Skip to content

Ucapan Perbahasan Bajet 2014 oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim

Datuk yang diPertua, Perdana Menteri dalam ucapan bajetnya telah menegaskan bahawa Kerajaan akan memberi fokus memperkasakan institut pengajian tinggi awam dan swasta ke arah melahirkan graduan yang berkualtii dan memenuhi permintaan pasaran kerja.

Di sini saya ingin tanya, apakah kriteria untuk melantik seorang menjadi pensyarah di universiti tempatan, dan apakah kelayakan bagi Ridhuan Tee Abdullah untuk dinaikkan pangkat menjadi professor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)? Saya tidak pernah membaca apa-apa artikel akademik beliau tetapi sebaliknya kebanyakan artikelnya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia ialah menghasut Melayu untuk membenci kaum lain? Apakah artikel-artikel yang penuh dengan hasutan dan penghinaan kaum juga dianggap sebagai sebagai kelayakan untuk masuk ke universiti tempatan?

Mengikut laporan akhbar pada 8 Mac 2013, Pemuda MIC telah menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan professor Ridhuan Tee Abdullah dituduh plagiarism oleh Dr Airil Yasreen Mohd Yassin, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Dakwaan Dr Airil ini juga pernah disiarkan dalam satu portal online. Tetapi kesalnya walaupun MIC merupakan salah satu parti komponen dalam Barisan Nasional, tuduhan Pemuda MIC terhadap Profesor Ridhuan Tee ini tidak diambil perhatian oleh pihak Kementerian.

Di sini, saya terima banyak aduan daripada pensyarah dan pelajar di UPNM berkenaan dengan kenyataan dan tulisan sesat Prof Ridhuan Tee bahawa beliau bukan sahaja tidak mempunyai keupayaan intelek (intellectual capability), tetapi beliau malah mengelirukan pelajar di UPNM.

Misalnya, dalam artikel beliau yang berjudul “Singapura Maju Kerana Malaysia” yang disiarkan pada 16 Ogos 2013 di Utusan Malaysia, beliau bertulis, “…..Itupun nasib baik saya bukan menjadi PM dalam menyelesaikan isu perebutan Pulau Batu Putih. Jika tidak, pasti saya tidak akan membawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ). Penyelesaian pertikaian pulau ini adalah perang. Malangnya, kita sudah terlepas. Dunia telah menyaksikan hilangnya sebuah pulau milik Melayu terlepas kepada ultra kiasu. Di manakah maruah Melayu?…..” Soalannya, apakah seorang pensyarah univerisiti menggalakkan peperangan? Pendiriannya dalam isu ini menunjukkan beliau mempunyai pemahaman yang cetek tentang etika miitari dan undang-undang antarabangsa.

Seorang pensyarah UPNM berkata, pengajaran Ridhuan Tee yang salah dan menyeleweng dalam pengajaran subjek yang diajari oleh beliau kepada pelajar UPNM amat mengecewakan pensyarah lain di UPNM, kerana mereka selalu terpaksa membetulkan semula konsep dan persepsi yang salah tentang isu pertahanan di kalangan pelajar yang pernah diajar oleh Ridhuan Tee.

Selain itu, Ridhuan Tee, seorang yang berfikiran perkauman ataupun racist malah dipetugaskan untuk mengajar kursus “Hubungan Etnik” di UPNM. Beliau menggalakkan pembersihan kaum ataupun “ethnic cleansing” di kalangan bakal tentera di universiti.

Dalam satu artikelnya yang bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” yang disiarkan dalam Sinar Harian Pada 18 Feburari 2013, beliau berkata, “Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini.”

Dalam artikelnya yang bertarikh 13 Jun 2010, beliau memuji Hitler dan berkatan Hitler “tetap berjasa pada zamannya” kerana beliau membunuh orang Yahudi. Patutkah Ridhuan Tee yang merupakan “copy cat” artikel orang lain, dan mempunyai minda yang begitu bahaya dan sesat dan yang boleh menimbulkan masalah diplomatik bagi Malaysia dibenarkan terus mengajar di universiti pertahanan yang melatih bakal tentera kita?

Kesemua pandangan yang disiarkan dalam suratkhabar tersebut menunjukkan beliau memang tidak layak mengajar kursus “hubungan etnik” di universiti tempatan, dan banyak pandangan ini telah dibantah oleh parti kommponen BN, khususnya MIC. Beliau adalah lebih layak dilantik sebagai penasihat kepada UMNO ataupun Perkasa, tetapi bukannya professor di dalam universiti yang melatih bakal tentera.

Pasukan Khas Anti Money Laundering Act (AMLA) di bawah Jabatan Peguam Negara

Datuk yang diPertua, saya diberitahu terdapatnya satu pasukan khas atas Pasukan Khas Anti Money Laundering (AMLA) diwujudkan di bawah Jabatan Peguam Negara. Cara pasukan khas AMLA mengambil tindakan terhadap syarikat dan peniaga yang disyaki tidak bayar cukai adalah amat “zalim” dan tidak perikemunisaan, di mana pasukan khas ini mula dengan tindakan membekukan akaun bank syarikat ataupun akaun bank pengarah syarikat, untuk memaksa syarikat ataupun pengarah syarikat berkenaan untuk menunduk kepada pasukan AMLA dan membayar cukai dalam tempoh yang singkat.

Selalunya syarikat yang disiasat oleh pasukan khas AMLA ini tidak dapat memberi maklumat yang lengkap bila mereka menghadapi operasi terkejut daripada pasukan khas tersebut, dan cara pasukan khas AMLA membeku akaun operasi syarikat mereka adalah amat tidak adil kepada mereka.

Terdapatnya kes di mana pasukan khas tersebut melambat-lambatkan pencairan pembekuan akaun dan peniaga syarikat terpaksa membayar rasuah kepada pegawai pasukan khas AMLA untuk mencairkan pembekuan akaun tersebut.

Saya ingin minta Menteri JPM membertahu dewan yang mulia ini berapa amaun yang telah dikutip daripada pasukan khas AMLA sejak ia ditubuhkan? Apakah prosedur pasukan khas AMLA menjalankan tugas? Apakah pihak JPM akan menubuhkan biro khas untuk mendengar aduan tentang penyelewengan kuasa oleh pasukan khas AMLA?