Skip to content

Ucapan Aluan oleh YB Gobind Singh Deo, Pengerusi DAP Selangor di Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2019

Salam sejahtera, selamat pagi dan Salam Harapan.

  1. Saya mengalu-alukan kehadiran saudara saudari semua ke Konvensyen DAP negeri Selangor 2019. Terima kasih.
  2. Ini adalah buat julung kalinya saya berucap di Konvensyen DAP peringkat negeri Selangor sebagai Pengerusi.
  3. Terdahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa dan ahli ahli DAP Selangor untuk sokongan dan usaha mereka, begitu juga kepada kakitangan ibu pejabat DAP negeri serta sukarelawan parti yang telah menganjurkan konvensyen kali ini dengan jayanya.
  4. Seperti yang anda maklum, tahun ini ialah tahun yang sangat sibuk untuk kita semua. Sudah 18 bulan berlalu semenjak kemenangan kita pada PRU14 yang menyaksikan ada di antara kita yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Persekutuan yang mana kita perlu belajar untuk menggalas tanggungjawab dan menyesuaikan diri dengan tugas sepantas yang mungkin.
  5. Ada di kalangan pemimpin kita yang sudah terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang, dan mereka ini mempunyai pengalaman dan hasil pendedahan kepada memerintah negeri-negeri yang lebih panjang.
  6. Sungguhpun begitu, saya yakin dan percaya, kesemua Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan serta Exco-Exco Negeri dari kalangan ahli DAP telah bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab sesuai dengan portfolio masing-masing.
  7. Pada kesempatan ini, saya juga ingin menyatakan yang kami di peringkat Kerajaan Persekutuan maklum tentang kekangan-kekangan dalam memenuhi tuntutan dan permintaan pengundi, penyokong, ahli DAP dan begitu juga rakyat Malaysia.
  8. Banyak sekali isu yang berbangkit sepanjang 18 bulan lepas. Walaubagaimanapun, kami telahpun bekerja untuk mengatasi keadaan ini.
  9. Kita harus menyedari yang negara ini ialah sebuah negara yang amat istimewa dan unik, dan ianya memerlukan cara kendali yang cermat dan penuh bertimbang rasa.
  10. Semenjak merdeka kita telah berjaya membina negara ini di atas kepelbagaian kaum, budaya dan pelbagai agama mahupun kepercayaan. Malah, kita melihat dan meraikan perbezaan ini sebagai satu aset penting dalam negara kita.
  11. Tentunya ada masa timbul masalah dalam beberapa isu namun ini bukanlah alasan untuk kita lupakan kejayaan-kejayaan kita yang pernah kita kecapi hasil kerja bersama.
  12. Ada banyak sebab untuk negara-negara luar mencemburui Malaysia namun sebab yang paling utama ialah keistimewaan latar belakang dan sejarah kita. Keunikan inilah yang membolehkan kita untuk menyesuaikan diri mengikut keadaan, malah kekuatan ini membolehkan rakyat Malaysia untuk bekerjasama dan bekerja ke arah keharmonian masyarakat dan seterusnya membina kekuatan ekonomi untuk kemakmuran bersama.

Saudara saudari sekalian,

  1. Kita telah menyaksikan bagaimana rasuah, salah guna kuasa, eksplotasi jentera dan kuasa kerajaan secara berterusan selama beberapa dekad lepas. Inilah cabaran yang kita sedang kita hadapi, untuk pulihkan dan seterusnya menambah baik sektor awam. Inilah beban yang digalas oleh kerajaan Pakatan Harapan.
  2. Para pengundi telah memilih kita atas dasar janji-janji manifesto Pakatan Harapan yang antara lainnya menyebut:
    • Untuk mengurangkan beban hidup rakyat dimasa ekonomi yang mencabar.
    • Untuk melaksanakan reformasi dan memperkasakan institusi- institusi kerajaan, dan menjunjung kedaulatan undang-undang
    • Untuk menyemak semula dan meminda undang-undang yang zalim termasuk memisahkan kuasa judisari dari cabang eksekutif kerajaan.
  3. Manifesto ini sangat penting dan telah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan janji-janji kita sebaik dan dejauh mana mungkin. Kita harus meletakkan kepentingan rakyat dalam sebarang tindakan dan keputusan yang mahu kita ambil untuk kebaikan negara ini.
  4. Saya ingin menegaskan di sini yang DAP akan terus kekal dengan prinsip dan pendirian kita. Kita harus berbangga yang DAP merupakan parti berbilang bangsa yang diasaskan pada tahun 1966. Malah sejak pilihanraya 1969 kita telah meletakkan calon-calon wakil rakyat dari pelbagai latar belakang bangsa dan kaum. Ini ialah sesuatu yang harus kita ingat dan raikan. Setiap perjuangan kita dan apapun yang kita lakukan adalah selari dengan perlembagaan parti dan semangat Perlembagaan Malaysia.
  5. Pada peringkat parti, saya ingin menekankan keperluan kita lebih erat dengan ahli-ahli akar umbi. Saya akui yang kita harus dan terus perlu melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk menguatkan akar umbi dan parti. Kita perlu memperkasakan parti dan terus menyebarkan mesej kebersamaan dan prinsip-prinsip kita kepada seluruh rakyat.
  6. DAP akan berusaha bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa, budaya mahupun agama. Ini akan sentiasa menjadi visi dan misi kita.

Saudara saudari sekalian,

  1. Pemikiran ini adalah sangat penting untuk merangka masa depan dan seterusnya membentuk masa hadapan negara kita. Negara kita sedang bersaing di peringkat global sekarang dan kita tidak mampu hanya untuk berfikiran cetek dan menjaga kelangsungan hidup sendiri dalam membina kekuatan ekonomi dalam negeri.
  2. Cabaran ekonomi digital sangat besar namun kita mampu dan akan berjaya menghadapinya, dengan syarat kita perlulah membina infrastruktur, tenaga kerja dan pemikiran (mindset) yang diperlukan. Saya percaya kerajaan ini sedang melakukan apa yang perlu untuk memastikan kita bersedia untuk menghadapi masa depan namun kami perlukan sokongan dan dokongan daripada anda semua dan seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai aspirasi bersama..
  3. Kita harus ingat yang kerajaan kita ini masih muda namun kita telah meletakkan apa yang perlu untuk memastikan negara ini berjaya dan terus berjaya.
  4. Kerajaan Pakatan Harapan dibina dari dinamika dan personaliti yang pelbagai namun kita telah berjaya menjalinkan kerjasama atas dasar perkongsian tanggungjawab bersama. Kita telah berbincang pelbagai perkara sedalam-dalamnya dan berunding untuk memutuskan bersama dengan kepimpinan pusat sama ada di peringkat Pakatan Harapan mahupun di peringkat Kabinet. Ini termasuk keputusan yang melibatkan kepentingan negara.
  5. Kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkasakan institusi negara dan meningkatkan ketelusan, penanggung jawapan di samping membanteras 9rasuah. Ini ialah keutamaan kita kerana sepertimana anda sedia maklum Malaysia telah menghadapi masalah ekonomi yang sangat teruk disebabkan oleh pemerintahan rejim yang lalu.
  6. Kita sebagai ahli parti seharusnya menyokong usaha kerajaan termasuk menyebarluaskan maklumat, polisi, dan segala usaha dan skim yang telah dilaksanakan oleh kerajaan baharu sejak 18 bulan lepas.
  7. Banyak sekali usaha-usaha yang telah dijalankan antaranya Bantuan Sara Hidup, skim mySalam,Peka B40, program Rebat Elektrik RM40, i-Suri untuk surirumah, pas pengangkutan awam MyRapid RM100 dan MyRapid RM50, Dana Rumah Mampu Milik BNM untuk pemilik rumah pertama, subsidi petrol bersasar dan banyak lagi yang akan dilaksanakan pada tahun depan dan masa yang akan datang.
  8. Saya sendiri, seperti yang anda semua maklum, sedang berusaha untuk menambahbaik infrastruktur Internet di seluruh negara untuk memastikan kesediaan kita menghadapi cabaran dunia digital dan di sini kita boleh berbangga bila mana kita mampu mengurangkan harga perkhidmatan Internet jalur lebar untuk memberi nilai yang lebih baik kepada rakyat. Ini hanya pada peringkat kerajaan pusat.
  9. Seluruh kerajaan negeri Pakatan Harapan telah dan sedang merangka insentif-insentif yang terbaik untuk rakyat sejak 2008. Ini mampu kita lakukan hanya kerana kita melaksanakan apa yang kita perjuangkan.
  10. Kita telah berjaya mentadbir aspek kewangan dengan bijak, menghapuskan pembaziran dan ketirisan di samping meletakkan sistem semak dan imbang di negeri-negeri Pakatan Harapan. Langkah-langkah ini tidak dilakukan dalam pentadbiran yang dahulu. Walaupun ada mekanisma untuk mengelak pembaziran dan kebocoran namun sedikit sekali penguatkuasaan dilaksanakan.
  11. Saudara saudari, kita mesti melihat gambaran yang besar. Kita harus bersatu dan menunjukkan solidariti kepada rakan-rakan dan para pemimpin kita untuk memastikan supaya kita bersama-sama mengecap kejayaan.
  12. Kita telah berjaya mengambil alih pemerintahan negara ini dan memulangkannya semula kepada rakyat. Saya percaya bakat dan impian yang dikongsi oleh majoriti rakyat Malaysia akan memastikan kita semua hidup dalam keadaan yang harmoni. Negara kita akan menawarkan peluang yang terbaik untuk generasi muda yang berpotensi bagi membolehkan mereka bersaing dan berjaya. Kita mahu dikenali sebagai sebuah masyarakat yang inovatif dan membangun secara mampan agar kita boleh berbangga sebagai rakyat Malaysia.
  13. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kehadiran anda pada hari ini. Jawatankuasa negeri berjanji untuk berusaha dengan lebih keras lagi dan lebih bersama-sama anda semua dalam masa depan.

Terima kasih dan Salam Harapan.