.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Fitnah Jahat UMNO

UMNO/BN akan terus mempergunakan kaum dan agama sebagai senjata dan muslihat mereka. Seperti biasa DAP akan terus menjadi sasaran serangan mereka kerana DAP berterusan sejak dulu membawa agenda yang menggugat kuasawan-kuasawan korup UMNO/BN. Agenda DAP yang menyeru kepada kebebasan, keadilan dan bersetiakawan dengan rakyat-rakyat tertindas tentu sekali menggegarkan jantung UMNO/BN.

DAP sejak penubuhannya berpegang teguh dengan perjuangannya membina sebuah negara dan masyarakat yang majmuk dan meraikan kemajmukan. Biar apa jua tohmahan dan penipuan dilemparkan kepada DAP, pemimpin-pemimpin DAP baik pada masa lalu, sekarang atau masa depan akan terus beriltizam berjuang mewujudkan masyarakat majmuk yang hidup harmoni, aman dan makmur. Bebas dari sebarang ketidakadilan, korupsi dan diskrimasi kaum tidak kira apa jua warna kulit dan kepercayaan.

DAP sudah berulangkali menegaskan bahawa DAP seperti mana kawan-kawan di dalam Pakatan Harapan yang lain menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di dalam negara, bersama-sama semangat kemajmukan di dalamnya.

Di dalam Perhimpunan Agung UMNO, Najib dengan cuba bermain tipu daya dengan mengatakan DAP menolak kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan kerana semua itu tidak disebutkan di dalam Perlembagaan DAP. Itu ternyata satu fitnah jahat memutarbelitkan fakta sebenar yang mana Perlembagaan DAP jelas menyatakan antara matlamat-matlamat DAP adalah “mengesahkan dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada kerangka asal”.

DAP memberikan amaran kepada Presiden UMNO: Jangan cuba memangsakan DAP untuk mencapai matlamat politik yang sempit, biadap lagi kejam.

Perjuangan DAP bukan saja tidak mengenal warna kulit dan agama, tetapi juga tidak mengenal batas tempat. Laut China Selatan yang luas itu pun tidak dapat menghalang DAP daripada turut memperjuangkan nasib rakyat Sabah dan Sarawak. Perjuangan BN di Sabah dan Sarawak hanyalah bermain wayang, sini cakap lain sana cakap lain. Mereka yang merompak hasil bumi Sabah dan Sarawak, mereka jugalah yang tidak malu menggelar diri hero rakyat Sabah dan Sarawak.

Berbeza dengan DAP, kita terus jujur bersuara memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak yang sudah sekian lama dicabuli BN. DAP parti Malaysia berjuang atas semangat Malaysia untuk rakyat Malaysia. Malaysia ini juga milik rakyat Sabah dan Sarawak dan mereka berhak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat sejak dahulu lagi. Saya memberi jaminan bahawa DAP tidak akan berganjak dari terus memperjuangkan hak-hak saudara dan saudari kita yang tertindas di Sabah dan Sarawak. Luka mereka adalah luka kita semua!

Hadirin yang dikasihi,

Krisis Keyakinan

Bercakap tentang perjuangan DAP untuk tahun-tahun seterusnya, kita tidak dapat lari dari melihat keadaan negara sekarang ini. Malaysia berdepan dengan kepimpinan yang rosak, institusi-institusi utama negara sudah dicemari dan kebebasan pula dicengkam. Malaysia semakin dikenali seluruh dunia, namun atas sebab yang salah. Dunia melihat Malaysia dengan skandal bertahap mega bergelar 1MDB yang melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan. Skandal raksasa ini bukan saja memalukan negara di mata dunia, tetapi menyebabkan berlaku krisis keyakinan terhadap negara ini.

Semua itu semakin melemahkan daya saing Negara, merosotkan ekonomi, menjatuhkan nilai ringgit dan memiskinkan rakyat. Hari ini yang mengeluh dengan kehidupan yang semakin menyesakkan bukan penyokong Pakatan Harapan saja, penyokong BN pun turut mengeluh. Kita semua kini berkongsi kesusahan, kecuali elit-elit penguasa yang terus ditenggelami kemewahan.

Semua ini seringkali membuahkan impian untuk melihat satu perubahan. Adakah sahutan kita untuk UBAH boleh menjadi kenyataan? Jawapannya Boleh. Dengan syarat parti-parti Pembangkang di Malaysia haruslah memenuhi keinginan rakyat untuk melihat kesatuan pembangkang yang kukuh, bersiap menggantikan BN sebagai Kerajaan Persekutuan. Demi menyelamatkan Malaysia daripada terus menjunam menuju kehancuran.

Dalam keadaan negara diselubungi pelbagai masalah dan krisis. Rakyat yang berdahaga perubahan mahu kita bersiap sedia menggantikan BN. Demi rakyat, Parti-parti pembangkang yang meletakkan tadbir urus baik sebagai keutamaan, menentang korupsi sebagai keutamaan, kebajikan rakyat sebagai keutamaan, menumbangkan rejim zalim sebagai keutamaan, mestilah bersatu untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dari terus menjadi mangsa UMNO/BN.

Saudara dan saudari,

Pertarungan Kalah Mati Rakyat

Selepas kehilangan undi popular sewaktu Pilihanraya Umum yang lalu, diikuti dengan skandal demi skandal yang terlondeh, UMNO/BN tentu sekali sangat terdesak untuk menang. Kita boleh nampak keterdesakan UMNO/BN bimbang akan hilang kuasa pemerintahannya semakin agresif menekan pejuang-pejuang rakyat. Kita boleh lihat melalui persempadanan semula pilihanraya yang mereka akan memaksa untuk diluluskan. Kita harus bersiap-sedia untuk menghadapi pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah kerana UMNO/BN adalah puak yang sanggup lakukan apa saja asalkan dapat terus berkuasa.

Pilihanraya akan datang adalah ibarat pertarungan kalah mati untuk anak-anak Malaysia. Jika UMNO/BN menang, nescaya mereka akan menggunakan kemenangan itu sebagai cop halal untuk pemerintahan perompakrasi mereka. Kleptokrasi mungkin ada orang kurang faham, kalau perompakrasi UMNO/BN, saya percaya ramai anak-anak Malaysia boleh faham dan rasa apa yang UMNO/BN telah rompak dari mereka.

Hadirin yang saya hormati,

Untuk mempertahankan pemerintahan perompakrasi mereka, UMNO/BN tentu akan melakukan apa saja untuk menumbangkan sesiapa yang menentang mereka. Sebab itu kita akan lihat satu demi satu pemimpin pembangkang akan cuba dihantar ke penjara. Salah satu ancaman kepada sistem perompakrasi UMNO/BN adalah Setiausaha Agung kita, Saudara Lim Guan Eng. Bagi UMNO/BN beliau berbahaya kerana beliau telah berjaya mentadbir Pulau Pinang dengan baik.

Sebab itu kita yakin serangan ke atas beliau dan cubaan memenjarakannya sekali lagi, tidak lain bermotifkan politik. Serangan ke atas Sdr Lim Guan Eng sememangnya satu cabaran getir yang perlu kita hadapi. Di masa-masa getir inilah kita perlu teguh berdiri bersama teman seperjuangan kita ini, terus yakin dengan integriti beliau sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

Selaku parti yang paling mengancam agenda UMNO/BN, UMNO/BN akan lakukan apa saja untuk memecah belahkan kita. Saya menyeru agar semua ahli DAP tabah dan terus bangkit kembali menghadapi serangan demi serangan yang dilontarkan. Pada saat getir inilah kita perlu memastikan kesatuan kita semakin kukuh dan tidak mampu digoyahkan.

Teman-teman yang dikasihi,

Kita mesti selamatkan Malaysia dari kerosakan dan kebinasaan dalaman yang jauh lebih mudarat dari ancaman luaran.

Pentas telah tersedia untuk satu perubahan bersejarah terbentuknya Kerajaan baru Pakatan Harapan.

Kita tidak boleh mengubah masa lalu, tetapi kita boleh ubah masa depan. Untuk ubah masa depan, kita perlu bergerak maju dengan satu hati, sebagai satu pasukan dan satu matlamat.

Terima kasih.