Tercetusnya perang pencerobohan Ukraine oleh Rusia disertai dengan ketidaktentuan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada pasaran global dan kadar harga barang-barang keperluan, telah membentuk ekonomi dunia yang menghimpit rakyat terbanyak. Malah, implikasi samar-samar ke atas ekonomi dunia ekoran keganasan rejim Israel di Gaza yang penuh jenayah kemanusiaan dan jenayah perang perlu kita ekori dengan berjaga-jaga.
Kestabilan politik hakikatnya adalah kunci kepada ekonomi yang cemerlang, serta menjadi asas kepada kemakmuran yang berpanjangan bagi seluruh rakyat Malaysia, biarpun ia kadangkala terjejas dengan ekonomi dunia yang tenggelam timbul.
Kejayaan Kerajaan Madani dalam menangani gejolak naik turun harga barang ini, termasuk krisis bekalan beras yang baru beransur pulih adalah antara indikator penting kepada potensi kestabilan politik dan tadbir urus serta tatakelola yang baik.
Saya zahirkan ucapan tahniah kepada Tambun dan pasukan Kementerian Kewangan atas dasar perbelanjaan yang berhemah dan adil, tepat pada tempat dan waktunya.
Dalam menyokong Belanjawan ini, ada beberapa perkara yang ingin saya bangkitkan supaya hal-hal ini tidak duduk pada titik buta supaya ia mendapat perhatian kerajaan.
Kedaulatan Sumber Asli Negara
Pada 2 Ogos 1990, Iraq menyerang dan menakluk Kuwait di dalam sebuah peperangan yang berlanjutan selama 6 bulan, 3 minggu dan 5 hari yang dinamakan ‘Operation Desert Storm’; misi yang diketuai Amerika Syarikat.
Menurut tuduhan Iraq, Kuwait dan United Arab Emirates telah melampaui kuota bagi pengeluaran minyak OPEC. Bekalan yang berlebihan menyebabkan harga minyak jatuh merudum sehingga ke $10 satu tong. Kemelut ini menyebabkan Iraq kerugian $7 billion setahun. Maka, Iraq mengisytiharkan perang ekonomi dengan menyerang Kuwait.
Amerika Syarikat mengambil peluang ini dengan membentuk kesepakatan bersama Arab Saudi sebagai pembekal minyak utama yang menjadikannya rakan geopolitik yang strategik. Kedua-dua negara ini menentang Iraq.
Amerika Syarikat kemudiannya menggunakan Majlis Keselamatan PBB untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iraq yang mengakibatkan hiper-inflasi dan kemiskinan.
Di sudut keselamatan negara, ia membuka ruang kepada kewujudan Al-Qaeda, Daesh, ISIS, dan 911. Perlu diakui bahawa kesan-kesan in belum lagi mengambil kira kesan panjang peperangan terhadap negara-negara yang turut terpalit sama. Semua ini adalah kerana perebutan sumber asli, iaitu minyak.
‘The Next Big Thing’ pada zaman teknologi serba canggih dan kereta yang menggunakan bateri lithium adalah unsur-unsur nadir bumi ataupun ‘Rare Earth Elements’ REE. Senarai produk dan kepenggunaannya mencakupi kecerdasan buatan, perkomputeran kuantum, teknologi tenaga boleh baharu, 5G-65, telefon bimbit dengan teknologi tinggi, industri aeroangkasa, kereta pandu sendiri dan pelbagai kemajuan yang menarik lagi. Kesemuanya menjadi tidak mustahil kerana adanya nadir bumi.
REE sebagai komoditi yang tinggi signifikan geopolitiknya menyebabkan lirik lagu kumpulan New Boyz ‘Sejarah Mungkin Berulang’ perit untuk ditelan. Dahulu, minyak menjadi asbab berlakunya peperangan. Pada masa depan pula, kuasa-kuasa besar akan berebut untuk memposisikan diri mereka di dalam sektor ekonomi berpandukan REE. Ketegangan Jepun dan AS dengan China, serta pegangan AS di Taiwan yang membuatkan China tidak senang duduk; ianya berpunca daripada sekatan pembekalan REE kepada Jepun. AS mahu menakluki industri hiliran REE (microchip dan semiconductor E&E). Potensinya yang luas menjadi suatu amaran kepada Kerajaan supaya jangan sesekali membiarkan kekayaan sumber asli ini dieksploitasi sewenang-wenangnya.
Bagi memastikan kawal selia, pengurusan mapan dan pembangunan keseluruhan rantaian nilai REE ini cemerlang, kerajaan perlu menggubal sebuah rang undang-undang dan pertubuhan agensi Kerajaan Persekutuan. Umum tahu bahawa Kerajaan Negeri tidak mampu dan tidak akan mampu untuk mengendalikannya dengan sendiri.
Persoalan seterusnya: adakah kita mempunyai hasil kekayaan REE yang signifikan? Adakah dapat kita kenal pasti sebarang pihak yang sedang cuba-cuba untuk merintis jalan untuk menjarah kekayaan ini tanpa memberi sebarang pulangan kepada rakyat, negeri dan negara?
Ekosistem bagi suatu industri seperti ini memerlukan ratusan peguam, para penganalisis kewangan dan komoditi, pakar ekonomi dengan pengkhususan undang-undang, pakar rundingan, pakar model perdagangan. Petronas menunjukkan bahawa mereka terbiasa dengan ekosistem begini. Maka, adakah Kerajaan Negeri tampak bersedia untuk mengambil langkah pertama? Adakah dan dimanakah kemampuannya?
Hasil dan kekayaan tanah air ini tidak boleh dibiarkan dijarah oleh pihak luar yang senang lenang mahu menggugat kedaulatan negara.
Kecerdasan Buatan
Dalam konteks mengejar perkembangan teknologi, negara juga perlu dipersiapkan untuk merangkul satu lagi takdir yang kita tidak boleh elak: kecerdasan buatan atau A.I.
AI dan Pembelajaran mesin (machine learning) adalah salah satu kemajuan saintifik yang memberikan ‘akal’ kepada ‘benda’ dan pemberian ilmu dan maklumat kepada komputer sehinggakan ia boleh mengkaji dan menelaah konsep dan permasalahan, kemudiannya mempakejkan dapatan itu sepantas beberapa saat.
AI sedang mengganti manusia dalam pelbagai bidang. Kerja yang dahulunya memerlukan manusia cerdik pandai dan berpendidikan tinggi tinggi seperti penulisan laporan analitikal, rekaan grafik, penggambaran – kini, diambil tugas oleh AI. Industri AI memberi kita ruang untuk fokus kepada hal-hal yang lebih penting,
Dari sudut pandangan ekonominya, Malaysia mempunyai syarikat-syarikat AI yang berada di baris hadapan industri, terutamanya dalam bidang grafik dan reka cipta. Antaranya: PIXLR. Dengan 130 juta muat turun, puluhan juta pengguna bulanan dengan pengiktirafan platform AI terbaik di tangga ke-13 di dunia, PIXLR adalah satu-satunya produk dari Asia. Syarikat InMagine yang berpangkalan di Kelana Jaya diasaskan oleh 3 anak jati Ipoh, Perak.
Keupayaan anak bangsa untuk ikut serta dan menjadi watak utama dalam perkembangan teknologi AI tidak boleh dipandang rendah, malah perlu diberi galakan yang sewajarnya, dari sudut dasar, undang-undang dan insentif kewangan; supaya industri ini tidak dibiar meninggalkan pesisir negara dan bergerak ke seberang tambak – yang gayanya agresif memancing syarikat watan kita ini.
Tambahan itu, kerajaan perlu institusikan pembangunan dan latihan berteraskan AI, sebagai persediaan mendepani segala kemungkinan perkembangan teknologi. Bertepatan dengan kemasukan Tesla, sebuah syarikat gergasi yang bukan sahaja mandiri dengan kepakaran pembuatan kereta elektrik, bahkan juga turut terkedapan dalam pembangunan AI. Syabas tahniah kpd Tambun dan kerajaan persekutuan kerana telah mengumumkan penubuhan sebuah fakulti AI di UTM dengan peruntukan 20 juta.
Namun, persoalannya, adakah Inmagine selaku pelopor dan pemimpin sektor, selaku anak jati Ipoh Perak akan dibawa, dijemput, dikerah, untuk membangunkan industri yang bernilai 480 billion USD menjelang 2027?
Lihat sahaja bagaimana Elon Musk mengambil alih Twitter dan menjadikannya X. Meskipun kedengaran lucu, Elon barangkali sedang membangunkan kecerdasan buatan berasaskan ciapan setiap satu daripada kita. X bakal memiliki rangkaian saraf buatan yang memuatkan kecerdasan semua orang yang berkicau tentang kehidupan harian, sentimen dan emosi, pendapat yang organik tentang kedai nasi kandar yang mereka suka, atau filem apa yang mereka benci; dan semua ini bakal dimiliki oleh Elon.
Bukan sahaja ekonomi, perihal pengurusan dan tatakelola AI, kebijakan pembangunan, dan dasar pengurusan risiko, undang-undang responsible AI, AI ethics, perlindungan pengguna, and AI related cybersecurity semua ini, kita, sebagai wakil rakyat dan kerajaan tidak boleh tunggu: kerjanya kena mula sekarang.
Walau bagaimanapun, bak kata bapa saudara Spiderman, with great power comes great responsibility. Kuasa AI ini sudah tentu menuntut kita untuk memastikan kebaikannya diagihkan sama rata, komitmen kita kena sentiasa mengangkat nilai manusiawi.
Saya mencadangkan sebuah Majlis Perundingan kecerdasan buatan dibentuk, dengan penglibatan ahli-ahli YB yang minat, pemain-pemain indsutri AI seperti Inmagine, dan anggota fakulti AI di UTM, serta MOSTI, untuk sama-sama memacu dan melonjakkan tanah air ke suatu tahap yang lebih hebat.
Sumber asli Tuhan kurnia,
Nampak Malaysia di peta dunia,
Kerajaan dan pelombong kaya saja tiadalah makna,
Jika rakyat tak rasa manfaatnya.
Nadir bumi kunci perubahan nasib negara,
Tapi janganlah sampai raban teben macam nak gila,
Negeri ada kuasa, tapi kemampuannya nun di Putrajaya,
Bila tak sepadan, naya kita semua.
Jika silap langkah – keamanan tergadai,
Matlamat negeri hancur, agenda rakyat tak tercapai,
Alang-alang menyeluk pekasam, biar rendam satu badan,
Bab REE, bincanglah semula bidang kuasa negeri dan persekutuan.
IPOH TIMOR menyokong.