Skip to content

Ucapan Bajet oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui pada 6hb Mac 2023

AUKU

Puan Speaker,

Kita selalu berkata bahawa anak muda ialah pemangkin masa depan negara. Namun hakikatnya, negara kita kurang memberi peluang dan sokongan kepada mereka. Anak muda kita, terutamanya pelajar universiti, masih mendepani banyak kekangan dan juga penindasan.

Saya faham bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi telah menegaskan agenda utama Kementerian pada tahun ini berkali-kali dalam ucapan tahun baru dan jawapan lisan di Parlimen bahawa Kementerian berhasrat untuk memperkasa pelajar dengan memberi lebih autonomi dalam kegiatan berpersatuan.
YB Menteri juga berjanji bahawa gerakan mahasiswa dan ‘student union’ mesti diberikan kebebasan dan kuasa yang bersesuaian, termasuk kuasa menguruskan kewangan dan perniagaan berasaskan perkhidmatan dalam kampus universiti.

Kerajaan mesti tahu, kita tidak dapat memperkasakan hak mahasiswa-mahasiswi sekiranya AUKU tidak dimansuhkan dan diganti oleh akta yang baharu.

Jangan kita mudah lupa sejarah kita. AUKU telah digubal semasa era gerakan pelajar yang berfikiran kritis dan berjiwa kuat pada tahun 1970-an di Malaysia. Pada masa itu, kesedaran politik dan sosial pelajar universiti amat tinggi, malah mereka berani menyuarakan kritikan mereka terhadap pihak berkuasa.

Tujuan kerajaan pada zaman 70-an menggubal AUKU adalah jelas. Seksyen 15 dan 16 dalam AUKU digunakan untuk merampas kuasa autonomi mahasiswa termasuk melarang mahasiswa mengurus dan mempunyai autonomi kewangan, serta menekan hak dan kebebasan bersuara mahasiswa bagi memelihara kuasa dan legitimasi kerajaan.
Selain itu, organisasi pelajar juga perlu memohon kelulusan aktiviti melalui Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang bersifat birokratik malah tidak kompeten. Campur tangan yang tidak munasabah ini seterusnya menyekat inovasi dan kreativiti pelajar.

Puan Speaker,

Oleh itu, jikalau kerajaan ingin mengembalikan kuasa autonomi mahasiswa, maka kita perlu memansuhkan AUKU sepenuhnya.

Puan Speaker,

Melalui peruntukan untuk setiap universiti, kita harus melibatkan pemberian peruntukan tahunan kepada Student Union (Kesatuan Mahasiswa) serta organisasi-organisasi mahasiswa. Saya juga cadangkan untuk mansuhkan HEP dan memulangkan kuasa pentadbiran kampus kepada “Student Union”. Hal ini bukan memperkasa mahasiswa malah membantu universiti untuk menjimatkan kos tadbir urus, dan merealisasikan “Campus Democracy and student autonomy”. Dengan izin, 校园自主,学生自治。

Isu ke-2 Dasar Agromakanan

Dalam kawasan parlimen Raub, semakin lebih ramai pemuda-pemudi memilih untuk pulang ke kampung halaman dan terlibat dalam sektor pertanian khususnya dalam industri durian.

Trend ini secara langsung menyediakan peluang pekerjaan baru, meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan yang lebih penting, membawa pengenalan inovasi dan teknologi terkini yang dapat memajukan sektor komoditi agromakanan secara mampan.

Situasi ini amat menggalakkan dan selaras dengan hala tuju bajet tahun ini terutamanya hasil yang diinginkan bagi industri agromakanan dan keusahawanan tani, iaitu industri pertanian bernilai tinggi yang mampan serta agro-preneur berdaya saing.

Namun demikian, antara cabaran yang besar bagi industri agromakanan ini adalah kekurangan tanah yang menghalang rakyat Malaysia daripada terus mencurahkan masa dan tenaga sepenuhnya dalam industri agromakanan ini.

Menteri Ekonomi pernah mengumumkan rancangan kerajaan untuk membuka 800 ekar tanah bagi tujuan pengusahaan tanaman. Saya bersikap terbuka terhadap rancangan ini kerana ia dapat mengatasi kekangan tanah dan isu perebutan tanah yang menghalang kemajuan sektor agromakanan.
Namun, tanah seluas 800 ekar jauh daripada mencukupi untuk selesaikan isu-isu tersebut. Sebagai contoh, jika setiap isi rumah diberikan 2 ekar tanah, hanya 400 isi rumah dapat tanah.

Saya memahami bahawa hal ini disebabkan oleh fakta bahawa kerajaan persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi milikan tanah.

Oleh itu, sebagai cadangan, kerajaan persekutuan boleh berunding dengan kerajaan negeri dan memajak tanah daripada kerajaan negeri, dan seterusnya kerajaan persekutuan memajak tanah tersebut kepada pemuda-pemudi ataupun keluarga yang memerlukan.

Kerajaan persekutuan, melalui langkah ini, boleh bantu selesaikan kemelut pekebun tanpa geran yang wujud sejak beberapa dekad dahulu, bukan sahaja di Raub, tetapi di kawasan lain, seperti Perak dan Cameron Highlands.

Faktor sejarah dan geografi telah menyebabkan kebanyakan petani tidak mempunyai geran atau permit daripada kerajaan negeri, meskipun tanaman mereka, seperti durian, pisang, sayur-sayuran, buah pomelo dan lain-lain, telah membuahkan hasil yang banyak dan berqualiti.

Dengan langkah ini, kerajaan persekutuan juga boleh menjana pendapatan melalui cukai tanah ataupun levi pajakan. Golongan pekebun juga boleh menanam dengan hati yang tenang dan lega. Ini juga akan memastikan pendapatan yang stabil bagi mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta peningkatan dalam eksport yang selaras dengan matlamat FAMA.

Setiap kerajaan negeri mempunyai polisi tanah yang berbeza, menyebabkan kemajuan pertanian di setiap negeri tidak seragam. Melalui langkah ini, kerajaan persekutuan dapat merapatkan jurang antara kemajuan pertanian di setiap negeri, dan menetapkan polisi pertanian yang seragam di seluruh negara.

Kerajaan persekutuan juga dapat pajak tanah kepada pemuda-pemudi yang berminat untuk memulakan perniagaan dalam bidang pertanian. Dengan tanah yang luas, mereka dapat menjana pendapatan yang lebih stabil dan lebih untung berbanding dengan bekerja sebagai profesional seperti peguam, doktor atau akauntan. Ini juga dapat menggalakkan pemuda-pemudi untuk terlibat dalam bidang pertanian dan menyumbangkan usaha untuk kemajuan sektor agromakanan ini.

Isu ke-3 Peruntukkan Sama Rata

Tugas Ahli Parlimen berat, termasuk penggubalan undang-undang, penelitian serta pembahasan dasar-dasar.

Bagi melaksanakan tugasan ini, ahli-ahli Parlimen memerlukan ramai staf dan pegawai. Kita perlu memastikan mereka mendapat gaji yang cukup, barulah mereka mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

Malangnya, dalam Belanjawan 2023 ini, kami nampak ahli Parlimen pembangkang tidak diberi peruntukkan untuk perbelanjaan operasi pusat khidmat di kawasan masing-masing.

Kebanyakan ahli parlimen kerajaan pernah jadi ahli pembangkang, kami memang memahami sekiranya Ahli Parlimen Pembangkang tidak dapat “resources” yang mencukupi, ini akan menjadikan satu beban yang besar untuk menjalankan tugas mereka, dan hal ini secara tidak langsung menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara kita.

Izinkan saya cadangkan peruntukkan pengurusan pusat khidmat yang sama rata bagi ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.

Kerajaan boleh memperuntukkan pengurusan pusat khidmat yang sama rata ke dalam rang undang-undang Akta Perkhidmatan Parlimen.

Kami boleh mengambil iktibar daripada negeri-negeri asing. Sebagai contohnya, Parlimen UK menggubalkan Parliamentary Standards Act 2009 yang menubuhkan Independent Parliamentary Standards Authority di mana badan ini berperanan untuk menetapkan dan membayar elaun Ahli Parlimen termasuk gaji-gaji pegawai/intern ahli.

Selain itu, Parlimen Victoria di Australia juga menubuhkan tribunal yang menggariskan cara pengiraan belanjawan pejabat ahli Parlimen di mana budget ditetapkan mengikut bilangan pengundi tetapi bukan berdasarkan parti-parti pembangkang ataupun kerajaan.

Puan speaker,

Akhirnya, saya nak tegaskan di sini, Kita faham bahawa pemulihan ekonomi adalah agenda yang utama bagi kerajaan perpaduan ini. Walaubagaimanapun, saya menekankan bahawa agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institut tidak berkonflik dan boleh dijalankan dengan serentak.

Kami mungkin boleh tahan sehingga ekonomi bertambah baik, kami ikat perut, bantu sesama sendiri, memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan;

Tetapi pengembalian hak kebebasan dan autonomi pelajar universiti yang terikat oleh AUKU tidak boleh ditangguh lagi; mangsa yang ditahan bawah SOSMA, POTA dan POCA tanpa bicara tidak boleh menunggu; hak mereka sedang terancam setiap saat dan “justice delayed is justice denied”

Kerajaan baru perlu menunjuk komitmen yang tegas untuk reformasi institut untuk memenuhi harapan rakyat terhadap kerajaan baru ini. Jangan biarkan kekecewaan menggantikan keyakinan rakyat.

Kerajaan perlu mempercepatkan langkah reformasi untuk mewujudkan Malaysia yang lebih adil, saksama dan bebas daripada penindasan.

Inilah Malaysia Baru yang kita ingin realisasikan, inilah misi utama generasi kami, jangan lepaskan peluang keemasaan untuk membuat perubahan demi generasi yang akan datang.

Sekian terima kasih.